Depan PM sokongan 'padu', di belakang mereka 'PALU'
KECELARUAN dalam beberapa dasar yang diwujudkan zaman Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia yang dilabel sebagai ‘Mr. Cool’, nampaknya hampir memakan dirinya sendiri. Jika sekarang kita perasan, sekarang ini begitu banyak usahawan kecil mengusahakan ternakan cacing yang boleh membawa keuntungan berganda, namun situasi melanda kepimpinan Pak Lah sebaliknya pula: Beliau seperti ‘cacing kepanasan’, yang tidak membawa banyak keuntungan kepada rakyat.
Rentetan kehilangan ‘kuasa’ selepas pilihanraya umum lalu jelas menghantui beliau dalam banyak aspek. Tekanan yang menghimpitnya saban hari memberi mesej yang jelas bahawa Abdullah Ahmad Badawi bukanlah seorang yang berkarektor untuk memegang tampuk Perdana Menteri (PM). Pendekatan yang dilakukan oleh Pak Lah terlalu longgar, malah tiada asas yang kukuh. Ia menujukkan daya kepimpinan yang lemah dan tiada pula jalan penyelesaian.
Kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, kegagalan mendidik menantunya menjadi ‘al-ghazali’ yang dianggap satu ikon kebencian rakyat seluruh negara, kurang upaya untuk menyekat keceluparan pemimpin komponen ‘menghentam’ beliau dan terkini terpaksa menaikkan harga minyak di pasaran, menjadikan Pak Lah ‘bapa’ kepada segala kecelaruan di negara ini.
Kebelakangan ini pula, tidur Pak Lah sekali lagi mengalami mimpi ngeri apabila diganggu oleh pemimpin parti komponen BN, Parti Progresif Sabah (SAPP) melalui bosnya, Yong Teck Lee. Beliau tanpa segan membidas kepimpinan Pak Lah yang dianggap gagal membimbing Sabah selaras sebagai sebuah negeri maju hasil khazanah minyak yang ada di perut buminya. Selain itu katanya, rakyat telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan di bawah Datuk Abdullah Ahmad Badawi. SAPP juga berpendapat bahawa sekiranya pemimpin atasan tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, ia seharusnya berundur dan memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih.
Biarpun ada sedikit ketegangan dengan timbalannya, Datuk Raymond Tan, ia dilihat sebagai satu picisan yang membawa maksud kepada kepentingan peribadi masing-masing, dan masalah perbezaan pendapat itu dapat diselesaikan juga akhirnya. Kita jangan lupa bahawa bukan Presiden SAPP sahaja yang melahirkan rasa tidak puas hati, perkara yang sama juga telah disuarakan oleh pemimpin Umno seperti Datuk Ghapur Salleh, Datuk Anifah Aman dan Datuk Bung Mokhtar, setelah mereka merasa BN gagal dalam melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin yang dipilih oleh rakyat sekiranya ketidakpuasan hati rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian yang tidak cekap, rasuah, pembaziran, tiada ketelusan dan akauntabiliti diketepikan.
Namun, walaupun tertekan dan dihimpit dari segenap sudut, PM masih mempunyai kuasa pemutus. Beliau mampu mengarahkan mana-mana konco bawahannya hadir di mana-mana perjumpaan segera bagi mendapatkan bai’ah supaya menyokongnya. Menarik juga apabila kita dapat melihat bagaimana ‘gabranya’ seorang PM yang terpaksa memanggil semua Presiden parti komponen untuk mendapatkan sokongan padu. Nyata sekali, selepas setiap pertemuan, PM akan memberikan khabar gembira bahawa semua parti komponen BN memberikan sokongan padu kepada beliau. Tetapi sebaliknya apabila berada di belakang, mereka terus ‘palu’ PM pula.
Pertemuan Pak Lah dengan 2000 ketua cawangan Umno dari Johor menguatkan lagi teori kecelaruan beliau yang dihantuai kebimbangan. Ketakutan PM kini hampir ke kemuncaknya. Apa lagi yang diperlukan oleh beliau untuk mempertahankan kedudukan.
Mungkin dengan kenyataan Presiden SAPP tidak mampu mengugat kedudukan BN sebagai peneraju negara, namun itu memberikan isyarat jelas di mana Pak Lah seorang pemimpin yang lemah. Amat lemah!
Padu dan palu merupakan elemen yang seringkali menghantui Pak Lah. Sebagaimana perumpamaan, mulut tempayan boleh ditutup, tetapi mulut manusia? Pak Lah mampu ke tutup?
“Alhamdulillah, semua pemimpin parti komponen memberikan sokongan padu kepada saya, ini adalah mandat rakyat dan saya mesti teruskan. Kenapa saya mahu meletak jawatan?,” itulah di antara kata-kata yang sering diungkapkan oleh beliau apabila diasak wartawan mengenai isu ketidak percayaan terhadap kepimpinan beliau.
Apa jua alasan Pak Lah, demi menyelamatkan kedudukannya sebagai PM, beliau perlu melakukan apa sahaja yang termampu. Sesiapa jua yang berada ditampuknya itu pasti akan melakukan perkara yang sama. Oleh itu, apakah salah beliau bertindak sedemikian?
Masalahnya, protes yang diterima bukan sahaja daripada pihak pembangkang, tetapi para pemimpin BN sendiri. Sebagaimana yang disebut pada awalnya, kebanyakkan pemimpin dalaman Umno/BN begitu berani melaungkan bangkangan kepada bos mereka. Sedangkan dalam setiap pertemuan, mereka memberikan sokongan padu.
Agak malang nasib Pak Lah kerana ditakdirkan menjadi PM pada era kemusnahan Umno/BN. Memang benarlah kata orang, jika tidak ada keupayaan menjadi seorang Ketua Negara, lebih baik pendamkan sahaja hasrat itu. Ramai pemerhati politik berpendapat bahawa Pak Lah tidak mempunyai kelayakan untuk menanggung beban sebegitu besar.
Mentadbir sebuah Negara bukanlah satu kelebihan peribadi, malah menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, kedua-dua pemimpin tertinggi negara (PM dan TPM) itu perlu melepaskan jawatan masing-masing kerana mereka adalah liabiliti negara.
"Mereka adalah pemimpin yang menjadikan rakyat terus sengsara, negara berada dalam keadaan tidak menentu, pentadbiran cukup lemah dan rakyat terus tertekan dengan pelbagai dasar mereka yang tidak tentu," ujar Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, yang dipetik dalam Harakahdaily.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PM merupakan seorang pemimpin yang lemah dan tidak mampu mentadbir Negara dengan bijaksana. Manakala Najib pula merupakan seorang pembantu yang sering dikaitkan dengan skandal-skandal ‘mega’, yang sama sekali menjejaskan imej negara di mata dunia.
Kenyataan bekas orang kuat Umno, Tengku Razaleigh agar Abdullah Ahmad Badawi berundur juga merupakan satu masej lengkap kepada kelemahan Umno/BN masa kini. Kenyataan itu bukannya menunjukkan kekuatan Ku Li sendiri, malah ianya lebih kepada agenda menanguk di air keruh, biarpun dalam setiap ucapan bahawa langkahnya itu untuk menyelamatkan Umno dan bangsa Melayu.
Justeru, tekanan demi tekanan yang diterima oleh Pak Lah, ramai yang menjangka beliau akan melepaskan jawatannya dalam masa terdekat. Penulis juga berpendapat bahawa ramai lagi pemimpin yang sudah mual dengan PM akan menyokong usul undi tidak percaya yang mungkin akan dibawa di dewan pada hari Isnin. Walaupun mungkin tidak diterima oleh speaker dewan, ianya akan memberikan impak yang besar kepada kerjaya Pak Lah dan masa depannya sebagai PM.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, walaupun PM membuat kenyataan kedudukannya tidak tergugat dengan usul undi tidak percaya, mesyuarat tergempar diadakan juga untuk membincangkan hal tersebut. Peliknya, namun tiada usul konkrit yang diambil.
“Anggota parti kompenan BN sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan kerajaan pakatan mereka dengan mendesak Abdullah berundur.
“Langkah seperti itu dilihat cukup penting bagi Umno dan BN kalau mereka mahu terus survive dalam politik dan dapat bertahan. Setidak-tidaknya pertukaran kepimpinan boleh membantu wujudnya keyakinan baru terhadap pengukuhan semula BN,” katanya lagi.
Sebenarnya perkara terbaik yang patut diambil dalam mesyuarat tergempar itu adalah satu resolusi secara telus pemimpin BN menyarankan agar Abdullah Badawi meletakkan jawatan. Adalah jelas, ianya sesuatu perkara yang membuang masa dan tidak berfaedah jika sekadar datang berhimpun dalam perjumpaan tergempar semata-mata untuk mendengar satu keputusan longgar seperti diumumkan PM kelmarin.
Mungkin juga PM mahu mengambil semangat melawan pasukan bola sepak Turki dalam kejuaraan Eropah. Walaupun sudah disahkan tewas di tangan Croatia oleh pengulas sukan ketika saingan masa tambahan berbaki 30 saat, Turki bangkit mengejutkan dunia dengan gol penyamaan di saat akhir dan seterusnya membuatkan Croatia merana tewas dalam penentuan tendangan penalti.
Itu bola sepak Pak Lah, ini politik. Sepatutnya ambilah pengajaran dari mana-mana kerajaan zalim yang lain di dunia ini. Suatu saat, jika tidak tumbang di tangan rakyatnya, ia akan tumbang juga dengan aib di tangan pengampunya sendiri.
Tuesday, June 24, 2008
PEMIMPIN BN BERMUKA-MUKA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment