Tuesday, October 21, 2008

MANA AHLI POLITIK UMNO TERENGGANU?


Kebayakannya Hebat Berkokok Di kandang Sendiri

Meneliti senarai calon untuk menduduki kerusi penting Parti Umno di peringkat Pusat, berderau juga darah politik hamba ini untuk menulis artikel ini. Bukan kerana minat sangat hendak mengulas hal pemimpin Umno Terengganu, tetapi sesekali 'kaget' juga apabila terkial-kial mencari kedudukan teratas senarai nama mereka bagi jawatan penting itu.

Soalnya di mana kedudukan mereka? "Alahai! Buat apa susah-susah nak menyusahkan diri bertanding jawatan tertinggi di peringkat pusat. Bukankah jadi Yang Berhormat (YB) di sini (Terengganu) pun dah kira ok. Mesti kaya lah!," ujar salah seorang bekas ahli jawatankuasa Umno peringkat kampung di negeri Penyu Bertelur itu.




Bukan apa, ada desas desus ahli akar umbi rasa terpukul dengan sikap 'yes man' ahli YB di Terengganu. Peduli apa pasal pemilihan, baik aku jaga 'kandang' aku di kampung sudah lah. Sedangkan ahli Umno di sini amat dahagakan pemimpin mereka menjadi wira di peringkat pusat pula. Bukan sekadar 'melepak' di kampung, di mana semakin hari semakin menyusahkan masyarakat setempat.

Tidak keterlaluan jika Terengganu dikenali sebagai negeri yang paling 'sejuk' melahirkan pemimpin Umno di peringkat pusat. Langsung tiada nama yang boleh diketengahkan, dan jika ada sekalipun pasti tewas sebelum 'keris' dihunuskan. Memalukan!

Jenguk pula ke selatan, terutama Johor yang membariskan banyak nama besar dan kecil. Yang penting bukan sekadar ada nama, sokongan yang mereka dapat amat menghairahkan. Pasti melelehkan air liur YB di Terengganu.

Ketika pemimpin Umno Terengganu terkial-kial cuba mencelah, Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu gah melepasi had kelayakan bertanding calon Timbalan Presiden Umno. Malah, masih ada tiga nama lagi yang bersaing jawatan Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datu Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Datuk Seri Syed Hamid Albar. Manakala dua nama besar lain yang tidak berminat bertanding kali ini adalah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, dan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Tak berapa kerat yang kenal Ahmad Said. Namanya 'meletup' seketika pun kerana isu jawatan MB dan kos penyelengaraan kereta Proton Perdana V6. Lepas itu sunyi balik. Siapa yang kenal dengan Nasir Ibrahim Fikri? Walaupun anak bekas MB Terengganu, beliau tiada taring di peringkat pusat. Tengku Putera lagi mengecewakan. Ahli Majlis Tertinggi yang kini meniti masa kejatuhan ekoran sukarnya mendapat pencalonan.

Jauh sekali ahli Uno di negara ini mahu mencalonkan Rosol Wahid, Abdul Rahman Bakar dan Din Adam. Sedangkan Razali Ismail yang memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran sendiri pun tidak ada kemampuan membawa diri sendiri. maklumlah, menang pun hanya dengan beberapa undi sahaja dengan Mat Sabu. Kalau ada sekelumit sokongan dan sedang dikenali ramai, hanyalah Sabery Chek yang memegang potfolio Menteri Penerangan. Itu pun ketika berdebat dengan Anwar Ibrahim, memek muka sudah jadi tidak keruan. bagaimana mahu memimpin ahli di seluruh negara?

Sejarah juga membuktikan bagaimana hebatnya kalangan wanita Umno Johor. Kebetulan pula, penyandang Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad datangnya dari Johor yang mengambil alih daripada orang Johor juga, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ke mana pula calon-calon wanita dan puteri Umno Terengganu. Ini juga mengaibkan ahli wanita dan puteri Umno Terengganu malah, ada yang ditanya langsung tidak mengenali mereka itu. Dimanakah silapnya.

Wujud teori yang mengatakan bahawa negeri Terkaya, Rakyat Termiskin ini sudah termakan sumpah. Mereka hanya 'berlagak' di kandang sendiri sahaja tetapi tidak mampu melangkah jauh. Bersamaan dengan 'talent' yang ada pada mereka, hanya mampu berceramah kepada orang kampung sahaja.

Menambah derita, calon-calon dari selatan terus menguasai saingan termasuk, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Rahim Tamby Chik dari Melaka yang membuat pengumuman terbuka bertanding. Begitu juga bagi Tan Sri Mohd Isa Samad yang tidak menghadapi masalah untuk memenangi semula jawatan naib presiden yang disandangnya pada 2004 dahulu.

Benarkah ini suratan bagi Terengganu dan kebetulan pula bagi Johor dan jirannya. Menyelongkar sejarah, ia tidak menghairankan di mana ramai sekali pemimpin Umno datangnya dari sana. Presiden pertama Umno Datuk Onn Jaafar adalah orang selatan. Diikuti Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Nak tahu lagi? Nah! Selatan juga ada Tun Ghaffar Baba, Tun Sardon Jubir dan tak lupa pada Tan Sri Musa Hitam.

Tidak hairanlah jika jiwa anak-anak Terengganu begitu teringin mengikut jejak langkah mereka itu. Tetapi dalam masa semua bahagian yang akan menamatkan mesyuarat masing-masing, adakah YB dari Terengganu akan dicalonkan? Bukan kata Timbalan Presiden atau Naib Presiden yang cukup kabur bagi mereka, tetapi sekadar calon Majlis Tertinggi (MT) sekalipun belum pasti melepasi paras kelayakan.

Walaupun ada suara-suara nakal mengatakan bahawa pemimpin Terengganu 'dok rok cetong' (dialek Terengganu),mereka kelihatan tiada karisma untuk menjadi 'leader'. Benarlah kata bekas Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mustaffa Yassin bahawa Umno merupakan Parti Pusaka. Lihat bagaimana proses penyerahan jawatan tertinggi (Presiden Umno) dilakukan. Ia seolah-olah mengambarkan ia sebagai satu pusaka yang perlu 'diserahkan' dan bukan melalui pemilihan akar umbi. Sedangkan pemimpin adalah milik ahli.

Namun, segala permasalahan kepimpinan tertinggi Umno yang tidak mengalir kepada YB Terengganu mungkin ada rahmatnya buat rakyat negeri ini. Tidak salah jika mengatakan, kepimpinan tertinggi negara ini akan jatuh juga kepada individu dari Terenggannu atau jirannya Kelantan, sekiranya Pas yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihanraya nanti.

Mungkin juga dilabelkan salah sebuah negeri yang terlibat dengan dokongan Islam 'extream', ianya turut tempias kepada pemimpin-pemimpin Umno di sini. Lantas, mereka terus dipinggirkan, walau berita sensasi sesetengahnya itu heboh di seluruh negara.