
Dakwaan tersebut dibuat oleh anak Nik Aziz sendiri - Nik Abduh yang juga timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan - dalam blognya Jumaat lalu.
Naib presiden tersebut, Ahmad Awang berkata, dakwaan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pemimpin dan ahli PAS mengenai siapakah yang dimaksudkannya.
Ahmad juga terkejut dengan tulisan Nik Abduh yang dianggap kasar apabila menyifatkan usaha pembantu Nik Aziz tersebut sebagai satu usaha yang 'sesat'.
"Saya sendiri terperanjat, Nik Abduh cakap macam itu.
"Satu perkataan... 'sesat'. Terperanjat juga dia (Nik Abduh) tulis begitu," kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini.
Dalam blognya itu, Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS pusat, menghentam pembantu-pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan itu yang dibuat oleh Abdul Hadi.
Timbul kekeliruan
Nik Abduh menulis: "Kerajaan perpaduan yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan antara TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi). Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!".
Mengenai pembantu-pembantu Nik Aziz itu yang dirujuk oleh penulis, Ahmad berkata: "(Oleh kerana) pembantu-pembantu itu disebut secara umum, tidak secara khusus, ia boleh menimbulkan kekeliruan.
"Tetapi sekadar tafsiran, (mereka boleh jadi) orang-orang yang bersama Tok Guru (Nik Aziz) di Kelantan... orang di sekeliling Tok Guru dalam kerajaan (negeri)... exco dan pimpinan parti," katanya.
Sebaliknya, kata Ahmad, beliau tidak nampak adanya elemen untuk melaga-lagakan Nik Aziz dengan Abdul Hadi tetapi mengakui pada umumnya mereka ada perbezaan pendapat tetapi tidak sampai ke peringkat berlaku 'pergeseran'.
Maka, katanya, terdapatlah pemimpin PAS yang bersetuju dengan pandangan menteri besar Kelantan itu dan ada pula yang bersetuju dengan pendapat ahli Parlimen Marang itu.
"Bukan disengajakan jadi begitu," kata Ahmad sambil menambah bahawa beliau difahamkan terdapat pertemuan antara Nik Aziz dan Abdul Hadi berhubung isu kerajaan perpaduan di Kelantan.