Saturday, May 10, 2008

UMNO: JUARA DALAM KEKABURAN


Kononnya cekap mencuci najis pembangkang, namun gagal menutup bangkai sendiri.

SEPANJANG minggu lepas kita tidak lekang dengan isu ‘keceluparan’ Karpal Singh menyanggah titah Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah berkaitan arahan istana agar Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, (JAIP) dikembalikan semula kepada Jumry Sury.

Daripada isu yang kecil dan boleh diselesaikan secara dalaman oleh kerajaan negeri Perak dan pihak istana, akhirnya isu itu menjadi isu nasional sehinggakan Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Badawi ‘tersyok’ sendiri, lantas mengarahkan orang kuatnya, Ku Nan (Tengku Adnan Mansor) membuat laporan polis untuk ‘mengenakan’ Karpal.

Jika disingkap kes berkenaan, ia tidak lebih daripada isu silap faham antara pihak kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar dengan pihak istana. Malah, kita percaya sekiranya Menteri Besar Perak itu diberi peluang dengan kepintarannya yang ada, maka isu ini sudah lama diselesaikan. Namun, di atas kesungguhan Umno Perak dan Umno Pusat yang terlalu ingin menjadi ‘juara’ dalam soal ini, ianya telah mengheret banyak pihak. Malah, pelbagai kenyataan telah dikeluarkan di atas kekalutan ini.

Bukanlah ingin memperbesarkan isu, tetapi sekadar mencelah. Cuba kita renung sejauh mana keikhlasan Umno untuk menyelesaikan kemelut ini. Dari satu sudut positif, ianya bukan kemelut tetapi satu polemik yang dicipta oleh gerakan perang saraf Umno untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti pihak pembangkang. Kerana sudah menjadi dasar Umno, di mana mereka akan memutar belitkan sesuatu isu itu supaya menjadi hangat dan dapat menutup seketika lompang ‘kebocoran’ semasa mereka.

Rakyat sudah lama nampak politik murahan yang dijaja oleh semua pemimpin Umno. Kebanyakan isu yang diketengahkan hanyalah retorik semata. Cuma di atas kapisiti Umno mengepalai BN yang memerintah negara ini, maka masyarakat bawahan melihat semuanya itu adalah satu kewajaran yang perlu dipatuhi.

Berbalik kepada ‘juara’ tadi, Umno sedang berusaha untuk menjadi juara sebenar, biarpun dalam kekaburan. Bukan menyokong atau membantah kenyataan Karpal Singh, tetapi sedarkah kita siapa sebenarnya Karpal Singh itu? Bagaimana beliau membesar dalam dokongan demokrasi dan bait-bait mana dalam perlembagaan yang tidak diketahuinya? Jika seorang peguam yang sehebat beliau dianggap ‘gagal’ dalam konteks mentafsir perlembagaan, mungkin terlalu banyak lagi peguam yang begitu daif berada dalam sistem kahakiman negara kita.

Lantaran isu biadap terhadap kenyataan istana Perak sebenarnya wajar dijadikan platform oleh Umno untuk bermuhasabah diri di atas apa yang telah dilakukannya selama ini. Mungkin terlalu ghairah ingin menyanggah, begitu taksub untuk mengenakan tindakan terhadap Karpal, maka Umno sanggup menelan kata-kata keramatnya; ‘Melayu mudah lupa’. Mereka lupa bagaimana pemimpin Umno jugalah yang begitu naïf dalam isu menderhaka kepada Sultan dan Raja Melayu. Mereka mencampuri imuniti raja-raja Melayu, dan cuba kita menjenguk kisah yang berlaku di Terengganu dan Perlis. Bagaimana biadapnya Shahidan Kassim dan Idris Jusoh kepada raja mereka apabila tidak menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar baru yang diperkenankan oleh istana. Adakah pemimpin tertinggi Umno terus bertindak dengan mengambil tindakan ke atas dua orang penderhaka itu?

Jelas! Mereka hanya mendiamkan diri. Malah terus membiarkan penyokong mereka terus bertindak di luar batasan kemanusiaan. Lihatlah penyokong Idris, yang merentang banner dengan tulisan ‘Natang’ (binatang) yang ditujukan kepada Sultan dan pemangkunya. Sudahkan ‘natang’ itu ditangkap dan dijatuhi hukuman? Berapa ramai pula penyokong Shahidan yang berkerumun tidak puas hati di hadapan istana Perlis? Adakah Umno mengarahkan pihak polis melakukan tangkapan dan mendakwa para penderhaka tersebut?

Sudah tentu tidak. Dan jawapannya adalah ‘tidak’ sama sekali. Biadaplah kepada pihak istana setahap mana kamu mahu biadap kerana kamu adalah orang-orang Umno yang disayangi dan dilindungi. Sebaliknya, nahaslah kamu jika kamu merupakan puak-puak pembangkang yang dicop penderhaka. Bukan sahaja pemimpin Umno yang akan bangkit menentang, malah badan-badan bebas yang kononnya memperjuangkan Ketuanan Melayu turut timbul memberikan hujah yang lantang.

Ke mana pula perginya golongan yang dikatakan memperjuangkan Ketuanan Melayu ketika adanya pihak yang menabalkan Tengku Ibrahim sebagai Sultan Kelantan yang baru?

Umno tentu tidak lupa bahawa suatu ketika dulu Anuar Musa pernah menabalkan
Tengku Ibrahim di sebuah padang sekolah. Bukankah itu penghinaan kepada Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan. Oleh itu mereka jangan pula berlagak untuk menjadi jaguh di dalam isu kenyataan yang dikeluarkan oleh Karpal Singh.

Rentetan peristiwa penabalan itu bukan sahaja memalukan Umno, malah mereka gagal mengenakan sebarang tindakan terhadapnya. Sebaliknya, Anuar dijulang sebagai hero dan akhirnya dilantik menerajui kepimpinan tertinggi Umno Kelantan yang akhirnya terus pincang.

Apakah skrip kesalahan hanya akanjatuh ke atas pihak yang tiada berkepentingan dalam Umno sahaja. Biarpun memperjuangkan kebenaran, mereka tetap dikenakan pendakwaan dan hukuman. Bukankah isu Raja-Raja Melayu adalah isu kesaksamaan dalam Ketuanan Melayu? Oleh itu, usahlah hairan dengan perlakuan Umno dalam menangani krisis ini. Mereka tahu di mana kewajaran atau kebenaran, namun tetap akan menutup mata sekiranya kebenaran itu ada di pihak pembangkang.

Sedarlah pemimpin Umno, lagu yang dipalu tidak selalunya merdu. Biar sehebat mana gaya dan ilmu, sedetik irama sumbang pasti akan terjelma jua. Pun begitu, payahnya menangani isu ini, samalah payahnya kita mahu melihat Umno mengaku kesilapan mereka sendiri. ‘Biadap’ pada pandangan mereka hanya ada pihak yang tidak bersekongkol dengan mereka sahaja. Rakyat yang membuat ‘judgement’ turut dikelirukan dengan pelbagai fakta ‘mengarut’ kepimpinan tertinggi Umno. Jika itulah pendekatan yang digunakan, formalitinya pengaruh sumbang akan terus meresap ke jiwa masyarakat.

Umno juga dilihat cuba menipu sejarah penderhakaan mereka pada istana. Malangnya, apabila melibatkan isu pemimpin Umno dan BN mereka hanya mendiamkan diri serta membisu seribu bahasa. Jangankan Umno, malahan NGO seperti GPMS dan lain-lain yang kononnya memperjuangkan hak kedaulatan orang Melayu semuanya "menikus", tidak berani untuk tampil. Bahkan tidak ada seorang pun dikalangan mereka yang membuat laporan polis seperti yang berlaku kepada Karpal. Pak Lah pun sebenarnya boleh dituduh menghina Sultan kerana secara terang-terang mempertikaikan kuasa sultan untuk melantik MB pilihan mereka. Bukankah ini lebih hina sebenarnya.

Sedangkan, apa yang berlaku kepada Karpal ialah sekadar satu sudut pandangan beliau semata-mata, supaya istana tidak mencampuri urusan kerajaan negeri. Lagipun Pengarah JAIP itu bukannya dipecat, cuma beliau ditukarkan sahaja. Mengikut pandangan Ketua Ekssekutif sesebuah negeri, tindakannya itu memang bertepatan dan masuk akal setelah mendapati Jamry Jury tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan negeri. Bukankah ianya akan mencacatkan sebarang agenda kerajaan jika terdapat penentangan dari dalam terutamanya dalam isu-isu yang membabitkan agama di negeri terbabit. Maka, wajarlah Jamry ditukarkan ke jabatan lain, demi menjaga keharmonian semua pihak.

Persoalannya sebenarnya di sini adalah, Umno berpura-pura tidak dapat menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri baru pimpinan Pakatan Rakyat. Lantaran itulah setiap usaha yang dilakukan, biarpun untuk kebaikan pasti akan ditentang habis-habisan oleh mereka. Dalam isu di negeri Perak ini sebenarnya ianya adalah isu terpencil yang membabitkan pihak kerajaan negeri dengan istana. Pertukaran adalah perkara biasa dalam perntadbiran kerajaan.

Ini bukan soal pemecatan. Perkara ini berlaku dimana-mana termasuk di negeri Pahang. Ustaz Yusof Embong seorang guru agama telah ditukarkan ke Sabah gara-gara dikatakan menyokong PAS dalam pilihanraya dulu. Kemudian terbaru difahamkan seorang Komander Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Tanjung Gelang, Kuantan dikatakan telah ditukar serta merta apabila "Post-Mortem" yang dilakukan mendapati undi pos tentera dikawasan terbabit hampir 90% berpihak kepada PAS. Akibatnya BN kehilangan kerusi DUN Beserah kepada PAS dan Parlimen Indera Mahkota kepada PKR dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Walhal, kalau nak diikutkan komander terbabit tidak bersalah sebenarnya. Namun hanya kerana beliau tidak memantau undi pos akhirnya beliau menjadi mangsa kepada kerajaan BN di Pahang. Bukankah ini sesuatu yang normal dan tidak perlulah diperbesar-besarkan.

Bagaimana pula malangnya, ketika Umno berkuasa di Terengganu, mereka telah memecat Tengku Hassan (ADUN Ladang sekarang) sebagai pegawai kewangan negeri ketika itu?

Ironinya, sebagai seorang ahli politik veteran dalam parlimen, Karpal jujur memberi pandangan peribadi beliau supaya pihak istana tidak mencampuri urusan pertukaran berkenaan. Karpal percaya mungkin ada tangan-tangan lain yang memaksa pihak istana campur tangan dalam isu ini. Maka mengapakah kita harus melatah jika ia sekadar pandangan semata-mata. Isu ini hanya diperbesar-besarkan oleh Umno bagi menarik balik sokongan orang Melayu yang kononnya Pakatan Rakyat telah berkerjasama dengan orang yang akan menghapuskan ketuanan Melayu. Bukankah janggal bunyinya itu.

Bagaimana pun, semua masih tertunggu-tunggu perkembangan terkini apakah Karpal akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atau mungkin juga beliau akan kembali ke kandang ISA jika Akta Hasutan dikenakan ke atas pemimpin kanan DAP itu. Semuanya bakal terjawab dalam masa terdekat apabila Peguam Negara turut masuk campur setelah banyak laporan polis yang dibuat oleh penyokong kerajaan dalam isu ini.

Kita berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secara berkhemah dengan sebaik mungkin. Dan adalah lebih baik Karpal mengalah dengan memohon maaf secara terbuka kepada istana Perak serta seluruh rakyat Malaysia jika perbuatannya ini dikatakan menghina. Itulah jalan terbaik bagi meredakan keadaan yang semakin hangat ciptaan Umno mutakhir ini.

Umno juga belum terlambat untuk mengambil tindakan terhadap Anuar Musa, Idris Jusoh, Shahidan Kassim serta mana-mana individu yang telah menderhaka kepada pihak istana. Hanya tindakan terhadap mereka itu akan menjadi ‘check and balance’ dalam usaha Umno mendepani kes Karpal. Rakyat akan menyanjung tinggi Umno sekiranya mereka tahu menilai keadilan dan menghukum rakyat secara saksama.

Ayuh Umno! Serlahkan kejantanan mu.