Sunday, April 27, 2008

Tindakan Drastik Mad Said


MB Terengganu tersepit; Tetapi boleh jadi wira rakyat

Dalam situasi tidak menentu dalam melaksanakan pentadbiran negeri, MB Terengganu Abg Mad Said dilihat merangka beberapa perancangan yang jelas berlawanan dengan dasar yang telah dibuat oleh seterusnya, Idris Jusoh. Malah, dalam banyak hal beliau telah melangkau dengan berani untuk menentang arus, biarpun tindakannya itu bakal 'merugi'kan beberapa kroni Idris, Patrick Lim dan Abdullah Badawi.

Beliau yang seolah-olah sudah nampak dan amat sedar dengan tindakan 'lembab' pihak kerajaan pusat terhadap permintaannya dijangka akan melakukan beberapa lagi 'kejutan'. Sebagaimana jangkaan banyak pihak bahawa Terengganu dan Perlis bakal menerima hukuman daripada keingkaran perintah PM dalam menentukan MB masing-masing, kedua-dua negeri ini akan menerima 'habuan' daripada keingkaran tersebut. Dengan kata lain, kedua-dua negeri ini bakal menjadi ,anak tiri, kepada Kerajaan Persekutuan yang sememangnya dikuasai oleh golongan yang penuh dendam.

Namun, Abg Mad bukanlah seorang yang 'menikus' dalam hal ini, malah telah menunjukkan aksinya dengan berani apabila mengarahkan kerajaan pusat menyerahkan kembali royalti minyak Terengganu. Satu persatu telah mula dilakukan oleh beliau untuk mengendalikan negeri dengan lancar. Walaupun dalam beberapa perkara ianya menampakkan kecenderungan menguntungkan pembangkang, namun ia terpaksa dilakukan demi sebuah maruah dalam menyahut tugasan yang membebankan.

Boleh dikatakan MB Terengganu itu bergerak secara 'solo' sekarang dalam banyak hal. Tiada berdetik pun pihak Umno negeri di bawah kekuasaan Idris Jusoh melaungkan sokongan padu dalam semua tuntutan beliau. Ini merupakan isyarat jelas bahawa pergolakan Umno di Terengganu sebenarnya amat parah. Bertopengkan kulit luar sahaja yang cantik, isinya begitu lebam dan hanya menunggu masa untuk mengeluarkan bau busuk.

Falsafah Umno ternyata tidak memihak kepada sesiapa sahaja yang menentang kepimpinannya, biarpun mereka yang menentang itu daripada kalangan ahlinya sendiri. Sebuah pertubuhan yang tidak begitu mementingkan kesejahteraan rakyat, Umno pasti akan bertindak balas kepada golongan yang memusuhi mereka sehingga berjaya. Dalam soal ini, Abg Mad turut menjadi mangsa. Selepas melepasi fasa kemelut perlantikan beliau sebagai MB dan barisan Exconya, kini terpaksa berdepan dengan kerenah 'bos'nya di Putrajaya pula. Berlandaskan hakikat itulah, beliau sanggup menzahirkan beberapa permintaan yang kadangkala tidak sepatutnya dibuat sekiranya mahu menjaga hati bosnya itu. Tetapi dalam keadaan tersepit, apa jua boleh berlaku dan mesti dilakukan.

MB Terengganu itu masih beruntung, walaupun melanggar prinsip, namun ianya masih di dalam kantung Umno. Tidak seperti PAS yang memerintah suatu ketika dahulu dalam keadaan terkapai-kapai tetapi masih mampu bernafas. Teruskanlah Abg Mad, mana tahu segala tindakan drastik yang diutarakan itu akan menjadikan kamu 'hero' rakyat Terengganu. Tetapi ingat, prinsip Umno amat kejam. Kemungkinan keberanian Abg Mad itu akan membawa kejayaan, namun konspirasi untuk menjatuhkan beliau akan berjalan dengan 'kejam' walaupun nanti, orang yang akan menggantikan tampuknya itu bukan lagi Idris Jusoh.

3 comments:

pirah lah said...

test komen..hehehe!

kamarul said...

pas ke umno. semua melayu gak. kat perak tu tak nak komen ke. suara konon melayu tapi tangan kena pulas belakang

Sukatikaulah said...

cuma bezanya...melayu pas sedar diri...melayu UMNO dok kaya sesama sendiri.lsds