Monday, July 14, 2008

MP HULU USAHA TERAKHIR ROSOL LAWAN KU TERA


KENYATAAN terbuka bekas Setuiausaha Agung Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Haji Rosol Wahid kepada media yang membidas kenyataan sahabat lamanya yang kini menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang meminta semua Bahagian Umno Negeri mengekalkan Ketua Bahagian masing-masing mendapat reaksi hangat.

Bagi Rosol, kenyataan Ahmad itu merupakan satu ‘tikaman’ bagi kumpulannya untuk mencabar kembali kekuasaan yang kini menjadi milik Menteri Besar Terengganu dan ‘teamnya’. Malah, bagi Rosol, apa yang dinyatakan oleh Ahmad itu merupakan nasihat daripada hasil pakatan kumpulan ‘terbuang’ semasa era Idris Jusoh yang diketuai Tengku Putera Tengku Awang (Ku Tera).


Di Hulu Terengganu, khususnya di sekitar bandar Kuala Berang, rata-rata ahli Umno berbual tentang nasib Rosol, sekaligus meluahkan kemarahan kepada Ku Tera. Sembang-sembang petang di kedai kopi begitu rancak dan topik yang dibualkan tidak lari daripada merangka strategi menghalang Ku Tera daripada memenangi calon Ketua Bahagian.

AJK Umno Bandar Kuala Berang, yang mahu dikenali dengan ‘Lan’ sahaja berkata, majoriti cawangan Umno di daerah ini, kecuali di DUN Telemong menyokong hasrat Rosol meletakkan Cikgu Mohd Nor (MP Hulu Terengganu) sebagai calon tunggal menentang Ku Tera dalam permilihan Bahagian nanti.

Beliau juga menyelar sikap Ku Tera yang tidak mengenang budi ketika semua cawangan menyokong beliau sebelum ini. Malah, tindakan Ku Tera yang masih mahu memegang jawatan Ketua Bahagian dilihat sebagai salah satu strategi beliau untuk mengukuhkan cengkaman merebut slot kerusi Menteri Besar suatu hari nanti.

“Sekarang ini, kita sedang mencari fomula atau bahan yang boleh diberikan kepada semua ahli setiap cawangan, bagaimana seseorang pemimpin yang tidak baik itu perlu disingkirkan daripada menerajui bahagian,” katanya lagi merujuk kepada kebencian ahli Umno Hulu Terengganu kepada Ku Tera.

Bagaimana pun, usaha untuk menjatuhkan Ku Tera tetap dirasakan sukar memandangkan pengaruhnya yang kuat, terutama di kawasan Telemong.

Seorang AJK Pemuda Bahagian pula berkata, walaupun Rosol meletakkan Mohd Nor sebagai calon, dari segi sokongan mungkin ada. Namun, jika mahu dibandingkan dengan kekuatan kewangan, calon Rosol itu bakal rebah dan tidak mampu melawan.

“Sokongan akar umbi tetap ada, dan kita tahu majoriti ahli Umno Hulu Terenganu mahu menolak Ku Tera. Tetapi jika mengikut kemampuan kewangan, Ku Tera pasti menang seandainya beliau menggunakan taktik kotor dengan membeli undi perwakilan. Cuma kita perlu menerima hakikat bahawa Umno di sini dan di Terengganu sebenarnya sudah berpecah kepada dua kumpulan” katanya lagi.

Sebahagian daripada mereka yang ditemui juga mengakui bahawa kenyataan Menteri Besar Terengganu itu juga merupakan satu isyarat kepada kumpulan Idris Jusoh dan Rosol Wahid bahawa zaman mereka sudah berakhir.

Ianya seolah-olah memberitahu kumpulan itu bahawa dalam Umno, mana-mana Ketua yang berkuasa, maka kumpulannya pula yang akan menguasai kepimpinan dan semua perjalanan Umno negeri.

Biarpun ada tentangan, namun ianya tidak akan menjadi kudis gatal kepada Ahmad dan kumpulannya untuk menghadapi ‘serangan’ penderhaka itu yang sudah lama kehilangan sengatnya.

No comments: