Sunday, November 30, 2008

AZMIN BIDAS MAHYUDDIN


SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, membidas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyelar tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengadiri Kongres Nasional parti itu, kelmarin.

Katanya, sebagai seorang calon dalam merebut jawatan Timbalan Perdana Menteri pada pemilihan UMNO akan datang, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sepatutnya membawa satu agenda pembaharuan dalam parti


“Ini merupakan satu perkara yang amat malang bagi UMNO kerana masih lagi mengambil sikap sombong dan angkuh serta tidak mahu bermuafakat dengan parti-parti yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kongres PKR peringkat Nasional ke-5, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa Zaid perlu memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO mengenai kehadirannya di kongres PKR itu.

Azmin turut menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang jumud kerana sehingga hari ini masih lagi tidak bersedia untuk berdepan dengan realiti politik di Malaysia yang semakin terbuka.

“Kita dalam Keadilan membawa politik baru dan bukan politik bermusuhan di mana walaupun kita berbeza pandangan dan ideologi politik, tapi kita masih boleh duduk berbincang dalam isu-isu yang memberi kepentingan kepada negara,” tegasnya.

Tambahnya, disebabkan pandangan jumud yang terus diwarisi UMNO itulah yang menyebabkan golongan muda hari ini menolak parti itu dan Barisan Nasional (BN).

“Mereka tidak ada sikap keterbukaan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran luaran termasuk di kalangan parti-parti politik di Malaysia,” katanya.

SINAR HARIAN

No comments: