Sejak akhir-akhir ini trend 'Melompat Parti' bakal menjadi satu fenomena mengerunkan buat BN dan Umno. Parti itu bukan sahaja terpaksa berdepan krisis kepimpinan paling buruk dengan dakwaan pelbagai penyelewengan dan rasa tidak puas hati ahli, malah menjadi bahan cemuhan setiap pemimpin komponen mereka terutama gerakan, MCA dan parti-pari kecil gabungan di Sabah dan Sarawak.
Sehari dua ini pula kedengaran suara-suara 'nakal' dari YB BN dari Umno sendiri pula yang secara terang meluahkan rasa tidak puashati mereka dan membayangkan akan menyertai Pakatan Rakyat (PR). Kelantangan Hishamuddin yang turut mencabar mana-mana pemimpin yang menongkah arus dalam Kerajaan keluar dari parti BN juga membayangkan betapa rapuhnya ikatan BN sekarang.
Terkini pencabar Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, Arif Shah yang berura-ura mahu menyertai PKR bakal memberi satu tamparan hebat buat BN dan Umno. Walaupun tidak mampu membentuk kerajaan pusat memandangkan Arif hanya seorang ADUN namun, fenomena beralih angin bakal mengegarkan kerajaan BN menjelang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti.
Kehadiran beberapa tokoh penting BN dalam perhimpunan tahunan PKR di Shah Alam, termasuk Bekas Menteri di JPM, Zaid Ibrahim menceritakan segalanya.
Kesan kebencian ahli dan bekas pemimpin Umno dan parti komponennya sendiri tidak boleh dipandang ringan oleh Umno selaku leader dalam BN. Perumpamaan reput menanti runtuh kian hampir. Kini BN di bawah pimpinan Pak Lah berhadapan krisis paling besar dan dashyat. Era kehancuran yang bakal diwarisi oleh Najib Razak akan menyaksikan Umno dan BN akan hancur sehancur-hancurnya.
Masa kian suntuk buat Umno memulihkan keadaan. Mereka bukan tidak mampu, namun keegoan dan ketamakan dalam emngejar kebendaan, kedudukan, populariti, serta pengaruh sesama sendiri membuatkan BN dan Umno akan hancur. Walaupun hanya masa menentukan, rakyat negara ini pasti akan melihat sebuah kehancuran daripada sebuah parti yang membentuk kerajaan yang paling lama di dunia.
Pemimpin mereka tahu akan keburukan dan permasalahan dalaman mereka, tapi umpama 'barah', penyakit itu semakin memburuk dan membengkak. Detik sahaja yang memisahkan barah itu 'membunuh'. Tunggu dan lihat.
No comments:
Post a Comment