Friday, June 20, 2008

PM DAN YB ROZI GAGAL DI TASIK KENYIR


Projek HIP-ZIA Sungai Como, RM50juta Gagal Sama Sekali

KERAJAAN Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi memang terkenal dengan sikap boros dan sering menghabiskan duit rakyat dalam projek-projek pembangunan yang tidak mendatangkan keuntungan.

Jika kita masih ingat tanggal 29 Januari 2007, Perdana Menteri, telah melancarkan satu projek yang dinamakan Projek Berimpak Besar (HIP) Zon Industri Akuakultur (ZIA) Peringkat Kebangsaan di sini dengan sasaran menghasilkan pengeluaran perikanan negara bernilai RM6.3 bilion menjelang tahun 2010. Projek yang sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 700 peserta dari golongan nelayan dan siswazah di 39 projek yang telah dikenal pasti itu dijangka memberikan pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan kepada peserta terlibat.

Beliau turut melawat projek ZIA Sungai Como di Tasik Kenyir melibatkan kawasan kira-kira 3,000 hektar termasuk 2,800 hektar kawasan perairan yang akan dibina dengan 6,000 unit sangkar bernilai RM50 juta melibatkan 240 peserta sepanjang pembangunannya sehingga 2010. Namun, kini semuanya itu hanya tinggal nama dan duit sebanyak RM50juta yang disuntik kononnya untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung gagal sama sekali.

Tinjauan Buletin Online di kawasan tersebut mendapati sangkar ikan yang diusahakan oleh 25 orang graduan dan sekumpulan peserta PPRT itu tidak kelihatan langsung di kawasan tersebut. Ke mana semua sangkar-sangkar itu? Mana pergi semua peserta projek?

Seorang penduduk setempat, Abdullah Mamat ketika ditemui berkata, beliau tidak hairan dengan kegagalan projek yang dimaksudkan itu memandangkan ianya bukanlah suatu projek yang berdaya maju dan dilaksanakan hanya berlandaskan untuk mengaut keuntungan daripada peruntukan yang dikeluarkan pihak kerajaan.

“Saya tidak percaya dengan apa yang dicanang oleh pihak kerajaan mengeluarkan belanja sebanyak RM50juta dengan hanya melibatkan beberapa buah sangkar sahaja. Tentu disebalik projek ini ada pihak yang mengaut keuntungan atas angin dengan mengaburi rakyat dengan projek mega itu,” katanya lagi.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, ketika sidang Dewan Negeri baru-baru ini yang memberikan jawapan salah ketika disoal oleh YB Wahid Endut berkaitan projek di Sungai Como itu. Dengan kata lain, Rozi Mamat secara terang telah berbohong kepada YB Wahid Endut, Dewan yang mulia, serta rakyat jelata berkaitan projek berkenaan.

Apabila disoal adakah projek itu telah gagal dilaksanakan, Rozi Mamat tanpa segan menjawab, “mana ada gagal? Masih diteruskan dan berjalan lancar,”.

Inilah rupa pemimpin Umno/BN yang memang diasuh bercakap bohong dalam membuat kenyataan. Biarpun gagal, tetapi tidak mahu mengaku akan sesuatu kegagalan itu.

Sebenarnya, kawasan Sungai Como di Tasik Kenyir merupakan kawasan yang tidak sesuai untuk dijadikan kawasan penternakan ikan dalam sangkar. Ini disebabkan arus di bawahnya agak panas. Beberapa peneroka Felcra Bukit Kapah pernah menjalankan penternakan ikan dalam sangkar di kawasan itu beberapa tahun sebelum itu, dan hampir keseluruhannya tidak berjaya.

Di atas faktor berkenaan, penduduk kampung merasa pelik dengan cadangan Rozi Mamat yang memilih tempat itu sekali lagi untuk satu projek yang menelan belanja puluhan juta ringgit, sedangkan ianya sama sekali tidak membawa pulangan yang diharapkan. Mereka juga bimbang peruntukkan sebanyak RM50juta itu telah diselewengkan.

Justeru itu, Rozi Mamat mestilah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan tersebut, dan wajar membuat penjelasan dengan menyertakan butiran lengkap perbelanjaan yang digunakan untuk pengetahuan rakyat.

No comments: