Tuesday, July 29, 2008

AHMAD SAID ISYTIHAR PERANG TERHADAP IDRIS JUSOH


ISU pembelian Mercedes Benz E200 Kompresor sudah berlarutan hampir dua minggu. Bukan sahaja menjadi isu menarik untuk diikuti, malah ia merupakan satu isu yang menggegarkan kepimpinan Ahmad Said di Terengganu. Memang benarlah apa yang dikatakan, bahawa bumi Penyu Menangis ini tidak lekang dengan pelbagai isu hangat yang melanda Barisan Nasional (BN) terutama terajunya, Umno.

Jika diteliti kronologi dan rentetan isu berkenaan, ia tidak dapat lari daripada kemelut peribadi di antara Menteri Besar dan mantan Menteri Besar Terengganu. Jika di gelanggang, kita boleh rentangkan banner sebegini; Ahmad Said VS Idris Jusoh.


Terbongkarnya isu penyelenggaraan Perdana Eksekutif V6 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang melampau ekoran kesinambungan isu panas pembelian Mercedes Benz E200 Kompresor merupakan satu perisytiharan perang yang dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said terhadap ‘musuh’ rapat beliau, Dato’ Idris Jusoh. Adakah ini kenyataan? Ada kemungkinannya.

Mengapa?

Bila menyebut pergolakan politik BN di Terengganu, ia tidak lari daripada membicarakan dua tokoh berpengaruh di sini, Ahmad dan Idris. Sebenarnya rakyat negara ini tidak pernah lupa ‘siapa Umno’. Sebuah parti yang penuh dengan pergolakan dan perebutan jawatan. Kerana jawatan mencerminkan kekuasaan dan kekayaan.

Sekiranya ada yang mengatakan tidak ada dendam di dada insan yang disingkirkan dalam persaingan merebut jawatan tertinggi di Terengganu, ianya adalah bohong semata-mata. Bagaimana Idris Jusoh tidak kecewa dengan kedudukannya yang diaibkan sebegitu rupa, dan bagaimana pula Ahmad tidak merasakan kedudukannya terancam selagi pengaruh Idris tidak dihapuskan secara total di bumi Terengganu ini?

Mercedes dan Perdana adalah sebab musabab kepada pertentangan itu. Asasnya adalah ‘kuasa’, ‘resedure repower’ iaitu kuasa pemutus terakhir yang diperlukan oleh oleh kedua-dua mereka tadi untuk menjadi ketua kepada sebuah kerajaan.

Idris tidak bodoh, dan Ahmad pula bukanlah lemah. Namun, percaturan politik bijak akan menyelamatkan maruah masing-masing. Ini sedang berlaku.

Ahmad Said mungkin mengunakan ruang yang ada dengan mengetengahkan isu pembelian kereta Mercedes sebagai landasan untuk ‘menyerang’ Idris secara berperingkat. Beliau bijak melakukan pendekatan agar Idris kelemasan, bagi menyelamatkan dirinya yang hampir lemas dalam kemelut pemilihan ketua bahagian di seluruh negeri sekarang.

Dalam kesedaran yang tinggi, di mana kumpulannya tidak mendapat sokongan padu di peringkat akar umbi, Ahmad perlu melakukan sesuatu agar dapat mengalih perhatian rakyat dan ahli Umno daripada terlalu menumpukan perhatian kepada pemilihan. Selain itu, ia juga sebagai langkah memporak perandakan team Idris Jusoh agar tidak mendapat pencalonan yang secukupnya.

Bakal menjadi MB tiada pengaruh.

Sebagai Menteri Besar, tentulah maruah perlu dipelihara. Ahmad pasti tidak mahu memahat sejarah sebagai Menteri Besar yang tidak mempunyai pengaruh atau sokongan akar umbi di negara ini.

Begitupun, kemungkinan itu tetap ada. Melihat kepada cabaran sengit dalam pemilihan di lima bahagian Umno di Terengganu sekarang ini, ‘ayam sabung’ Ahmad mungkin kelemasan untuk meraih kemenangan.Tambahan pula ayam tambatan Idris, semakin berani menyanggah setiap kenyataan Ahmad Said, sekaligus menunjukkan ‘kebiadaban’ terhadap bos barunya itu.

Namun, kita mesti ingat bahawa semua wakil rakyat BN/Umno yang ada di Terengganu sekarang merupakan orang-orang Idris Jusoh. Tidak ada seorang pun di antara mereka boleh dikatakan dari team Ahmad Said. Kecuali sekarang ini, barisan Exconya sahajalah yang terpaksa menunjukkan sedikit sokongan kepadanya demi menjaga hati serta patuh kepada arahan.

Bagai orang melepaskan geram, Ahmad tidak puas hanya sekadar isu penyelengaraan Perdana V6 sahaja diungkitkan. Bak kata pepatah, celuk pekasam biar sampai ke lengan. Alang-alang mandi biar basah.

Demi mengukuhkan kebenaran, beliau ‘terpaksa’ juga membongkar segala penyelewengan yang dilakukan semasa era Idris Jusoh berkuasa. Tidak cukup Perdana, kini menular pula kepada Taman Tamaddun Islam (TTI), dan Perlumbaan Kapal Layar Mewah, Monsun Cup. Malah, mungkin banyak lagi yang akan dibongkar selagi Ahmad berkuasa.

Satu keistimewaan Ahmad yang jarang ada pada Menteri Besar sebelumnya adalah sikap berani beliau melakukan perubahan drastik demi kepentingan masyarakat. Biarpun taktik itu disedari mempunyai nilai untuk mempertahankan kepentingan dirinya, ia secara tidak langsung akan meningkatkan populariti beliau di mata rakyat.

Teori yang sama diguna pakai oleh Idris Jusoh. Beliau masih bertahan, memandangkan dirinya adalah anak emas Abdullah Ahmad Badawi. Rosol yang dikatakan bertindak sebagai ‘master-mind’ akan melakukan apa sahaja untuk memastikan survival politik kumpulannya terus bernyawa. Memegang falsafah, ‘tak melawan tetap kalah dan melawan sekalipun akan kalah’, kumpulan ini sabar meneruskan saki baki harapan tipis yang ada untuk kembali berkuasa.

Menyingkap kembali kepayahan Ahmad Said merebut jawatan nombor satu di Terengganu itu, ia sebenarnya telah mematangkan beliau apabila terpaksa bertembung dengan kumpulan Idris Jusoh. Prinsip mesti ada. Samada hidup atau mati. Jika mengikut tradisi, ketua memang sukar disanggah apabila mempunyai kuasa, namun kesungguhan lawannya yang masih mempunyai pengaruh sememangnya membimbangkan Ahmad.

Kita juga mahu melihat bagaimana rentetan peristiwa ini berakhir? Paling tidak, pasti ada kem yang murung dan terpaksa menelan kepahitan. Kalau hanya sekadar murung, itu tidak menjadi masalah. Dibimbangi, kekalahan akan diekori dengan penguatkuasaan. Dendam kesumat tidak hanya berakhir selepas pertembungan dalam pertandingan sahaja, kerana tradisi Umno, mana-mana pihak yang kecundang pasti akan berusaha bangkit, dan yang menang pula akan memastikan puak yang menentang terus berkubur.

Dari sudut pandang penyelewengan, Ahmad berada dalam zon selesa. Idris dan konco-konconya tentu kepanasan sekiranya pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan tugas dengan profesional.Walaupun begitu kita tidak tahu sejauh mana ketelusan badan ‘bebas’ itu bertindak berdasarkan arahan Najib agar Ahmad Said menghentikan tindakannya meneruskan siasatan berkaitan penyelewengan yang dimaksudkan.

Selagi tidak ada keputusan muktamad dalam permilihan peringkat bahagian di seluruh Terengganu, agak sukar meramalkan siapa bakal jadi jaguh sebenar. Kalau sekadar kokokan yang riuh sekampung, tidak bermakna pihak yang paling lantang akan menang, dan bersuara kecil akan tewas. Apa pun, banyak pencalonan pasti akan menjadi modal kuat untuk terus bernafas, dan bagi yang kurang mendapat sokongan di peringkat cawangan, mereka akan terus berusaha meyakinkan perwakilan. Paling tidak menabur ‘ubat’ untuk mengelapkan mata seketika.

Masyarakat tentu mual dengan segala permasalahan yang melanda Umno sekarang ini. Walaupun menghadapi perpecahan yang dahsyat, pemimpin Umno masih melaungkan ego, bahawa rakyat tetap di belakang Umno. Mereka lupa sejarah protes senyap yang baru saja berlaku pada pilihanraya lepas.

Malah mereka juga lupa bahawa dalam Islam itu sendiri, keegoaan akan membawa bencana. Sekarang telah dibuktikan oleh pemimpin Umno sendiri, bagaimana mereka berusaha merebut kedudukan dan kekuasaan tanpa kesudahan. Tidak ada batas sempadan dan batas susila yang boleh dijadikan ukuran keinsafan, sebagaimana kenyataan-kenyataan mereka yang amat manis ketika berhadapan dengan masyarakat.

Ahmad dan Idris menjadi salah satu contoh jelek betapa besarnya barah dalaman Umno. Semua tahu, barah sukar diubati, malah banyak yang membawa maut. Seandainya barah Umno mahu diubati dengan ubat cercaan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat, maka mereka telah tersalah mengambil ‘ubat’. Kerana ubat yang paling sesuai bagi Umno adalah kembali kepada Islam dan amalkan cara hidup sihat seperti PAS.



No comments: