Sunday, August 17, 2008

TGAH: Mubahalah Mohd Saiful bermotif politik


Tindakan bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan bermubahalah (sumpah laknat) jelas bermotifkan politik kotor.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan perbuatan Saiful adalah sesuatu yang bodoh serta tidak mengikut lunas Islam.

"Ianya satu kebodohan terhadap hukum Islam lebih-lebih lagi yang memakai jenama agama (Islam)," katanya dalam sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 di sini kelmarin.

Petang kelmarin Mohd Saiful melakukan sumpah dihadapan bapanya, Azlan Mohd Lazim dan Imam Masjid Wilayah Persekutuan.

Abdul HAdi juga melahirkan kekesalan kerana institusi agama turut diheret dalam permasalahan ini.

"Perkara ini mesti difahami dengan jeas. Bagi kita orang Islam kita ada li'an. Li'an adalah sumpah yang melibatkan suami isteri.

"Tetapi Anwar dan Mohd Saiful bukan suami isteri. Cara sumpah guna al-Quran juga seperti amalan Kristian yang gunakan Bible untuk bersumpah," katanya.

Menurut Abdul HAdi, pada hakikatnya Mohd Saiful tidak perlu melakukan sumpah menggunakan al-Quran kerana berliau sendiri tidak memahami kandungan kitab suci itu.

"Namun itu hak dia, dia boleh buat apa sahaja. tetapi harus diingat kita perlu dengar dari kedua-dua belah pihak," katanya.

Tambah beliau, penyelesaian terbaik bagi kes ini ialah dengan merujuk ke Mahkamah Syariah.

"Ini melibatkan hal orang Islam. Jadi termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Perkara 121 (1)(A).

"Pandangan kami (PAS) jelas, perkara ini (tuduhan liwat) perlu dirujuk mengikut hukum qazaf (tuduhan fitnah) yang memerlukan empat orang saksi atau berikrar bagi kedua-dua pihak," katanya.

Katanya lagi Anwar tidak perlu mengikut jejak Mohd Saiful untuk bersumpah.

Jelas Abdul Hadi tindakan Mohd Saiful itu (bersumpah) tidak akan menjejaskan sokongan PAS terhadap Anwar.

"PAS tetap berpendapat bahawa Anwar tidak bersalah selagi perkara ini masih belum dibuktikan di mahkamah," katanya.

Abdul Hadi juga berpendapat bahawa sumpah Mohd Saiful yang dilakukan sehari sebelum proses Penamaan calon bagi pilihan raya Permatang Pauh pagi tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap Anwar.

No comments: