Thursday, February 12, 2009

Nak Siasat Karpal; Siasat Juga 22 ADUN 'Derhaka'

Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa mencabar pihak polis dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) turut mengambil tindakan ke atas 22 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu yang dikatakan menghina dan menderhaka kepada Sultan sekiranya mereka mempunyai hasrat mengenakan siasatan terhadap Karpal Singh.


Menurutnya, kedua-dua pihak terbabit perlu melakukan siasatan secara adil dan tidak hanya melihat ke atas kepentingan pihak tertentu sahaja untuk membuka kertas siastan. Malah katanya, pihak polis tidak pernah mengambil ‘action’ terhadap laporan daripada pihaknya terhadap isu kain rentang dan 22 ADUN Terengganu yang derhaka kepada Sultan ekoran konflik perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Mac lalu.


Pihaknya mahukan tindakan yang adil ke atas semua pihak dan bukan tindak berpilih yang hanya menguntungkan pihak yang berkepentingan sahaja. Malah, beliau masih menunggu dan berharap pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penderhakaan kepada Sultan.

“Aduan terhadap 22 ADUN menderhaka kepada Sultan adalah serius, dan kita mahu pihak polis menyiasat sekiranya mereka mahu mengambil tindakan terhadap Karpal. Tindakan juga perlu diambil oleh pihak KDN,” katanya lagi apabila diminta mengulas laporan mengatakan pihak polis akan menyiasat tindakan Karpal dikatakan menderhaka kepada Sultan Perak.

Beliau yang seringkali membuat laporan polis terhadap isu-isu semasa dan banyak melibatkan pemimpin Umno tidak bercadang membuat laporan polis berhubung tindakan Karpal yang bercadang menyaman Sultan Perak. Baginya, apa yang dibuat (laporan) oleh pihak Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) sudah memadai.

“Saya tak akan membuat laporan terhadap Karpal, sudah memadai apa yang dibuat oleh pihak Umno dan NGO, dan berharap pihak polis akan menyiasatnya dengan telus,” ktanya lagi.

Mengulas lanjut, Fariz bekata, pihak AMK akan mengambil sikap tunggu dan lihat apa jua tindakan polis selepas ini memandangkan sudah banyak laporan polis yang telah dibuat oleh pihaknya. Namun, semua laporan itu tidak jelas statusnya, samada sudah dibuka kertas siasatan ataupun tidak.

Bagi AMK, pihak polis tidak perlu mengamalkan sikap ‘double standard’ atau memilih untuk melakukan siasatan. Ianya perlu dilakukan tanpa prejudis supaya sikap dan integriti mereka terus diperakukan oleh seluruh rakyat negara ini.

No comments: