Tuesday, October 7, 2008

KRITIKAN MAMPU MEMPERKASAKAN PAS

Sebulan dua ini kita disajikan dengan pelbagai senario tidak menentu dalam arus politik perdana. Timbul pelbagai mesej yang disampaikan samada berbentuk sokongan mahupun kritikan.

Namun, minda Melayu dan kebanyakan jiwa manusia, kritikan merupakan perkara paling sinonim untuk diikuti. Bukan sahaja ingin mengetahui apa kesudahan kritikan tersebut, malah ada yang menunggu masa sesuai untuk mencelah. Ada yang membina dan sebaliknya. Begitu juga dengan PAS Terengganu yang dihentam teruk, bukan sahaja daripada pihak 'musuh' malah sekutu dan ahlinya sendiri yang begitu ampuh membuat kritikan terbuka.


Penulis tidak mempertikaikan hak, namun kadangkala cara yang digunakan seolah-olah memberikan kemenangan moral kepada pihak lawan. Dengan kata lain; apakah pemimpin dan ahli PAS sendiri sudah terpengaruh dan terpalit dengan aliran pemikiran Umno?

Melontar kritikan tanpa bermesyuwarah sewenang-wenangnya bukanlah pilihan bijak, tidak kiralah dalam Umno ataupun PAS. Sebagai pewaris perjuangan menegakkan Islam, tidak wajar pimpinan PAS melontarkan kritikan terbuka. Apa salahnya gunakan saluran yang betul dan segala permasalahan dapat dineutralkan.

Berbalik kepada PAS Terengganu yang teruk dibelasah oleh Ir. Khalid Samad, Timbalan II Persuruhjaya PAS Selangor. Mungkin Khalid sudah merasakan tiba masanya keluar dari kepompong dan menonjolkan diri agar lebih dikenali.

Namun, persoalan yang dilontarkan mungkin agak keras dan tidak munasabah buat PAS Terengganu. Apatah lagi membuat perbandingan antara PAS Selangor dan Terengganu secara kontras. Ada juga sampai di telinga penulis yang mengatakan Khalid terlalu 'exited' dan mendabik dada dengan kemenangan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, dan beliau sendiri begitu gah dengan kemenangan besar di kawasannya.

Begitu pun, Khalid lupa bahawa PAS adalah paltform memperjuangkan Islam yang turut didokongi oleh beliau. Jika beliau terlalu ghairah dengan kemenangan sehingga berupaya mengeluarkan kenyataan menghiris perasaan orang lain, bermakna beliau belum menjadi seorang ahli yang tulen dalam PAS itu sendiri.

Kenapa Khalid, antara pimpinan tertinggi PAS Selangor tidak merujuk kepada Jawatankuasa Post-Mortem Pilihanraya PAS Terengganu sebelum membuat kenyataan? Di situ rasanya tersedia pelbagai jawapan daripada apa rasa ketidak puasan di pihak beliau atau sesiapa sahaja.

Ini memberikan kita satu tanggapan bahawa seseorang itu mempunyai agenda tertentu di sebalik kenyataannya. Mungkin Khalid seorang yang profesional dan menggunakan haknya untuk bersuara. Atau peluang dilantik sebagai Menteri dalam PR semakin mudah jika kerap bersuara?

Jika sekadar merebut kesempatan, pemimpin atasan PAS boleh dikatakan agak terpesong dari apa yang diperjuangkan selama ini.

Sedarkah kita, jika PAS inginkan kuasa melebihi hasrat menegakkan Islam, maka sudah lama Hadi Awang dan Nik Aziz menerima perlawaan Umno-BN untuk bergabung. Konsepnya mudah, PAS memperjuangkan Islam sebagai terasnya, dan dalam apa jua keadaan kuasa merupakan perkara kedua walaupun ia amat penting.

Prinsip yang dipegang PAS tidak sama dengan mana-mana Parti Sekular di negara ini. Malah, kenyataan Tuan Presiden PAS yang memberi amaran akan menarik diri daripada PR jika Ahli Parlimen mereka bukan majoriti Islam, jelas memberikan maksud.

Kuasa amat mudah. PAS juga boleh berkuasa dan mempunyai kuasa di peringkat pusat jika menerima tawaran Umno bergabung ketika mereka berada dalam kesempitan baru-baru ini. Namun, pendirian pimpinan yang mahukan Islam itu ditegakkan sebagai perlembagaan telah menyentak pemimpin Umno.

Isu memperlekehkan Persuruhjaya PAS Terengganu, Mustafa Ali juga mencerminkan pengkritiknya itu tidak matang. Syabas diucapkan kepada Datuk Mustafa yang kelihatan bersahaja menangani masalah tersebut. Kematangan dan asam garam bergelumang dengan kerenah politik semasa membuatkan beliau tabah mengahadapi saat-saat genting.

Memang mudah membuat kesimpulan dalam sedetik, apatah lagi 'mengutuk' rakan sendiri apabila berlaku sedikit kepincangan. Dan bukan mudah pula untuk menarik kembali sesuatu kenyataan songsang, kerana manusia mempunyai egonya sendiri.

Bagaimana pun, semua kritikan dan tohmahan terhadap PAS itu sendiri membuatkan mereka semakin matang. Oleh itu, pemimpin PAS juga tidak boleh menyalahkan orang lain jika mereka dituduh mengambil kesempatan untuk mengejar pangkat dan jawatan dalam parti. Semua itu semakin nyata apabila wujud segerombolan pemimpin PAS yang agresif untuk 'melonjak' dan mereka ini mudah dikesan kerana berasal dari kelompok yang sama.

Tidak salah melontarkan kritikan, asalkan ianya dalam suasana harmoni dan melalui saluran yang betul. Usah mengikut rentak musuh yang tidak pernah malu membuka pekung di dada, lantas mengambarkan mereka bagaikan pertubuhan yang tidak sihat.

Tidak semestinya kita hebat berhujah, kita disenangi. Kadang kala hujah itu akhirnya akan menikam diri jua.

No comments: