Wednesday, December 3, 2008

Contohi Muslimat Pas: Sakinah

Timbalan Ketua Muslimat Pas Terengganu, Safinah Jusoh berkata, Wanita Umno perlu mencontohi muslimat Pas dalam menentukan kepimpinan tertinggi mereka agar tidak timbul sebarang masalah.

Beliau berpendapat, sebagai pemimpin (ketua) mereka perlu menyerahkan kepada ahli akar umbi untuk memilih dan memastikan kepimpinan Wanita terus kekal sambil mencadangkan agar Wanita Umno mengikut prosedur biasa.

“Dalam Pas, kita tidak melobi untuk menjadi pemimpin. Kita serahkan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang berkelayakan dan kita pilih pemimpin bukan berdasarkan wang namun, berdasarkan kredibiliti yang ada pada mereka,” katanya lagi.

Katanya, biarlah akar umbi membuat pilihan mereka dalam Wanita Umno tanpa ada sogokan wang daripada mana-mana pihak. Itu perlu untuk menentukan seseorang pemimpin itu bersih atau tidak serta dipilih berdasarkan kemampuan mereka.

“Kita bukan nak campur urusan dalaman mereka, tapi kalau boleh pemilihan Wanita Umno berada diluar politik wang, jangan dicontohi pemilihan Umno yang lepas,” katanya sambil mengakui setakat ini belum pernah mendengar pemilihan Wanita Umno dicemari dengan politik wang.

Beliau yang mengulas berkaitan pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang tidak menjadi turut menyarankan agar semua perwakilan wanita nanti diberikan kebebasan untuk membuat pilihan berdasarkan kelayakan. Sebelum itu, Shahrizat Jalil diberitakan akan menentang ketuanya, Rafidah Aziz dalam pemilihan Ketua Wanita Umno Pusat pada Mac akan datang. Ianya ekoran keengganan Shahrizat menerima anjakan peralihan kuasa dari Mac ke Jun 2009. Selain itu, dakwa Shahrizat, keperluan beliau bertanding adalah di atas ke hendak akar umbi bukan kerana ingin melawan Rafidah Aziz.

wasilah0nline

No comments: