Umum sudah mengetahui bahawa pada pilihan raya umum yang lalu, terdapat 1,357 undi pos bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu. 1,089 dikira sebagai undi dan selebihnya didapati sebagai undi rosak, menyaksikan 999 memihak kepada calon Barisan Nasional (BN).
Untuk rekod, dalam pilihan raya lalu juga menyaksikan kerusi Parlimen itu dimenangi oleh calon BN, Razali Ismail dengan undi sebanyak 32,562 mengalahkan Mohd Sabu yang meraih 31,934 undi.
Timbalan Persuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, demi mengelakkan undi pos dimanipulasikan oleh BN, penipuan serta kesalahan dalam sistem pilihan raya perlu ditangani dengan serius bagi memastikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti berjalan lancar.
“Untuk itu, penjawat awam dan masyarakat keseluruhannya perlulah diberikan kebebasan serta hak untuk menentukan undi mereka . Malah, mereka wajar diberi peluang menjadi ‘pengadil’ dan tidak perlu dikenakan tekanan dan sebarang bentuk diskriminasi khususnya kepada anggota tentera dan polis ketika membuang undi, selaras dengan perlembagaan negara,” katanya ketika mengulas berkaitan undi pos dalam pilihan raya kecil itu nanti.
Mengulas lanjut, beliau tidak mahu menerima laporan wujudnya ‘pergerakan terancang’ yang mahu mengugut serta menjejaskan proses pilihan raya kecil itu nanti. Malah, berharap rakyat diberi pilihan bebas secara adil untuk menentukan calon mana yang akan mereka pilih sebagai wakil mereka nanti.
“Rakyat perlu diberi ruang dan keadilan supaya dapat menggunakan kuasa yang ada pada mereka. Tidak perlu paksaan untuk mereka membuang undi demi menyaksikan satu pilihan raya yang adil dan telus.
“Sepatutnya rakyat diberi kefahaman berterusan betapa pentingnya pilihan raya yang dapat mengangkat, mengekalkan atau menggantikannya dengan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Katanya, rakyat dan pegawai kerajaan harus diberi peluang yang sama supaya perjalanan pilihan raya berjalan secara telus dan bersih. Jangan ugut dan paksa mereka dalam membuat pilihan.
“Kita (Pas) sudah lama bersedia menghadapi pilihan raya kecil ini bersama-sama rakan pembangkang lain untuk merampas kembali kerusi Parlimen ini. Ianya adalah untuk membela hak dan nasib rakyat di sini,” katanya lagi. Sudah tiba masanya sistem pilihan raya dirombak setelah berjalan sekian lama. Ianya perlu kepada perubahan dan ketelusan di samping membaik pulih dalam usaha ke arah sebuah pilihan raya yang adil tanpa pengaruh mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment