Wednesday, September 24, 2008

AHLI UMNO: ADA KESEDARAN TAPI TIADA KEKUATAN


Mungkin 20 tahun lalu golongan Melayu di negara ini begitu bangga menjadi sebahagian daripada Umno. Apakan tidak- semuanya ketika itu berpaksikan Umno yang melaungkan slogan memperjuangkan nasib Melayu seantero Malaysia. Tidak ada parti lain yang mampu membela nasib Melayu selain Umno. Begitu gah bunyinya.

Sinonimnya Umno dengan orang Melayu hinggakan golongan ini begitu jumud dan amat takut untuk menyertai mana-mana parti lain, bimbang dilabel sebagai pembangkang. Dalam label itu, mereka hanya memikirkan nasib malang; bimbang ditindas, dipinggirkan, dan disabotaj dalam apa jua perkara


Namun, senario itu seakan berubah apabila meletusnya ‘tsunami’ Anwar Ibrahim lebih sedekad yang lalu. Walaupun sejak sekian lama, orang Melayu yang arif dan tahu keperluan sesebuah negara itu perlu ditadbir dengan telus dan berwibawa, hanya PAS sahaja yang begitu menonjol memperjuangkan itu semua. Bagaimana pun, ledakan ‘Anwarmania’ telah membuka banyak ruang pemikiran positif di kalangan bangsa Melayu itu sendiri.

Ada juga andaian yang mengatakan, ahli Umno bukannya tidak sedar akan keperluan mewujudkan sebuah negara di bawah satu kepimpinan yang telus dan bermaruah. Mereka juga sedar siapa sepatutnya yang patut memimpin negara ini. Namun, dengan desakan kehendak dan nafsu yang meluap, majoriti ahli Umno hanya berpaksikan kebendaan dalam menilai masa depan negara. Mereka lupa bahawa tuntutan agama mampu menjadi ‘payung’ kepada semua ‘kesesatan’ ciptaan manusia.

Penulis bukan mahu mengangkat martabat Anwar Ibrahim sebagai pencetus minda Melayu. Tidak juga berminat untuk mengupas masalah pribadinya, namun apa yang jelas, rakyat sedia menerima perubahan yang dicanang oleh beliau dalam memperkasakan rakyat.

Jika suatu ketika dahulu kaum Melayu hanya ‘merempit’ dalam lingkungan lubang tempurung, kini mereka semakin ‘glokal’. Manakala, lingkungan pagar Umno mula digigit sedikit demi sedikit sehingga putus, langsung membawa mereka keluar dari segala kejumudan tadi. Ramai yang tersentak dari lamunan menyertai konsep pemikiran Anwar, yakni sanggup berada dalam kelompok Pakatan Rakyat (PR). Begitu pun, masih ramai yang mewarisi mentaliti budaya berani tapi takut. Satu warisan Umno turun temurun yang banyak menyelamatkan para pemimpin agung mereka.

Ahli Umno memang hebat. Kenapa hebat? Kerana hanya mereka yang mengatakan mereka hebat. Orang lain pula ‘komang’ (bahasa Terengganu), tidak sehebat ahli Umno. Hayati dan telitilah Umno di mana-mana; MASA DEPANMU TERJAMIN DI BAWAH KEPIMPINAN BARISAN NASIONAL”. “UMNO PENYELAMAT BANGSA”. Hebat, bukan!

Bermakna orang Melayu dan rakyat negara ini akan hancur dan menderita jika ada satu kumpulan lain memerintah negara. Sebenarnya ahli Umno lupa dan tidak meneropong jauh sehingga ke Amerika Syarikat, walaupun mewarisi demokrasi ala negara Polis Dunia itu. Lihat bagaimana amalan demokrasi di sana. Biarpun dilabel sebagai sebuah negara paling jahat dan ganas di dunia, tetapi apabila tiba pertentangan dalam pilihanraya, parti yang bertanding bebas melakukan apa sahaja asalkan tidak melampaui batas yang ditetapkan.

Cuba kita teropong ke seberang lautan pasifik. Tidak ada dalam sejarah Amerika Syarikat parti Republikan atau Demokrat berjaya memerintah selama mana yang Umno-BN memerintah di negara kita. Antara kedua-dua parti berkenaan, mereka saling mewarisi pemerintahan dan akan menerima nasib malang seandainya silap percaturan. Namun, Amerika tetap dianggap kuasa ekonomi dunia. Lihat pula negara Jepun, yang sering menyaksikan pertukaran Perdana Menterinya yang bertanggung jawab. Setiap inci kesalahan serta kelemahan sendiri atau yang dilakukan oleh anak-anak buahnya, pasti mereka akan melepaskan jawatan demi kestabilan dan kekukuhan ekonomi negara.

Berbeza dengan minda Melayu Umno. Mereka bermatian mempertahankan batang reput walaupun masyarakat tahu ianya akan runtuh jua suatu masa nanti. Biarlah seteruk mana penderitaan rakyat, menjunamnya ekonomi negara dan rendahnya moral pemimpin, Umno tetap Umno. Pemimpin mereka tidak berganjak. Maklumlah, mungkin mahu menunjukkan kepetahan berpidato mempertahankan kedudukan masing-masing. Tahap yang menunjukkan betapa lemahnya tahap pemikiran mereka.

Dalam pada Umno mendabik dada dan bertungkus lumus mempertahankan maruah, kini muncul pula golongan ‘pencacai’ dalam parti mereka. Suasana gawat, sikap lawan tauke dan bercakap celupar di antara satu sama lain, begitu merungsingkan Pemimpin Tertinggi Umno. Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan berani apabila beliau meminta Pak Lah mempercepatkan proses peralihan kuasa. Ini menempelak Pak Lah yang kelihatan amat goyah dan tidak dipercayai ahli kabinetnya sendiri.

Kenyataan pedas naib presiden Umno itu menghiris hati Pak Lah. Malah, kenyataan Najib yang hampir senada dengan Muhyiddin turut mengerutkan dahi beliau. Belum sempat meleraikan isu Muhyiddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga hal ehwal kehakiman dalam kerajaan, Zaid Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan membidas Pak Lah dan kerajaan yang menggunakan ISA terhadap orang awam.

Mungkin terpukul dengan kenyataan yang ‘biadap’ itu, Pak Lah termanggu seketika. Namun, percayalah, beliau tidak akan meletakkan jawatan. Itu pasti. Luahan Zaid yang hampir senada dengan pembangkang itu boleh memudaratkan keharmonian Umno. Bagi Umno, kenyataan benar biarpun pahit untuk ditelan adalah sukar untuk diterima. Sejarah telah membuktikan bahawa ahli Umno tidak ada kekuatan untuk mengubah kepimpinan. Akhirnya siapa sahaja yang berlagak hero, pasti akan menerima akibatnya.

Dalam Umno, jurang moral jelas kelihatan. Jika suatu ketika dahulu ramai golongan Melayu yang menjadi pemimpin ikhlas berjuang, kini mereka mengejar tampuk kepimpinan semata-mata kerana wang. Dua situasi berbeza, ‘berjuang’ dan ‘berwang’. Sukar sekali mencari keabadian dalam Umno. Mereka kena akui hakikat ini. Kalau tidak, masakan mereka menghadapi masalah dalaman yang hebat. Bagaimana mereka mahu ‘mentarbiyahkan’ ahli parti lain agar menjadi pengikut mereka?

Rentetan insiden dalaman Umno sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini mampu mengambarkan kepada umum bagaimana sindrom baru telah melanda Umno dan pucuk pimpinan atasan mereka. Mungkin orang menganggap itu Cuma luahan peribadi dalam sistem demokrasi mati Umno. Walau apapun istilah dan anggapan, ianya tidak lebih daripada sindrom ‘lawan tauke’ sebagaimana tanggapan masyarakat umum.

Tampak sedikit ada kesedaran di situ. Bagaimana pun apakah kesedaran itu cukup untuk menyedarkan pemimpin atasan mereka? Jika sekadar meluahkan tanpa melakukan reaksi susulan, ia tidak bermakna langsung. Hanya menjadi bahan ceita, kemudian sepi dibawa arus masa.

Penulis harap ahli dan pemimpin Umno yang mempunyai kesedaran mampu mengumpulkan kekuatan. Kekuatan yang bisa melunturkan kesombongan dan keegoan. Bukan sekadar berkata-kata kemudian menikus apabila sang ‘meow’ mengeluarkan kuku menghambat. Akhirnya apa yang kita dapat lihat hanyalah sekadar seekor tikus yang memecut laju menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa sang kucing tadi. Oleh itu, di manakah kredibiliti dan rasa tanggungjawab di atas segala kenyataan mereka. Sekurang-kurangnya jadilah hero seperti Zaid Ibrahim. Mungkin boleh menjadi ikon ahli Umno yang ada kesedaran dan mampu menunjukkan kekuatan.

No comments: