Thursday, August 14, 2008

TAHNIAH PELAJAR UiTM: DEMONSTRASI DENGAN MB PR SAJA KE?


Meriah! Seronok! Terkejut!

Itulah persepsi yang boleh penulis katakan apabila melihat segerombolan pelajar UiTM berdemonstrasi. Ada akhbar melaporkan sehingga 5000 pelajar UITM berkumpul di hadapan pejabat Menteri Besar. Ini berhubung dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim kerana mencadangkan 10 peratus kouta pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera dan pelajar asing.
Rasionalnya adalah untuk memberi daya saing di kalangan pelajar bumiputera.

Isu ini tidak sepatutnya disentuh kerana perkara ini sudah jelas dan telah diterima pakai oleh bukan melayu di negara ini. Sepatutnya perkara 153: hak yang telah dijamin dalam perlembagaan elok tidak perlu disentuh. Ini adalah kontrak sosial yang sudah lama diterima pakai oleh semua kaum sejak era kemerdekaan lagi.

Bukan salah, dan semua orang mempunyai hak untuk bersuara namun, buat apa keruhkan keadaan sedangkan ianya bukan dalam bidang kuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri. Kita perlu pertahankan apa yang ada dan bersama memperbaiki lagi nilai dan mutu orang Islam di negara ini. Kalau dibangkitkan perkara ini ia akan menambah parah tanggapan orang Islam dan Melayu kepada Pakatan Rakyat (PR). Seolah-olah kita sudah lupa bahawa teras politik di negara ini ialah Melayu Islam.

Memang misi UiTM adalah murni. Dengan konsep dan semangat bahawa semua pelajar ada berpotensi untuk dibangun dan dimajukan. Dulu ITM sekarang UITM yang dianggap IPTA kelas tiga, namun sekarang ia berada setanding dengan IPTA yang lain. Satu ketika dahulu pelajar yang gagal mendapat tempat di IPTA lain kerana pencapaian SPM yang rendah telah berjaya dibangun dan akhirnya ada yang menjadi professor dan ahli koperat yang berjaya.
Kita tidak lupa, sejak sekian lama Umno juga yang telah menjahanamkan ini semua terutama di zaman Tun Dr Mahathir yang memerintah selama 22 tahun, dan kesinambungannya dilanjutkan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi.

Harapan menggunung adalah untuk melihat pelajar UITM mengembalikan zaman kegemilangan gerakan pelajar yang begitu lantang dalam siri melakukan protes seperti era Mohd Sabu, Dato’ Ibrahim Ali, Anuar Tahir yang menterjemahkan demonstrasi itu bertujuan menentang golongan penindas di negara ini dan membela mereka yang tertindas.
Namun, sejak akhir-akhir ini, gerakan pelajar UiTM berada di bawah paras beku serta kembali berkokok di bawah tempurung terutama zaman regim naib canselor dan professor-profesor ‘angguk’ yang banyak menjadi kuda tunggangan.

Lihat sahaja perjalanan pilihanraya kampus yang tidak demokrasi, pergerakan kakitangan dipantau dan ada unsur ugutan, malah kakitangan ditukar ke Sabah dan Sarawak jika di dapati anti Umno.
Begitupun, sejuta tahniah dan syabas kepada pelajar UiTM yang baru keluar daripada pusara dan gua kelam untuk melakukan demonstrasi. Hebat, bukan!
Perlu diingatkan kepada semua pelajar berkenaan, bahawa sepatutnya bukan sahaja atas isu ini mereka melaungkan ketidak puasan hati, masih banyak lagi isu yang merobek ketuanan Melayu jika diteliti perkara 153, mengenai hak keistimewaan orang Melayu. Contohnya isu penggunaan bahasa Inggeris dalam metematik dan sains (PPSMI), penghapusan biasiswa, menarik balik bantuan perkapita sekolah agama rakyat, tanah simpanan Melayu yang bertukar status bebas dan sebagainya.
Semua isu itu telah dikhianati oleh Umno/BN iaitu parti yang menjadi dokongan para naib canselor dan pensyarah-pensyarah Umno di kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jika benar masih ada kejantanan para mahasiswa dengan meneruskan agenda kalian sebagai pembela agama dan bangsa, sudah tentu bukan sahaja dengan Menteri Besar PR, sebaliknya dengan penguasa yang lebih besar kuasanya di Putrajaya yang sudah lama mengkhianat amanah agama dan bangsa.

Kenapa hanya segelintir mahasiswa sahaja yang turun ke gelanggang apabila adanya bantahan terhadap kerajaan berkaitan isu PPSMI. Ke mana perginya bayang 5000 ribu mahasiswa UiTM ketika ada golongan yang menyatakan rasa tidak puashati terhadap pemerintah yang menghapuskan biasiswa untuk kamu? Seronok sangat atau terlalu gembira apabila terpaksa berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kebijaksanaan yang ada tidak diguna pakai oleh para mahasiswa apabila berhadapan dengan sebuah kerajaan yang tidak prihatin.

Ayuh mahasiswa! Kumpulkan bala tentera kamu, dan buatlah bantahan terhadap kebajikan sosial rakyat yang terabai selama ini. Masih banyak ketetapan dalam perlembagaan berkaitan hak istimewa orang Melayu tidak disempurnakan. Mana kebajikan dalam penjagaan kesihatan rakyat?

Isunya, bukan sekadar kenyataan 10 peratus itu sahaja. Sudah tentu segala kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang akan dimanipulasikan oleh golongan berkepentingan.

Perlu diingat, bahawa gerakan lantang mahasiswa UiTM telah lama dikuburkan. Kita juga tentu kenal dengan naib canselor UiTM, dan tidak perlulah dititipkan di sini apa peranannya dilantik menerajui UiTM.

Seawal 2001 Ibrahim Abu Shah menukar dasar berpersatuan di kalangan Pelajar UiTM dimana semua persatuan yang mengunakan nama agama seperti Islam dan bangsa seperti Melayu diharamkan. Dengan itu semua persatuan seperti Persatuan Mahasiswa Islam, PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu diharamkan ketika itu.

Gerakan mahasiswa tidak bernafas, malah ditekan dan dilarang untuk bersuara. Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajarnya pula di tapis. Semua dekan tidak dibenarkan menyokong permohonan bertanding bagi mana-mana mahasiswa yang lantang menentang dasar Universiti dan Kerajaan BN. Mereka juga dilarang membaca akhbar pembangkang atau mendengar kaset ceramah pembangkang. Apatah lagi mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka.

Menurut pemerhati bebas, Herman Samsudeen melalui kenyataannya di salah satu blog internet, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Khairul Rizal Arshad pernah dihukum kerana membaca khutbah jumaat, walhal beliau telah diberikan laluan sebagai pemimpin pelajar oleh Pusat Islam. Difahamkan bahawa selepas itu pengarah Pusat Islam turut diberikan amaran Keras.

“ Dalam isu membuka 10 peratus kuota bukan Melayu dalam UiTM oleh Khalid Ibrahim ini, akhirnya Mahasiswa dikerahkan juga. Mereka dikerahkan secara tiba-tiba untuk menunjukkan begitu Melayunya universiti ini. Walhal suatu ketika dahulu Ibrahim Abu Shah pernah mematikan organisasi anak-anak Melayu hingga menyebabkan kepimpinan organisasi Melayu peringkat nasional diwarisi oleh graduan dari Universiti lain.

“Selain itu, Universiti ini juga menekankan penggunaan Bahasa Inggeris dalam penulisan tesis, peperiksaan dan kebanyakkan mata pelajaran. Tujuannya adalah untuk memastikan anak Melayu dapat menguasai bahasa Inggeris, tapi akhirnya mereka lupa untuk daulatkan Bahasa Melayu di Universiti yang mengagungkan Bangsa Melayu ini.

“Sewajarnya agenda mendaulatkan Melayu bermula dari Universiti ini, dunia pendidikannya haruslah diwarnai dengan citra Melayu. Universiti ini wajar menjadi peneraju bagi penterjemahan ilmu-ilmu dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu sebagai mana Universiti-Universiti Jepun berjaya memartabatkan Bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar dalam bidang Ilmiah,” ujarnya lagi.

Bebaskah UiTM dengan pelacuran, dadah dan juga gejala social. Malah itu semua menjadi sebahagian dari silibus dunia akademiknya. Penumpuan gerakan mahasiswa terhadap isu-isu besar masyarakat sekelilingnya mati dan tertanam dengan semangat yang kian layu. Apa yang pasti, kenyataan Khalid Ibrahim itu berjaya membangkitkan mereka dari ‘pusara’ keramat di Shah Alam.

Sekalung tahniah buat warga mahasiswa UiTM, kerana berjaya membuka topeng dan menjadi hero buat seketika. Tetapi kalau mahu kelihatan lebih hebat lagi, turunlah berdemontrasi membantah kenaikan harga minyak yang turut membebankan orang tua kalian semua di sepanjang sesi pengajian yang membebankan.

No comments: