Sunday, October 26, 2008

MANA YB UMNO TERENGGANU?

Meneliti senarai calon yang dicalonkan Bahagian Umno untuk menduduki kerusi penting parti itu di peringkat Pusat, berderau juga darah penulis ketika menulis artikel ini. Bukan kerana minat hendak mengulas hal pemimpin Umno Terengganu, tetapi sesekali 'kaget' juga apabila terkial-kial mencari kedudukan teratas senarai nama mereka bagi jawatan penting itu.

Soalnya di mana kedudukan mereka?
"Alahai! Buat apa susah-susah nak menyusahkan diri bertanding jawatan tertinggi di peringkat pusat. Bukankah jadi Yang Berhormat (YB) di sini (Terengganu) pun dah kira ok. Mesti kayalah!," ujar salah seorang bekas ahli jawatankuasa Umno peringkat cawangan di negeri Penyu bertelur itu.

Tidak keterlaluan jika Terengganu dikatakan antara negeri yang paling 'sejuk' melahirkan pemimpin Umno di peringkat pusat. Sedangkan dalam masa yang sama penyokong di sini amat dahagakan pemimpin mereka menjadi wira di peringkat pusat. Langsung tiada nama yang boleh diketengahkan, dan jika ada sekalipun pasti tewas sebelum 'keris' dihunuskan. Memalukan!

Jenguk sejenak ke selatan, terutama Johor yang membariskan banyak nama besar dan kecil. Yang penting bukan sekadar ada nama, sokongan yang mereka dapat amat menghairahkan. Pasti melelehkan air liur YB di Terengganu.

Ketika pemimpin Umno Terengganu terkial-kial cuba mencelah, Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu gah melepasi had kelayakan bertanding calon Timbalan Presiden Umno. Malah, masih ada tiga nama lagi yang bersaing jawatan Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datu Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Datuk Seri Syed Hamid Albar. Manakala dua nama besar lain yang tidak berminat bertanding kali ini adalah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, dan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Tak berapa kerat yang kenal Ahmad Said. Namanya 'meletup' seketika pun kerana isu jawatan MB dan kos penyelengaraan kereta Proton Perdana V6. Lepas itu sunyi balik. Siapa yang kenal dengan Nasir Ibrahim Fikri? Walaupun anak bekas MB Terengganu, beliau tiada taring di peringkat pusat. Tengku Putera lagi mengecewakan. Ahli Majlis Tertinggi yang kini meniti masa kejatuhan ekoran sukarnya mendapat pencalonan.

Jauh sekali ahli Umno di negara ini mahu mencalonkan Rosol Wahid, Abdul Rahman Bakar dan Din Adam. Sedangkan Razali Ismail yang memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran tidak ada kemampuan membawa diri sendiri. Maklumlah, menang pun hanya dengan beberapa undi sahaja dengan Mat Sabu. Kalau ada sekelumit sokongan dan sedang dikenali ramai, hanyalah Shabery Chik yang memegang potfolio Menteri Penerangan. Itu pun ketika berdebat dengan Anwar Ibrahim, memek muka sudah jadi tidak keruan apabila ‘terkena’ batang hidung, bagaimana mahu memimpin ahli di seluruh negara?

Sejarah juga membuktikan bagaimana hebatnya kalangan wanita Umno Johor. Kebetulan pula, penyandang Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad datangnya dari Johor yang mengambil alih daripada orang Johor juga, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ke mana pula calon-calon wanita dan puteri Umno Terengganu. Ini juga mengaibkan ahli wanita dan puteri Umno Terengganu malah, ada yang ditanya langsung tidak mengenali mereka itu. Keluarlah, Nordiana!

Wujud teori yang mengatakan bahawa negeri terkaya, rakyat termiskin ini sudah termakan sumpah. Mereka hanya 'berlagak' di kandang sendiri sahaja tetapi tidak mampu melangkah jauh. Bersamaan dengan 'talent' yang ada pada mereka, hanya mampu berceramah kepada orang kampung sahaja.

Menambah derita, calon-calon dari selatan terus menguasai saingan termasuk, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Rahim Tamby Chik dari Melaka yang membuat pengumuman terbuka bertanding. Begitu juga bagi Tan Sri Mohd Isa Samad yang tidak menghadapi masalah untuk memenangi semula jawatan naib presiden yang disandangnya pada 2004 dahulu.

Benarkah ini suratan bagi Terengganu dan kebetulan pula bagi Johor dan jirannya. Menyelongkar sejarah, ia tidak menghairankan di mana ramai sekali pemimpin Umno datangnya dari sana. Presiden pertama Umno Datuk Onn Jaafar adalah orang selatan. Diikuti Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Nak tahu lagi? Nah! Selatan juga ada Tun Ghaffar Baba, Tun Sardon Jubir dan tak lupa pada Tan Sri Musa Hitam.

Hairannya, kenapa jiwa anak-anak Terengganu yang bergelar YB Umno tidak begitu teringin mengikut jejak langkah mereka itu. Malangnya dalam masa semua bahagian menamatkan mesyuarat masing-masing, adakah mereka dari Terengganu dicalonkan? Bukan kata Timbalan Presiden atau Naib Presiden yang cukup kabur bagi mereka, tetapi sekadar calon Majlis Tertinggi (MT) sekalipun belum pasti melepasi paras kelayakan.

Walaupun ada suara-suara nakal mengatakan bahawa pemimpin Terengganu 'dok rok cetong' (dialek Terengganu), sebenarnya mereka tiada karisma untuk menjadi 'leader'. Benarlah kata bekas Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mustaffa Yassin bahawa Umno merupakan Parti Pusaka. Lihat bagaimana proses penyerahan jawatan tertinggi (Presiden Umno) dilakukan. Ia seolah-olah mengambarkan Presiden itu sendiri adalah harta pusaka yang perlu 'diserahkan' dan bukan melalui pemilihan akar umbi. Sedangkan pemimpin adalah milik ahli.

Namun, segala peluang kepimpinan tertinggi Umno yang tidak mengalir kepada YB Terengganu mungkin ada rahmatnya buat rakyat negeri ini. Tidak salah jika mengatakan, kepimpinan tertinggi negara ini akan jatuh juga kepada wakil rakyat dari Terenggannu atau jirannya Kelantan, sekiranya Pas yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihanraya akan datang.

Mungkin juga dilabelkan salah sebuah negeri yang terlibat dengan dokongan Islam 'exstream', tempiasnya turut terpalit kepada pemimpin-pemimpin Umno di sini. Lantas, mereka terus dipinggirkan, walau berita sensasi sesetengahnya itu heboh diperkatakan di seluruh negara.

No comments: