Friday, December 26, 2008

MUSLIMAT PAS BANTU KEMPEN

Sebagaimana sayap parti lain, Muslimat Pas tetap turun padang dan mengerakkan jentera mereka dalam membantu calon Pas dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti. Mereka akan bekerja keras bagi memastikan calon parti itu meraih kemenangan selesa dan merampas kembali kerusi Parlimen itu dari tangan Barisan Nasional (BN).

Toh Puan Fatimah Ibrahim, Ketua Dewan Muslimat Pas negeri berkata, walaupun mereka tidak begitu menonjol berbanding sayap parti yang lain, tetapi mereka sentiasa bekerja keras bagi menguatkan jentera di peringkat akar umbi.

“Kita mula melakukan persiapan dan bergerak dengan program dan aktiviti bersama Muslimat di semua cawangan dan akar umbi,” katanya lagi.


Menurutnya, Pas telah memenangi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu, iaitu DUN Ladang, Wakaf Mempelam, dan Batu Buruk. Justeru, tidak mustahil dalam pilihan raya kecil kali ini, calon Pas akan menguasai kerusi Parlimen Kuala Terengganu berdasarkan sambutan semasa daripada rakyat.

Katanya, Muslimat Pas akan terus bergerak membantu parti walaupun siapa jua calon yang akan diketengahkan nanti. Malah, mereka bersama jentera parti tanpa mempersoalkan siapa pun calon kerana kerja yang dijalankan adalah demi parti yang ditunjangi.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut melaungkan keyakinan bahawa calon Pas mampu menewaskan calon BN dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Ketuanya, Fariz Musa berkata, ‘mood’ jentera parti yang disusun tidak akan berubah dan sentiasa bekerja kuat membantu Pas, walaupun siapa jua yang diketengahkan sebagai calonnya nanti. Mereka sentiasa bersedia dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan.

“Kita lihat ‘mood’ jentera parti begitu bersedia menghadapi pilihan raya. Kita sentiasa bersedia dan bekerja keras bagi memastikan Berjaya merampas kerusi Parlimen ini dari tangan BN,” katanya lagi.

No comments: