Nama Rosol Wahid, bekas Exco Kerajaan Negeri dan bekas Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Terengganu memang dikenali di sini. Semua tahu siapa Rosol dan bagaimana nasibnya sehingga kini. Bekas orang kuat Idris Jusoh itu kecundang dalam pemilihan Umno Bahagian Hulu Terengganu. Beliau bertanding menentang ‘anak buahnya’ Rozi Mamat (Exco Pertanian) bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Hulu Terengganu dengan perbezaan 37 undi yang menyakitkan.
Walaupun Rosol hanya bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian, namun aura pertandingan mengatasi perebutan jawatan Ketua Bahagian yang dimenangi oleh Tengku Putera Awang (Ku Tera) yang menang tipis ke atas Cikgu Mohd Noor Othman (Ahli Parlimen) Hulu Terengganu.
Walaupun Rosol hanya bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian, namun aura pertandingan mengatasi perebutan jawatan Ketua Bahagian yang dimenangi oleh Tengku Putera Awang (Ku Tera) yang menang tipis ke atas Cikgu Mohd Noor Othman (Ahli Parlimen) Hulu Terengganu.
‘Rakit’ yang dinaiki Rosol dan anak-anak buahnya termasuk ADUN Kuala Berang, Zawawi Ismail, dan Ahli Parlimen (MP) Hulu Terengganu, Mohd Noor Othman kini sudah karam. Yang tinggal hanya sisa-sisa harapan dengan sedikit keajaiban untuk menimbulkan semula kerangka rakit yang tenggelam itu. Rentetan cerita Rosol bersama teamnya itu amat menarik untuk diikuti. Malah, ia bagaikan satu berita menarik jika membabitkan Rosol, salah seorang anak didik Idris Jusoh.
Di Hulu Terengganu berlaku satu pertembungan sengit antara dua kumpulan Umno. Kumpulan Rosol yang turut didokongi oleh Zawawi dan Mohd Noor Othman manakala, kumpulan Ku Tera pula menampilkan kelibat Rozi Mamat dan Yusof Awang Hitam (Penyelaras DUN Manir). Ada yang mengatakan pemilihan Hulu Terengganu unik, kerana sebarang keputusan di sini bakal merubah senerio politik Umno Terengganu. Ia didasarkan kepada pertembungan dua rakit tadi yang mewakili kepentingan mantan Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh dan penyandang, Ahmad Said.
Bagi Idris walaupun tidak berkuasa, andai keputusan memihak kepada kumpulannya ia merupakan satu isyarat kemenangan terhadap musuhnya. Pun begitu, kemenangan Ku Tera pula adalah satu kebanggaan buat Ahmad yang sedang mengumpulkan kekuatan dan pengaruh di seluruh negeri. Benarkah!
Adakah Ahmad terlalu gembira dengan kemenangan regunya Ku Tera atau sebaliknya? Mengapa timbul persoalan sebegitu?
Dalam Umno, jangan kata dua tahun, tetapi dalam jangka masa dua minggu pelbagai perkara boleh berlaku. Selepas kekalahannya kepada Rozi yang turut menyaksikan ayam didiknya Mohd Noor tumpas di tangan Ku Tera, Rosol pantas melemparkan tuduhan. Kemenangan lawannya dibantu kuasa wang. Tidak perlu mengulas panjang masalah politik wang kerana ia sudah menjadi adat dan diibaratkan menjadi tradisi dalam Umno. Apa yang menarik, pemimpin Umno seperti Rosol atau sesiapa sahaja yang kalah, pasti akan menyalahkan lawan mereka dengan tuduhan rasuah. Itu pasti!
Itulah yang dimaksudkan. Dalam kita melihat puak yang menang bersorak sakan, yang kalah terus terkangkang, kita tidak perlu hairan kerana ia seakan budaya dalam perjuangan Umno.
Menariknya, dalam pertembungan ini Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said sebenarnya berada dalam keadaan tersepit. Beliau tentu gembira dengan kekalahan Rosol, namun dalam masa yang sama berasa gusar dengan kemenangan Ku Tera. Selaku perancang yang mahu memastikan pesaing tumpas, Ahmad nyata bertuah berada dalam regu Ku Tera. Begitupun, tuah yang dibawa oleh timbalannya itu bakal menjadi barah. Ahmad tidak akan senang dalam kesenangannya sekarang. Memandangkan regunya itu semakin gagah bertapak, ia memberi gambaran satu ledakan besar bakal meletus apabila keputusan terpaksa dibuat.
Tengku Putera Tengku Awang bukanlah calang-calang orang. Ketika musuhnya sedang membaca talqin di saat ‘kegeringannya’, beliau masih mampu bingkas bangun mencantas. Bukan sembarangan orang yang dicantasnya, tak lain iaitu bekas bosnya sendiri, Idris Jusoh sambil kita menyaksikan Rosol turut terkedu.
Oleh yang demikian, kegusaran Ahmad bukan lagi berkisar kepada rakit yang dikemudi Idris dan Rosol. Tetapi ianya meliputi ruang lingkup kejayaan Ku Tera. Bangunnya Ku Tera bukan sekadar menempelkan diri untuk berbakti kepada Ahmad semata-mata. Beliau masih mempunyai agenda yang perlu disempurnakan kelak. Dan agenda itu tak lain adalah tampuk kerusi Menteri Besar Terengganu yang sedang disandang oleh Datuk Ahmad said. Ada spekulasi mengatakan tuah Ahmad menyandang kerusi MB itu datangnya dari usaha gigih Ku Tera selama ini. Jika tidak masakan Ahmad mampu mengecapi kesenangan sebagaimana sekarang.
Tetapi ingat! Ku Tera sudah melepasi fasa persaingan paling sengit dalam pemilihan Ketua Bahagian. Persetankanlah dengan cara apa sekalipun ia menang. Kini beliau mempunyai jalan terbentang luas untuk merangka strategi dalam memenuhi nafsunya. Jika tidak bernafsu menduduki kerusi MB, mustahil Ku Tera turun ‘bersabung’. Ahmad pasti sedar semua itu, bukan!
Liku-liku berpalut kemelut perpecahan dalaman Umno Terengganu semakin tidak ada noktahnya. Jika selama ini kita dihidangkan dengan pelbagai aksi mengejutkan, tidak mustahil giliran Ahmad pula akan dikejutkan.
Ahmad juga bagaikan hilang punca apabila seorang lagi pahlawannya tumbang. Walaupun membawa gelaran ‘giant killer’, Senator Datuk Abdul Rahman gagal mengekang asakan Yahya Khatib (Exco) di Bahagian Marang. Beliau tentu lebih suka jika Abdul Rahman yang menang, bukannya Ku Tera. Perimbangan sokongan antara beliau dan musuh mungkin seimbang. Malangnya, Ahmad akan tersepit sekiranya Ku Tera akan kembali menebus kerusi MB daripadanya nanti. Beliau dijangka tidak mampu mengekang walau bergelar orang nombor satu dalam Umno Terengganu.
Ku Tera diyakini akan mempersilakan Ahmad turun dari takhtanya dengan apa cara sekalipun. Beliau menjangkakan akan menang mudah di DUN Telemong dalam pilihanraya nanti selepas ‘menendang’ Rozi ke kerusi Parlimen. Ini boleh menjadi isyarat awal perancangannya merampas kerusi MB Terengganu.
Apakah perancangan itu berjaya? Manakala, Ahmad pula akan hanya menyaksikan segala sandiwara. Tidak sama sekali. Percayalah, jika ada perjanjian lisan sekalipun, apabila sudah selesa sebagaimana persekitaran sekarang, seseorang itu sukar untuk mengalah. Ahmad bukan bodoh dan tidak mudah menyerahkan kerusi panas itu kepada Ku Tera. Tidak sama sekali walaupun Ku Tera merupakan regu akrab beliau.
Kita juga tidak pernah lupa bagaimana akrabnya Ku Tera dan Rosol Wahid suatu masa dahulu. Bukan sekadar baik malah, bagaikan Belangkas. Mesranya Rozi Mamat dan Cikgu Awi bukan kepalang. Namun, dek kerakusan merebut kuasa dan kedudukan, mereka ‘membutakan’ hati untuk berkompromi dalam perkara itu semua. Arrrgh! Pedulikan nilai persahabatan atau keakraban. Pergi jahanamlah dengan slogan perpaduan. Apa yang penting adalah ‘ruang’. Ruang yang diperlukan untuk terus bernafas agar tidak tenggelam.
Jika tiada bomoh sehebat Pak Belalang, sesungguhnya Pas Terengganu sudah mula mengukir senyuman menanti laba hasil pergelutan. Bukan menduga. Namun, segala firasat jelas membayangkan. Semakin dekat pilihanraya, semakin besar retak menanti belah. Jika selama ini Ku Tera berjaya menguburkan impian Idris dan Rosol, tidak mustahil beliau mampu mengulanginya sekali lagi terhadap Ahmad Said. Jika berlaku, ianya satu lagi mimpi ngeri buat Umno Terengganu.
No comments:
Post a Comment