Tuesday, April 29, 2008

Siapa pemenang sebenar?


KETUA NEGERI: ANTARA KEPIT DAN TERSEPIT?

MUNGKIN ramai terkejut mahupun keliru dengan perlakuan ‘aneh’ Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said. Apakan tidak, belum pun mencapai tempoh matang dalam mentadbir kerajaan negeri Terengganu, beliau sudah menunjukkan perubahan ketara menjurus kepada keperluan kepentingan rakyat dan negeri ini.

Berlambak ulasan semasa daripada penganalisis politik yang selama ini begitu berminat meneropong negeri gelaran Darul Iman ini semenjak sebelum pilihanraya lagi. Kini, masih ada modal untuk menulis hal berkaitan Menteri Besar kontrovesi itu. Dan sememangnya negeri ini berada dalam ‘top five’ negeri yang sering dibicarakan.

Kelantangan beliau memohon kerajaan pusat mengembalikan royalti minyak merupakan satu ‘bedilan’ jitu ke dada Pak Lah, sekaligus memberikan isyarat negeri yang tak lekang dengan pergolakan politik itu bakal bergolak sekali lagi. Tidak seperti isu pilihanraya, isu ini dilihat bakal menentukan nasib dan kredibiliti Perdana Menteri dalam usaha beliau mengekalkan jawatannya seandainya tidak ditangani dengan berhemah.



Sebagaimana saya ulas minggu lalu, samada dalam keadaan redha atau keterpaksaan, Abang Mat Said telah melakukan beberapa perubahan drastik dalam pemerintahannya. Beliau bagaikan mahu mengikis segala ‘karat’ yang ditinggalkan Idris dalam banyak hal, walaupun dalam sesetengah kes beliau tidak mampu sebagaimana dalam penganjuran Monsoon Cup yang masih terikat dengan terma perjanjian 10 tahun penganjurannya.

Isyarat jelas kepada bosnya di Putrajaya dalam memenuhi tuntutan mengembalikan hak royalti minyak Terengganu begitu menusuk kalbu Pak Lah. Menyedari ianya amat sensitif bagi rakyat Terengganu, pelbagai pertimbangan terpaksa dibuat bagi menjaga hati semua pihak. Namun, kekecewaan jelas terbayang diraut wajahnya ketika mengulas isu berkenaan kepada pihak media. Beliau bagaikan tidak bersedia memberikan komen hanya menyatakan, “Dana khas dan wang ehsan telah banyak membantu rakyat Terengganu,” sambil berlalu meninggalkan pembesar suara.

Bunyinya ringkas, “kembalikan wang royalti minyak Terengganu”. Tetapi persepsi dan pengertiannya amat besar. Malah jika hendak dihitungkan sejak 1978 berapa billion sudah sepatutnya berada dalam kantung kerajaan negeri. Jika ditaburkan secara berhemah, alangkah seronoknya rakyat negeri ini melihat bagaimana Terengganu begitu maju, mungkin semaju Selangor atau Pulau Pinang. Namun, hakikatnya negeri bernama Terengganu itu sendiri terkapai-kapai, dan siapa sangka, Melayu Umno suatu ketika berhati busuk mengarahkan royalti itu ditarik balik.

Nah! Sekarang semua mata memandang, jari menuding! Bukan lagi PAS yang meminta dikembalikan royalti minyak tetapi diluahkan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu dari kepompong Umno. Pada peringkat awalnya kita ingatkan adanya ralat dalam penyiaran berita, samada akhbar mahupun media elektronik. Rupanya ia adalah satu kenyataan benar bersulam kesungguhan daripada Ahmad Said. Ramai yang terkejut. PAS menyokong, tetapi sehingga saat ini, BN Terengganu masih membisu, sekaligus menimbulkan beberapa telahan bahawa Ketua Eksekutifnya, Idris Jusoh tidak berani membantah ‘bos’ besarnya, di Putrajaya.

Apa jua telahan kita terhadap mentaliti BN dan Umno Terengganu selama ini mungkin ada kebenarannya. Mereka merupakan golongan lemah dan terpaksa bergantung kepada suara ‘dewa’ agung mereka untuk bertindak atau boleh ditaklikkan sebagai sebuah robokop yang telah diprogramkan dalam melaksanakan sesuatu. Biarpun perkara yang diketengahkan itu mempunyai nilai keperluan sejagat.

‘Kebaculan’ Umno Terengganu dalam usaha menyokong Menteri Besar menampakkan betapa krisis yang melanda mereka belum berakhir sepenuhnya. Dendam kesumat ekoran kemelut melanda sebelum ini sukar diubati, apatah lagi orang yang terkena tempias itu merupakan orang kesayangan Perdana Menteri.

Jika itulah keadaannya, benarlah telahan yang dibuat bahawa Terengganu dan Perlis akan menerima nasib yang sama seperti lima negeri Pakatan Rakyat (PR), yang akan disisihkan dari pandangan kerajaan pusat sebagai pengajaran terhadap mereka yang enggan mengikut telunjuk Perdana Menteri.

Secara rambang, rakyat tidak perlu bersusah payah membuat kesimpulan, di mana segalanya sudah nyata dalam banyak kes, Umno dan BN hanyalah memperjuangkan kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat. Apatah lagi memperjuangkan agama Islam. Mereka bukan sahaja membenci pihak pembangkang yang secara terang tidak sebulu dengan mereka, malah akan mengenepikan ‘ahli keluarga’ mereka secara halus sebagai jalan melepaskan geram.

Meneliti isu royalti minyak, ianya sememangnya wajar dikembalikan kepada Terengganu. Sudah tiba masanya kerajaan pusat menyerahkan kembali hak rakyat Terengganu agar segala komisyen yang bakal diterima kerajaan negeri dapat diurus tadbir sendiri. Lagipun, inilah masa yang paling sesuai kerajaan Abdullah Ahmad Badawi melakukannya, iaitu dalam keadaan kerajaan negeri masih di bawah kekuasaan BN pimpinan Ahmad Said. Sekurang-kurangnya kerajaan pusat tidaklah begitu malu untuk memulangkannya, dan tidaklah perlu menunggu sehingga Terengganu diperintah pihak pembangkang.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas pernah berkata ketika beliau menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Terengganu suatu ketika dahulu, bahawa Kerajaan Persekutuan tidak ada hak untuk menafikan pembayaran royalti minyak tersebut kepada Terengganu.

Menurutnya, menurut undang-undang dibawah Seksyen 4 Akta kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara negeri itu dengan Petronas pada 22 Mac 1975, kerajaan Pusat tidak ada kena mengena langsung yang membolehkan ia campur tangan dalam perjanjian ini untuk menghapuskan hak kerajaan Terengganu.

"Campur tangan kerajaan Pusat ini adalah bertentangan dengan undang-undang kontrak dan Perlembagaan Persekutuan." Kata beliau lagi.

Gesaan beliau supaya Kerajaan Persekutuan berpegang kepada prinsip perundangan dan tidak sepatutnya bertindak liar sedemikian dan tindakan tidak bermaruah ini (pengagihan wang ehsan atau dana khas) mestilah ditarik semula.

Apabila timbul idea seorang Menteri Besar dari kalangan BN mengutarakan persoalan hak royalti petroleum ini, maka timbul polemik di dalam Umno sendiri yang seakan berbelah bahagi samada mahu menyokong atau sebaliknya. Pak Lah sendiri tidak berminat untuk membicarakan soal kepentingan rakyat Terengganu, kerana menurutnya sebelum ini rakyat di negeri ini sudah menikmati laba hasil daripada pemberian dana khas dan wang ehsan.

Apakah dengan pemberian wang whsan sebanyak RM300 seorang, perubahan ketara kadar kemiskinan rakyat Terengganu dapat dijelaskan? Sebenarnya konsep itu merupakan satu ‘silap mata’ yang dimainkan untuk menutup segala ruang ‘rompakan’ secara besar-besaran pihak berkepentingan yang mengaut keuntungan berpaksikan pembangunan. Impian golongan ini bukan mahu melihat kesengsaraan rakyat Terengganu dileraikan, namun ia hanya bermotifkan politik sempit dengan mengeksploitasikan tahap kemiskinan bagi tujuan meraih sokongan.

Walau apa jua percaturan, Terengganu kini berada di persimpangan. Ibarat dua Kapten dalam satu nakhoda. Salah seorang merupakan kapten yang sudah lumpuh dibedil oleh seorang lanun dari perairan Kijal. Manakala seorang lagi kapten hanya menunggu masa dibedil oleh ketua lanun yang berpengkalan di negeri Putra al-Jaya. Kisah mereka ini amat merugikan masa dan rakyat Terengganu. Dalam keadaan sepatutnya rakyat sudah menikmati segala kemudahan daripada janji-janji manifesto pilihanraya, namun pihak pemerintah yang berkuasa masih bercekerama bagaikan adengan drama bersiri korea yang tidak ada tanda-tanda akan ada episod akhirnya.

Adakah Ahmad Said kini tersepit? Atau beliau terpaksa mengepit untuk mempertahankan maruah dan mahu kembali memahat sejarah, mencipta tamaddun?

No comments: