Tuesday, December 30, 2008

PRK: Ujian Sebenar Ahmad Said


Memang bukan mudah bagi Barisan Nasional (BN) untuk menangani Pas di Pilihan Raya Kecil (PRK) P36 Parlimen Kuala Terengganu, apatah lagi kemenangan Allahyarham Datuk Razali Ismail hanya dipisahkan dengan kontrovesi undi pos serta undi rosak sahaja. Manakala, Tuk Mun turut ‘merampas’ undi pembangkang ketika itu.

Perlu diingat, khidmat cemerlang Allahyarham Razali ketika menjadi Ahli Parlimen (MP) Kuala Terengganu, merangkap Timbalan Menteri Pelajaran tidak mudah ditebus oleh calon BN yang baru; Wan Ahmad Farid.

Selain menjadi kayu pengukur kepada Pas, dengan sejauh manakah keupayaan menarik sokongan dan mengaitkan isu-isu yang mengongkong pengundi di kawasan Kuala Terengganu, ia juga merupakan satu medan ujian buat Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar (MB) Terengganu. Semua mata bertumpu di sini sebagai hakim yang akan mengadili beliau yang sedang menerajui sebuah kerajaan negeri yang terkaya, tetapi rakyatnya antara termiskin.

BN mungkin boleh mendabik dada meletakkan seorang calon berkaliber seperti Datuk Wan Ahmad Farid. Namun, adakah ia menepati kehendak penduduk Kuala Terengganu dan harapan MB sendiri?

Pandangan umum tentulah mengharapkan MB Terengganu yang menggantikan Idris Jusoh, partinya mahu membuktikan kepada seluruh warga Terengganu dan pucuk pimpinan Umno bahawa beliau sudah diterima rakyat. Di sebalik penantian itu, ramai juga ahli Umno yang seakan menanti ‘kejatuhan’ Ahmad dalam PRK itu nanti. Kenapa?

Sebagaimana diketahui umum, Umno Terengganu juga tidak lekang dengan krisis dan masalah dalaman. Ada suara nakal mengatakan MB tidak begitu sebulu dengan lantikan Wan Ahmad Farid sebagai calon Parlimen Kuala Terengganu. Sembang warung kopi, dan sumber ahli akar umbi juga menyatakan bahawa MB lebih gembira sekiranya Cikgu Zuber Embong terpilih sebagai calon, selepas calon pilihannya, Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Zuber tidak tersenarai.

Jika sedemikian rupa, bermakna wujudnya perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Umno Terengganu berkaitan pemilihan calon. Ada juga yang mengatakan pencalonan Datuk Wan Ahmad Farid merupakan satu kemenangan moral buat mantan MB Terengganu, Datuk Idris jusoh.

Begitu pun, rakyat Terengganu tidak mudah lupa bagaiman usaha keras Ahmad mengembalikan semula royalti minyak ke pangkuan negeri, sekaligus memberi isyarat kemenangan buat rakyat Terengganu itu sendiri.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri (TPM), merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Disember lalu yang ‘menyerahkan’ habuan tersebut kepada kerajaan negeri Terengganu bagaikan rahmat buat Ahmad sendiri. Beliau juga telah mengumumkan sebarang projek mega akan dibekukan dan ini pasti mengembirakan rakyat Terengganu yang mengharapkan ‘laba’ dan perkongsian bijak royalti minyak tersebut.

Hasrat beliau yang mahu melaksanakan program e-book dengan membekalkan komputer riba bagi mengantikan buku teks kepada pelajar tahun depan dilihat tawaran menang-menang beliau terhadap masyarakat dalam dunia pendidikan. Malah, kerajinan beliau turun padang tanpa ‘protokol’ begitu mengejutkan rakyat kebanyakan. Ini memberi merit kepadanya meraih sokongan bagi calon BN walaupun Wan Ahmad Farid dikatakan bukan daripada ‘teamnya’.

“Kita akui kita akan menghadapi tentangan sengit, tetpai kita akan mempertahankannya,” membayangkan betapa harpan beliau untuk meraih sokongan dalam memgekalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu.

Bukan mudah meraih undi rakyat di sini (KT) memandangkan pengundi Kuala Terengganu bukan sahaja mencari seorang Ahli Parlimen, lebih dari itu rakyat di sini turut mencari seorang wakil rakyat yang berkaliber dan mampu meneruskan khidmat cemerlang kepada mereka sebagaimana dipelopori oleh Allahyarham Razali.

Pembinaan pelbagai infrastruktur termasuk dalam bidang sukan di Gong Badak turut menaikkan imej pembangunan sukan di negeri ini. Ahmad tentu gembira meraikan kejayaan sulung kontinjen negeri yang meraih juara keseluruhan Sukma sejak temasya itu dimulakan sejak tahun 1986 lagi.

Namun, apakah dengan hanya kemenangan moral itu sahaja Ahmad mampu mengukir senyuman? Sudah berlapang dada meraih kejayaan sulung pilihan raya di bawah pentadbirannya. Perlu diingat, Pas juga mempunyai kekuatan tersendiri.

Pihak Pakatan Rakyat (PR) awal-awal lagi sudah melaungkan sokongan padu kepada Pas bagi mengelak segala keraguan dan salah anggap. Ia juga menutup terus peluang BN menghentam PR dalam soal pemilihan calon. Ini menjadikan Pas berada di landasan kukuh mengharungi ranjau di Kuala Terengganu. Segala persiapan kini tertumpu kepada memenangi hati rakyat dalam apa jua permasalahan.

Dengan menjadikan pertempuran ini seolah-olah ‘mengadaikan’ kerusi panas MB sebagai galang ganti, Ahmad Said tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang di sini. Sebarang kekalahan hanya merobek kembali luka lama dan mungkin juga tampuk kerusi MB itu kembali mengelegak kepanasan. Mungkin keterlaluan, tetapi ada kemungkinan. Anggap sahaja Ahmad ada kawan dan ada lawan.

Parlimen Kuala Terengganu juga tidak asing bagi Pas, di mana mereka pernah merampasnya daripada BN pada pilihanraya sebelum ini. Jadi, bukanlah angan kosong jika Pas turut mimpikan ‘keindahan’ di PRK itu nanti. Malah, jika diambil kira momentum kemenangan PR di Permatang Pauh, serta ‘mood’ semasa rakyat di seluruh negara, tidak ada istilah tidak boleh bagi Pas merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Isu dan masalah kemiskinan tegar serta hak pemilikan tanah yang sering menghantui rakyat boleh dijadikan modal Pas meraih simpati. Keupayaan dan kebijaksanaan memerintah kerajaan negeri suatu masa dulu masih menambat hati rakyat hingga kini. Walaupun tidak lama, namun segala usaha yang dilakukan lebih berorientasikan rakyat berbanding BN yang lama memerintah, tetapi banyak perkara yang terbengkalai.

Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata, mereka akan menggunakan pendekatan berbeza apabila bertanding di kawasan bandar. Semua faktor khususnya penamaan calon, gerak kerja termasuk pendekatan berkempen akan diperincikan sebaik mungkin. Malah, kenyataan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyuarakan keyakinan Pas akan menang di Kuala Terengganu bagaikan menambah suntikan semangat kepada semua ahli Pas. Penerimaan ahli Pas lebih telus berbanding ahli Umno berkaitan pemilihan calon. Mereka sentiasa membuka pemikiran untuk menyokong mana-mana calon yang diutarakan, manakala Umno mempunyai masalah sebaliknya dalam soal itu.

“Diharap semua yang terlibat dalam pilihan raya itu kelak dapat mengundi Pas kerana segala apa yang Umno boleh buat selama ini, Pas juga mampu laksanakan.” ujar Nik Abdul Aziz yang membayangkan keupayaan Pas dalam pertentangan itu kelak.

Kesudahannya, Ahmad harus belajar erti pasrah sekiranya beliau terpaksa mengalah. Namun, andai kemenangan dicapai, beliau adalah orang Umno pertama berupaya menghela nafas panjang.

1 comment:

al-brangi said...

Demam tak keboh mad said