Cerita dongeng alaf baru; bak seorang penglipulara, Anwar Ibrahim amat berjaya mengolah cerita sehingga menjadikan Umno tunggang terbalik bagaikan kapal dihempas laut Samudera.
Tidak kira samada apa yang dinyatakan bakal ‘menjadi’ ataupun sebaliknya, yang pasti Umno tetap mengelabah. Kalau nak dijadikan perumpamaan, Anwar umpama kepulan asap yang amat ditakuti sang lebah (Umno). Walaupun asap itu tidak terus membunuh, namun kesannya amat menakutkan buat serangga itu .
Tidak kira samada apa yang dinyatakan bakal ‘menjadi’ ataupun sebaliknya, yang pasti Umno tetap mengelabah. Kalau nak dijadikan perumpamaan, Anwar umpama kepulan asap yang amat ditakuti sang lebah (Umno). Walaupun asap itu tidak terus membunuh, namun kesannya amat menakutkan buat serangga itu .
Anwar Ibrahim; suatu ketika dahulu hampir berjaya ditenggelamkan daripada arus perdana politik tanahair. Umno-BN sendiri begitu yakin Anwar akan berkubur tanpa nisan dalam mengejar cita-cita politiknya. Bahkan, hasrat yang diluahkan beliau ketika merengkok di balik jeriji besi Sungai Buloh untuk kembali ke arena politik dianggap satu dongeng atau mimpi tak berkesudahan oleh pemimpin Umno sendiri. Mereka memandang hina dan begitu sinis terhadap Anwar. Bagi mereka, sudah ‘expired’.
Namun, kebangkitan Anwar begitu memeranjatkan. Satu persatu siri dongeng Anwar menjadi kenyataan. Ketika beliau meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan menguasai negeri-negeri utama di negara ini, ianya dianggap dongeng. Bagaimana pun ia telah menjadi kenyataan selepas pilihanraya.
Sedekad tersisih dalam arena politik, keyakinan pemimpin Umno semakin menebal bahawa Anwar tidak akan diterima rakyat. Impian beliau bertanding dalam pilihanraya dan kembali ke kerusinya di Parlimen juga dianggap dongeng. Biarpun dihentam segenap penjuru, dituduh melakukan liwat pusingan kedua, diwar-warkan bersahabat baik dengan Yahudi dan Amerika Syarikat serta pelbagai cemuhan yang pahit untuk ditelan, Anwar tetap menang di Permatang Pauh. Ramai pemimpin BN yang masih belum tersedar daripada mimpi dan terlupa mengucapkan tahniah kepada Anwar hasil kemenangan cemerlang di sana. Satu lagi siri dongeng Anwar menjadi kenyataan.
Kini, timbul satu lagi dongeng yang dianggap tidak masuk akal. Boleh dianggap dongeng ‘agung’ iaitu Anwar membentuk kerajaan PR menjelang 20 September setelah dianjak dari tarikh asal 16 September.
Samada dongeng itu mejadi kenyataan atau tidak, sekurang-kurangnya seluruh pemimpin BN terasa gerun (ngeri). Saban hari makan tak kenyang. Tidur malam bermimpikan Anwar. Mandi pagi terbayangkan Pakatan Rakyat. Malah, makan tengahari, begitu terasa tertelan ‘penumbuk’ Anwar. Begitu hampir Anwar dalam kamus hidup pemimpin Umno-BN. Paling ketara, Pak Lah begitu rajin berulang alik ke ‘seberang’.
Teringat sewaktu kecil dahulu, ataupun ketika menonton cerita hantu (langsuir). Kita dapat lihat bagaimana kebanyakan jalan ceritanya yang mengisahkan si polan yang jahat membunuh si polan lain kerana dendam atau sebagainya. Akhirnya, sebagai balasan, si mati akan menjelma sebagai langsuir yang sentiasa mengintai peluang membalas dendam terhadap musuhnya yang masih hidup itu.
Begitulah juga dengan Umno. Mereka bagaikan watak jahat dalam filem hantu yang diserang rasa bersalah setelah melakukan dosa. Hidup menjadi semakin tidak keruan apabila Anwar menjelma bagaikan langsuir yang saban waktu mengejar mangsa untuk membalas dendam. Lantaran, bila tiba waktu malam, bunyi angin bersiul sekalipun akan dikatakan langsuir.
Jika tidak diserang rasa bersalah, mengapa pemimpin Umno-BN begitu takut dengan Anwar? Seandainya Anwar tidak memberi kesan langsung kepada masa depan politik Malaysia, mengapa pula mereka begitu cakna dengan setiap pergerakan beliau. Persetankan semua itu. Apa istimewanya Anwar? Hebat sangatkah beliau sehingga seluruh pemimpin kerajaan terpaksa membuat kenyataan terhadapnya seorang?
Itulah buktinya. Dalam situasi rakyat dihamburkan BN tidak takut kepada Anwar dan PR, mereka semakin tidak keruan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah kelab penyokong kerajaan menghantar rombongan Ahli Parlimen mereka mengadakan lawatan serentak ke luar negara. Dalam bahasa mudah, orang kata ‘macam budak-budak’. Lucu, nakal, dan kadang kala tidak masuk akal pun.
Dalam pada mengatakan semua hal berkaitan Anwar adalah dongeng semata-mata, Umno terlupa mereka telah melakukan pelbagai tindakan dangkal. Pemimpin tertinggi mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan dan arahan yang mudah ditelah. Pemimpin Umno-BN cuba menjelaskan setiap kenyataan, namun rakyat lebih faham. Rakyat adalah hakim.
Begitu pun, mulut siapakah yang kita mampu tutup selagi ia menjadi milik manusia. Sekoyong-koyong melakukan kesilapan, pasti ada yang akan berbuih mulutnya untuk cuba menegakkan benang basah. Ianya satu hakikat yang nyata dalam Umno-BN.
Justeru, dalam semua kecelaruan dan keaiban, Umno seolah-olah sedang dimakan ‘sumpah’. Sumpahan yang payah ditangkis oleh ‘pawang’ Melayu dengan sekadar merenung air di buyung. Malah, mereka terpaksa menggunakan bomoh Cina, India dan tok batin dari Sabah dan Sarawak. Berjayakah mereka?
Semua orang sedang mentertawakan Umno yang begitu ‘mesra’ bersama parti komponennya. Hamburan kata-kata pedas kepada pihak lawan nampaknya terpalit ke muka sendiri. Harus diingat, pergelutan dan percakaran dalaman BN adalah lebih dahsyat daripada permusuhan mereka terhadap pihak pembangkang. Malah, itulah kelemahan ketara Umno sejak dahulu lagi.
Dalam situasi terdesak, pemimpin Umno sering mencanangkan segala yang berlaku adalah secara ‘kebetulan’ sahaja. Sekiranya ada kekalutan, mereka mampu menyelesaikannya dalam tempoh terdekat, walaupun memakan masa berdekad-dekad. Segala pergerakan dan percaturan Umno tidak ubah seperti lakonan daripada pelajar TADIKA yang mana jalan ceritanya sudah diduga sejak awal lagi. Agaknya, jika kita menonton opera Cina, dirasakan lebih seronok jalan ceritanya.
Kenapa agaknya belaku sedemikian rupa? Apa yang sedang melanda Umno. Mungkin juga Umno sedang melalui detik sukar akibat termakan sumpahan tadi. Para pemimpin dan ahli Umno sewenang-wenangnya melabelkan orang di luar Umno sebagai ‘sesat’, malahan dalam Umno sahaja yang mampu memacu rakyat dan negara ke arah kesejahteraan. Bagi mereka selain Umno, harapan rakyat akan berkecai. Itulah antara intipati kesombongan yang dibanggakan Umno-BN.
Mungkin ramai yang sedang membicarakan tentang kegagalan Anwar membentuk kerajaan sebagaimana diwar-warkan. Namun, kecekapan beliau menyusun propaganda dan strategi hamper melumpuhkan Umno-BN. Percakaran Umno sesama sendiri bersama ahli komponennya semakin menyerlahkan kewibawaan Anwar. Bagai ditatang, segala yang berlaku seolah-olah hasil perancangan licik Anwar sehingga para pemimpin BN bercanggah pendapat dan akhirnya berbalah sesama mereka.
Antara dongeng dan sumpah Anwar, kesannya memang ketara; Umno semakin haru biru.
No comments:
Post a Comment