Saturday, April 26, 2008

Bukti Umno tidak mahukan Islam


DILEMA PENUTUPAN SEKOLAH RENDAH AGAMA DI TERENGGANU.

KUALA TERENGGANU- Persuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Haji Mustafa Ali pernah menyuarakan rasa terkilannya di atas tindakan kerajaan negeri sekarang yang meminggirkan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan Idris Jusoh dilihat gagal dalam menyediakan keperluan pendidikan agama di peringkat sekolah rendah ekoran membiarkan SRAB berkubur begitu sahaja, berbanding semasa era PAS memerintah 4 tahun lepas.

“Kerajaan sekarang hanya memetingkan pembangunan material semata-mata tanpa mempedulikan pendidikan agama di peringkat sekolah rendah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis ramah mesra bersama rakyat di Markas PAS Pengkalan Berangan baru-baru ini.

Rata-rata ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka di sekolah terseut turut melahirkan rasa kesal mereka dengan situasi berkenaan. Malah sesetengahnya melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikap kerajaan negeri yang terus ‘membutakan’ mata, sekaligus hanya membiarkan sekolah itu bakal ditutup tanpa membuat pengambilan baru sejak 4 tahun kebelakangan ini.

Kini semua sekolah SRAB di seluruh negeri hanya menunggu masa untuk ditutup apabila jumlah pelajar dan kelas yang ada sekarang hanya tinggal dua kelas sahaja, iaitu tahun 6 dan 5. Manakala tahun 1 hingga 4 tidak mempunyai pelajar ekoran tindakan kerajaan negeri yang tidak membenarkan membuat pengambilan baru. Pihak Majlis Agama Islam Negeri Terengganu (MAIDAM) yang mengurus selia sekolah berkenaan sendiri tidak mampu membuat tindakan untuk ‘menghidupkan’ kembali sekolah berkenaan memandangkan ianya tidak dibenarkan oleh pihak atasan.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Husin berkata, adalah tidak wajar pihak kerjaan negeri terus ‘membisu’ dalam soal ini, sedangkan SRAB merupakan antara sekolah rendah terbaik di seluruh Terengganu. Meneliti kepada pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), selama tiga tahun berturut-turut, majoriti pelajar dari SRAB menunjukkan kualiti dalam peperiksaan tersebut. Contohnya SRAB Mahmudiah di Kuala Berang yang telah muncul antara SRAB terbaik selama dua tahun berturut-turut.

“Saya tak faham kenapa kerajaan negeri mahu menghapuskan SRAB, sedangkan mereka memperjuangkan Tadika Yayasan Islam Terengganu dengan menekankan program hafiz Quran. Sepatutnya SRAB terus dikekalkan sebagai kesinambungan ibu bapa membuat pilihan menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama,” katanya lagi.

Sementara itu, difahamkan pencapaian SRAB Mahmudiah merupakan antara pencapaian terbaik, di mana sekolah tersebut mencatat kelulusan 100 peratus lulus semua mata pelajaran dengan 6 daripada 12 pelajarnya mencapai keputusan 5A. Ini menunjukkan sekolah rendah agama bukan sahaja dapat mendidik pelajar dalam mata pelajaran agama sahaja, tetapi mampu mencorak pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Dan jika mahu dibandingkan dengan pelajar sekolah harian biasa, pelajar di sini boleh dianggap terbaik berlandaskan keupayaan mereka mencatat 7A dalam mata pelajaran agama.

“Kami hairan macamana kerajaan negeri tidak prihatin dengan nasib sekolah ini. Walaupun ianya diwujudkan semasa pemerintahan PAS, namun adalah menjadi tanggung jawab pihak kerajaan negeri sekarang meneruskan kesinambungan di sekolah ini. Kerajaan negeri ada duit untuk mencorak sekolah ini dengan lebih baik lagi berbandind zaman PAS yang serba kekurangan,” jelas Mohd Sabery Yunus yang mana anaknya turut bersekolah di SRAB.

Pada dasarnya, SRAB merupakan sebuah sekolah yang mampu melahirkan generasi Ulul-Albab sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh Idris Jusoh. Memandangkan pelbagai program yang dirancang serta dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan golongan pelajar berilmu agama, adalah janggal apabila mereka dalam masa yang sama ingin ‘menghapuskan’ SRAB.

Apatah lagi dasar kerajaan pimpinan Abdullah Badawi yang melaung-laungkan Konsep Islam Hadhari. Apakah itu Islam Hadhari? Di mana ada kerelevenannya, sedangkan proses mentarbiyahkan kanak-kanak berlaku berterusan bermula peringkat awal persekolahan. Dengan adanya SRAB, ia semakin memudahkan proses transisi pelajar apabila mereka menjejakkan kaki ke sekolah menengah agama. Asas keagamaan itu sendiri tampak wujud kesesuaian, lantaran itu ia turut menyumbang kepada pintar agama sebagaimana yang dicanang oleh Kerajaan Islam Hadhari hari ini.

Walaupun mungkin pihak yang bersangkutan dengan SRAB membuat permohonan serta rayuan untuk meneruskan perjalanan sekolah ini, namun sampai setakat ini belum ada tanda-tanda positif pihak kerajaan negeri memberi lampu hijau untuk meneruskannya. Sedangkan SRAB kini hanya tinggal dua kelas sahaja dengan bilangan pelajar tidak sampai 40 orang.

Amat malang bagi Rakyat Terengganu yang rata-rata cintakan keagamaan. Budaya dan nilai yang sudah sebati dengan masyarakat itu hanya dipandang sinis oleh pihak kerjaan negeri di atas alasan remeh: kerana SRAB ditubuhkan oleh PAS. Sepatutnya mereka berfikir dengan waras di atas dasar keperluan membentuk jiwa kanak-kanak atau pelajar agar sinonim dengan konsep keagamaan. Bukan kita menolak sekolah harian biasa yang sarat dengan program J-Qafnya itu, tetapi ironinya ia biarlah selaras dengan konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh pihak berwajib. Jangan pula kita merangka pendekatan bertemakan Islam, tetapi dalam masa yang sama menolak kewujudan program pendidikan Islam secara total.

Bagi segelintir ibu bapa serta penjaga yang ditemui menyarankan pihak kerajaan mengambil tindakan drastik memulihkan institusi keagamaan itu. Menurut mereka, masih belum terlambat untuk mengundurkan perahu yang terlajak sekiranya kerajaan negeri prihatin dengan kehendak masyarakat atau rakyat yang mendokong mereka selama ini.

No comments: