Saturday, November 29, 2008

NOSTALGIA PILIHANRAYA MENGAMIT WARGA KT


Al-Fatihah buat Saudaraku Razali Ismail yang telah kembali ke Rahmatullah- mengadap PenciptaNya yang Maha Esa, semoga dimudahkan segala urusan di alam barzakh.

Kini kita yang tinggal hanya menunggu detik ketika bagi meneruskan agenda 'hidup' di atas muka bumi Allah SWT yang telah memberikan kita (makhlukNya) tanggungjawab sebagai Khalifah. Dalam erti kata manusia itu wajib menyembah kepadaNya yang mencipta, harus diingat juga, peranan Khalifah itu sendiri bukan untuk bermegah tetapi satu beban tugas yang amat berat bagi yang beriman.

Yang mati tetap mati menunggu dihidupkan kembali. Namun, yang hidup pasti banyak tugas yang perlu dibereskan. Setelah berlaku kekosongan kerusi di Parlimen Kuala Terengganu, sudah tentu Pilihanraya mengamit warganya. Jika tiada aral sebelum musim persekolahan baru dibuka atau selepas itu, kita hanya menunggu isyarat.

Paling menarik, pilihanraya di Kuala Terengganu hadir selepas kemenangan besar PKR di kubu kuat mereka Permatang Pauh menerusi mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim. Mampukah gerakan rakyat mengekalkan tempo kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di sini (KT)?.

Dari kacamata penganalisis politik, kekuatan dan kelemahan pihak kerajaan BN dan PR di KT hampir sama rata. Berdasarkan keputusan pilihanraya umum ke-12 lalu, tiada bezanya kecuali undi pengacau daripada Tok Mun. Bukan mudah PR mahu menawan kembali KT sebagaimana mereka menang sebelum arwah Razali mengunggulinya selama dua penggal berturut-turut.

Begitupun, bukan payah untuk PR memenangi hati masyarakat di KT satu kawasan Parlimen Bandaraya yang penuh dengan 'permintaan'. Tambahan situasi tidak menentu kecelaruan BN di seantero tanahair mengambarkan persaingan di sini begitu menarik dan perlu diikuti rapat.

Jika dibandingkan dengan masalah dalaman, kedua-dua pihak tidak lekang dengan isu, samada isu 'heavyweight' atau 'lightweight'. Jika dipihak PR yang digembar-gemburkan dengan ikatan longgar pakatan, pihak BN juga mengalami krisis yang serupa. Malah, 'siren' di pihak BN, bunyinya agak mencemaskan. Abdullah Badawi yang menerajui BN hampir tidak terkeluar kata-katanya untuk menangkis segala permasalahan yang melanda BN. Baik dipihak MCA, Gerakan, MIC dan PPPP. Ditambah lagi dengan kemelut hilang kepercayaan sebahagian besar MP Parti komponen BN di Sabah dan Sarawak.

Belum reda dengan semua itu, Umno yang menerajui BN tidak mampu menutup 'pekung' mereka dalam isu rasuah politik wang dalam pemilihan parti peringkat Bahagian baru-baru ini. Gejala yang memburuk sekian lama semakin menjadi-jadi dan sudah dianggap terbuka dikalangan pemimpin serta ahli mereka. Rasuah itu sendiri sudah menggambarkan Umno tiada maruah.

Ada juga kedengaran sedikit sebanyak isu dan kelemahan pentadbiran di pihak PR, terutamanya dinegeri yang diperintah PR. Sehinggakan isu remeh dan soal babi yang diwarisi oleh PR dari kerajaan BN dicanang bagaikan satu isu sosial yang amat parah.Mungkin juga tiada modal, isu papan tanda di Pulau Pinang turut dipersoal. Dalam pada menghentam isu bahasa papan tanda, BN lupa mereka turut mendaulatkan bahasa asing dalam Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Basaha Inggeris (PPSMI). Rakyat yang ada kesedaran akan faham isu yang sebenarnya.

Oleh itu, tidak hairanlah jika dalam kempen pilihanraya di KT nanti, seberat-berat isu dan seremeh temeh isu semasa akan diketengahkan. Jangan terkejut jika ada isu baru yang diutarakan oleh pihak BN mahupun PR. Tidak perlu hairan, semua itu nanti sudah sinonim dengan strategi menghadapi lawan.

Berbalik ke KT. BN pasti akan meletakkan calon Umno mereka. Malah tidak kertelaluan jika Wan Farid (Ketua Bahagian Kuala Terengganu) teringin sangat bergelar YB menjadi calon favourite mereka. Inilah masanya. Tentu Umno akan menjuarai segala budi baik yang telah ditabur oleh allahyarham Razali sebagai modal. Isu tidak relevan Anwar yang gagal dalam misi 16/9 nya pasti akan dijaja. Masalah dalaman Pas Selangor yang menendang keluar Khalid Samad pasti panas. Malah, isu Pas Terengganu tidak lagi menjuarai konsep kepimpinan mesra pasti berulang kali diulas nanti.

Ironinya, Pas tidak akan berdiam diri. Besar kemungkinan calon mereka menjadi pilihan kali ini tidak dapat ditolak. Walaupun ada desas desus keinginan PKR mencuba nasib, siapa jua calon PR nanti akan dinanti penuh sabar masyarakat bandaraya ini. Dalam iklim kemelut BN yang tidak pernah putus, ditambah dengan barah semakin membuak dalam kepimpinan Umno, menjadikan persaingan PR masih bernafas.

Ketidak tentuan perbalahan dalam kem Wanita Umno akan dijadikan modal syarahan oleh kaum Muslimat Pas dan PKR. Kelab Penyokong Pas, PKR dan DAP pasti berlumba-lumba menyumbang tenaga dan undi di sini. Jika benar mereka beralih angin, sudah tentu alasannya mereka sudah muak dengan BN.

Cabaran kerajaan BN Terengganu yang amat terdesak mendapatkan cek pampasan royalti minyak dari Petronas mungkin bakal menyelamatkannya jika kerajaan pusat mengembalikannya sebelum pilihanraya berlangsung. Jika tidak, nahaslah mereka!

Jangan lupa juga skuad 'cah keting' Umno yang masih berbalam kudis kecewa mereka. Pasti ada puak-puak golongan 'penderhaka' yang hanya menunggu masa nak mengenakan MB 'kesayangan mereka, Ahmad Said. Inilah masa nak menjatuhkan kredibilitinya. Aduh! Kuala Terengganu mungkin juga jadi lubuk puaka bagimu Ahmad. Bagaimana nak atasinya? Tentu Ahmad ada petua dan jampi serapahnya.

Uniknya Terengganu. Selain menjadi sasaran BN mencemuh kerana di sinilah adanya Presiden Pas dan Timbalan AMK PKR Pusat yang begitu lantang menentang, di sinilah kawasan yang sering menimbulkan pelbagai berita sensasi. Masih ingatkah peristiwa berdarah Batu Buruk? Sama-samalah kita nantikan.

Di sini akan menobatkan...siapa juara siapa berkelana. Yang pasti Kuala Terengganu bakal mendapat wakil rakyatnya yang baru. Tunggu!!!

No comments: