Thursday, May 8, 2008

SEJENAK...


Kemewahan Menghanyutkan Pemimpin

Perubahan ketara senario politik tanahair selepas pilihanraya baru-baru ini menyingkap satu sejarah baru negara ini. Jika selama ini rakyat kelas bawahan sering melihat gaya mewah wakil rakyat mereka, tetapi kemenangan 82 ahli Parlimen pembangkang menyentap situasi itu apabila kebanyakan daripada mereka tidak menunjuk-nunjuk dan lebih mudah dikenali dengan gaya ‘santai’ sahaja jika dibandingkan dengan pemimpin Umno.

Secara tidak langsung, amalan itu memenuhi tuntutan dalam Islam yang mahukan para pemimpinnya bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak mementingkan kesenangan diri sendiri semata-mata.


Cuba kita lihat kembali bagaimana kisah menarik khalifah yang sangat adil dalam sejarah pemerintahan Islam, iaitu Umar bin Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah.

Kata Rajak bin Haiwah: Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! Pergi belikan untukku sehelai baju”.
Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang baik, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah”.
Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.

Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal.
Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.

Balas Umar bin Abdul Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya.
Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”.
Begitulah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Beliau hanya memerintah selama dua tahun, tetapi mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tidak kunjung padam. Jika diukur hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan rahmah Allah yang mencurah-curah.

Walaupun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat telah banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat jelata. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk.

Cuba renungkan tampungan yang ada di baju Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik.
Adalah satu kesilapan besar apabila seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya, mampu menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaannya yang mewah, rumah yang gah, paip dan curut yang panjang, isteri yang berhias permata berlian atau cermin matanya yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Sesungguhnya tidak sama sekali.
Kita tidak pernah menyeru agar pemimpin Islam hidup dalam kemiskinan, kelaparan, atau memakai pakaian yang buruk serta tinggal di rumah yang nak roboh. Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang berbagai. Tidak salah bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal, bukan rasuah atau salah guna kuasa.
Pakai dan memilikilah apa yang mereka mahu, jika itu semua datang dari sumber yang diredhai untuk mereka. Bukan tidak ada pemimpin-pemimpin yang sememang berharta hasil dari usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih-sayang.

Terengganu mungkin antara contoh terbaik dalam hal ini. Namun di sesetengah negeri, ke’ranggi’an pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat yang melihat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerena kewibawaannya, adab, karismanya, atau keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk-tunjukkan kepada orang ramai.
‘Teratak’ pemimpin pula bukan dikenali kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka, tetapi mungkin kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Begitu juga kenderaan pemimpin bukan dikenali kerana sering tiba di kawasan rakyat melarat, tetapi kerana harganya yang luar biasa. Manakala, isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal-mahal.
Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pula pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian pun akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak.

Ingat! Pelahap dan insan munafik adalah pendamping kepada pemimpin yang menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, jika bukan keadilan dan kewibawaannya menjadi kekuatan. Mereka dikelilingi kerana habuan yang diharapkan dan dipuji kerana harta yang boleh diberi. Mereka pasti sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerana keikhlasan.
Seandainya kesilapan tidak dibetulkan dan kesalahannya tidak diingatkan, nescaya pemimpin itu akan tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat nanti, sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlebel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama.

Lihat Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”.
Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Pertama, kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun. Kedua, kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. Ketiga, kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah): Riwayat Malik dalam al-Muwatta`.

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran telah berubah. Ramai manusia yang tidak memiliki idealisma atau karisma kepimpinan muncul menjadi pemimpin hanya kerana hartanya, atau kem politiknya yang telah berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya.
Maka rasuah dan politik wang akan berleluasa. Jika pemimpin naik dalam politik kerana ketajaman idealisma dan karismanya, maka sudah pasti mereka ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar dari pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat melalui hartanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal dalam riwayat yang lain, sebelum kiamat adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.
Para sahabat bertanya, “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Rasulullah SAW, “Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan negara memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah berdasarkan kewibawaan dan karisma yang dirujuk kepada dua persoalan asas, iaitu persoalan pegangannya kepada agama secara menepati al-Quran dan Sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan RasulNya. Seterusnya, kemampuan dalam memegang amanah kepimpinan dalam ertikata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.
Tidak semestinya ustaz atau ulamak, tetapi iltizam dan keupayaan. Maksudnya, bukan kemewahan harta atau besar serban, tetapi kewibawaannya. Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Setidak-tidaknya, biarlah kekayaan adalah hasil dari titik peluh sendiri atau usaha yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, mereka bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyatnya. Lebih tepat, kekayaan pemimpin wajar dikongsi untuk manfaat rakyat.
Moralnya: kemewahan bukanlah tiket untuk para pemimpin bermegah, mendabik dada serta berpoya-poya. Jadikanlah kemewahan sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan menjadi bahan bakar api neraka di akhirat kelak.

No comments: