Thursday, November 27, 2008

DEMONSTRASI BOGEL 12 DISEMBER: RAMLAN


Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) akan memohon permit untuk mengadakan demonstrasi bogel yang bakal diadakan pada 12 Disember 2008 ini di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar berkata, permit berkenaan dimohon daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor awal Disember ini.

“Permit itu akan kami pohon daripada IPK Selangor 1 Disember 2008 ini dan pada hari itu juga Reformis akan lakukan satu kejutan yang kami tidak akan dedahkan buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Katanya, Reformis merasakan mereka perlu mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya zalim dan menindas rakyat miskin dengan menaikkan kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 100 peratus.

Ramlan berkata, Abdul Khalid tidak mengetahui cara terbaik menyelesaikan masalah kesusahan rakyat dan Reformis tidak berniat untuk menimbulkan masalah atau menjatuhkan Pakatan Rakyat (PR) tetapi hanya ingin menegur pemerintahan Abdul Khalid.

“Jika beliau gagal menurunkan kadar sewa rumah PPRT dalam masa terdekat, kami akan mengisytiharkan ‘perang’ dengan beliau dan kami teguh dengan perjuangan kami walaupun ditangkap, dipukul, dizalimi dan sebagainya.

“Kami juga telah mengadakan pertemuan dan menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit di Selangor berhubung isu ini. Dengan tindakan drastik kami nanti apabila perang telah diisytiharkan, kerajaan negeri mungkin akan kehilangan hasil sebanyak puluhan juta atau ratusan juta. Ini amaran Reformis,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya permit tidak dikeluarkan, mereka masih mempunyai perancangan lain dan mungkin akan menggunakan khidmat guaman untuk menyelesaikan isu kadar sewa rumah PPRT itu.

Bagaimanapun katanya, mereka sudah mempunyai sekumpulan ahli Reformis yang telah menyatakan kesanggupan berbogel semasa demonstrasi bakal diadakan di hadapan SSAAS 12 Disember ini.

Katanya, Abdul Khalid jangan hanya menyalahkan pemerintahan Kerajaan Selangor yang terdahulu sebaliknya perlu mewujudkan pembaharuan dalam pentadbiran di Selangor.

by:Sinar Harian

No comments: