Sunday, August 3, 2008

PAS PENANG BOIKOT PERMATANG PAUH???


LEWAT tengah malam tadi saya menerima satu pesanan ringkas dari seseorang yang tidak dikenali. Nombornya saya simpan untuk dijadikan bukti dan siasatan kalau perlu.

Apa yang diberi tahu sedikit mengejutkan. Katanya Pas Pulau Pinang akan boikot pilihan raya Permatang Pauh. Kenapa?

Mulanya saya ingatkan pemboikotan itu ada kena mengena dengan tindakan Pas semasa pilihan raya kecil Batu Talam, Pahang tidak lama dulu.

Pada pilihan raya itu Pas mengambil keputusan bersama PKR memulau pilihan raya berkenaan. Alasannya kerana Pas tidak percaya bahawa pilihan raya itu akan berjalan dengan bersih dan adil.

Gara-gara itu Pas tidak meletakkan calonnya. BN berhadapan dengan calon bebas seorang anak Cina.

Mulanya itulah yang saya fikirkan. Memang pun wajar kalau Pas boikot sebab SPR masih belum berubah. SPR masih juga dipengerusikan oleh orang diragui dan dibenci, Melayu bernama Abdul Rashid Abdul Rahman.

Apa guna Pas menyertai pilihan raya kalau ia jelas dan nyata tidak adil.

Jadi apabila Pas juga nampak bersungguh dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh ini mungkin keraguan kepada SPR sudah pun berubah.

Ataupun kerana kemenangan besar PKR dalam pilihan raya 8 Mac lalu menyebabkan tiba-tiba saja Pas dan PKR melupai apa yang mereka sumpahkan terhadap SPR dulu?

Tetapi bukan itu alasan pemboikotan itu. Bukan soal pilihan raya telus atau tidak. Tetapi kenapa Pas Pulau Pinang hendak boikot ialah kerana tidak senang dengan kerajaan Pakatan Rakyat di sana.

Pas merasakan diri mereka terpinggir di Pulau Pinang kerana itu mereka merasakan tidak perlu bersusah payah membantu Anwar dalam pilihan raya berkenaan. Begitulah alasannya!

Banyak sebab kenapa Pas Pulau Pinang merasakan diri mereka terpinggir. Pas tidak dibawa berbincang langsung mengenai beberapa perkara termasuk soal perlantikan dalam Majlis Daerah, ataupun tidak diberi tempat dalam agensi-agensi kerajan Pulau Pinang yang sesuai diduduki oleh Pas sebagai parti Islam.

Katanya yang paling mengecewakan Pas berhubung dengan hel ehwal Islam. Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng katanya tidak mempedulikan Pas?

Beberapa cadangan dikemukakan Pas untuk kepentingan Islam tidak dilayan sewajarnya oleh Ketua Menteri yang mengambil Umar Ibnu Aziz sebagai model pemerintahan itu.

Tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di pulau Mutiara itu. Tetapi kalau itulah alasannya ada logik kalau Pas Pulau Pinang memulaukan pilihan raya itu ataupun mengambil sikap hanya sebagai pemerhati saja.

Pun begitu berita ini masih lagi samar dan belum dapat disahkan. Seorang Naib Presiden yang dihubungi sekejap tadi mengatakan belum tahu mengenai perkembangan ini dan beliau berjanji akan membuat pemeriksaan. Beliau yang agak terkejut hanya berkata; ya ke...belum dapat maklumat apa-apa lagi.

Dalam perkembangan lain berita yang agak malang ini sudah sampai ke pengetahuan Setiausaha Agung Pas, Kamarudin Jaaffar. Kamarudin dikatakan gelabah dengan maklumat itu dan terus membuat arahan segera malam tadi untuk berjumpa dengan Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang pagi ini.

Apakah Kamarudin kini sudah bertolak ke Pulau Pinang atau belum tidak dapat dipastikan. Dan apakah sesuai dan layak untuk Kamarudin menyelesaikan masalah itu? Ketika ini Presiden Pas berada di Jakarta.

Kalau pun ahli Parlimen Tumpat itu gelabah dan begitu teringin untuk melihat kawannya berada di Parlimen bersamanya apakah tidak sempat menunggu presiden pulang?

Apapun diharap berita ini tidak sahih ataupun kalau ada niat ia tidak akan diteruskan. Pas Pulau Pinang harus membantu dan pedulikan soal ia dipinggirkan dalam kerajaan.

Pas kena tunjukkan mereka setiakawan dalam usaha menjatuhkan BN. Lagipun yang bertanding di situ nanti bukan DAP tetapi PKR calonnya bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim.

Sumber KLpos.com

No comments: