Wednesday, August 27, 2008

SUARA RAKYAT SEMAKIN KERAMAT



Bermula 27 Ogos 2008, kedudukan Anwar di Parlimen telah berubah yang landskapnya lebih meriah dan ceria berbanding ‘seksa’ yang terpaksa ditanggung sejak satu dekad lalu.

Bersandarkan situasi masa kini, kelantangan suara rakyat semakin terserlah, terutama rakyat marhein yang begitu dahagakan kesejahteraan dan ketelusan. Atas dasar itu, maka Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno terus gagal menguburkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam senario politik ‘haprak’ mereka di Malaysia masakini.


DSAI meninggalkan Permatang Pauh menuju ke Dewan Rakyat dengan penuh keyakinan bagi melakukan persiapan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen (MP) paling ‘bongsu’. Namun, bongsu Anwar merupakan bongsu paling ditakuti di kalangan MP pembangkang, sehingga ada di antara pemimpin tertinggi Umno dan BN bercelaru membuat kenyataan ekoran kemenangan besar DSAI. Malah, ada yang terpaksa menelan kata-kata dengan tertib agar tidak tersembur kembali. Bukannya apa, bimbang yang tersembur itu pun terpaksa ditelan berulang kali.

Permatang Pauh membuka liku-liku baru dalam politik negara. Satu masej jelas daripada rakyat akar umbi yang menolak falsafah BN yang sudah lapuk dan hampir reput. Umno hadir di Permatang Pauh dengan wajah nenek berusia lebih 53 tahun dan mereka terlupa mengenakan mekap berjenama agar tidak luntur dek panas dan hujan. Akibatnya, rakyat dapat melihat wajah sebenar nenek itu dengan rupa buruk yang tidak pandai mengambil hati anak-cucu di sini.

Biar apa jua tuduhan yang dilemparkan terhadap DSAI, ianya masih belum mampu menutup segala ruang kepincangan BN selama setengah abad memegang tampuk pemerintahan negara. Bukannya pemimpin BN tidak sedar perkara itu, tetapi kemaruk kuasa serta kepentingan politik semasa membuatkan mereka alpa, biarpun seringkali diingatkan.

Singgahlah di mana jua warung kopi di seluruh negara, pasang telinga, dan dengar apa yang diperkatakan oleh seluruh rakyat termasuk penyokong kuat BN sendiri. Apa yang mereka katakana? Tidak lain, ianya berkisar pada Umno yang memerlukan ‘kosmetik’ baru bagi merubah keseluruhan wajah mereka. Malah, lebih teruk, ada yang mencadangkan BN/Umno melakukan ‘plastic surgery’.

Betapa malang nasib BN apabila mereka diperlekehkan sebegitu oleh masyarakat bawahan. Mungkin itu wajar buat mereka kerana sudah terlalu lama suara keramat rakyat tidak bergema. Bagi BN, percaturan kini hanyalah melakukan perancangan rapi untuk menahan gelombang kebangkitan itu agar tidak terus ‘mengganas’ menelan korban. Mampukah BN?

Yang pasti kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh hari ini akan memberi kesan besar dan menyeluruh kepada persekitaran politik negara. Majoriti 15,671 undi merupakan kelebihan yang besar itu membuktikan populariti Anwar tetap kental walaupun sudah sedekad terkeluar daripada arus politik perdana dan kini menghadapi tuduhan liwat di mahkamah.

Serentak itu, keputusan pilihan raya kecil itu mengesahkan penolakan yang meluas dan berterusan terhadap Barisan Nasional, khasnya Umno. Apa yang lebih menakutkan, ia juga berupa undi tidak percaya rakyat terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan tamparan hebat kepada timbalannya, Mohd Najib Abdul Razak, yang mengetuai kempen BN.

Keramat rakyat sudah bijak membezakan mana yang benar dan mana yang menjadi ‘gimik’ di Permatang Pauh. Sebagaimana penulis menyatakan sebelum ini, rakyat bukan lagi menjadikan batang tubuh Anwar sebagai wadah utama menentang kerajaan BN. Tetapi ianya lebih kepada dasar-dasar bercelaru kerajaan yang banyak menyusahkan kehidupan harian rakyat itu sendiri.

Turunlah sebanyak mana sekalipun harga minyak. Tetapi mengapa sebelum pilihanraya kecil? Menguatkuasakan amalan rasuah, kenapa hanya bijak bertindak sebelum pilihanraya kecil Permatang Pauh? Mana perginya berguni fail rasuah pemimpin lain termasuk BN/Umno sebelum ini? Seronokkah melakukan sumpah laknat dalam kesibukan rakyat mahu membuat pilihan di Permatang Pauh? Atau berkesankah peranan media massa arus perdana melaporkan segala ‘keburukan’ dan ‘keganasan’ penyokong Pakatan Rakyat (PR)?

Jawapan kepada semua itu ada di dalam saku pemimpin BN terutamanya Umno. Malangnya, mereka lupa rakyat yang ‘bodoh’ juga mampu menjawab tepat soalan objektif dengan hanya menanda jawapan secara rambang. Itulah kehebatannya!

DSAI tidak segan silu mengumumkan kemenangan beliau di Permatang Pauh adalah kemenangan besar rakyat. Kemenangan menjadi saat penentu dan bakal menentukan hala tuju negara ini.

“Saya berkongsi kegembiraan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia pada hari bersejarah ini. Ianya merupakan kemenangan buat rakyat. Pada 8 Mac rakyat Malaysia memilih harapan baru. Hari ini di saat kita bakal menyambut hari kemerdekaan, rakyat menyahut seruan tersebut. Dengan ini kita merayakan hari kemerdekaan sepertimana pendiri-pendiri negara kita inginkan-sebuah negara dan rakyat yang bersatu,” katanya selepas diisytiharkan menang dalam pilihanraya Permatang Pauh.

Anwar kini menjadi wadah untuk membuka lembaran baru untuk Negara Malaysia. Kata-katanya adalah kata-kata hikmat, tongkatnya merupakan tongkat rahmat yang mampu menyentuh hati nurani rakyat sehingga mereka menjadi semakin ‘keramat’. Beliau memberikan secangkir sinar dalam usaha ke arah memulihkan intergriti badan kehakiman, memerangi rasuah, dan memacu sebuah negara berdaulat. Paling tidak, harapan rakyat melihat kemerosotan ekonomi pulih kembali semakin cerah. Dengan semangat membara dan berusaha membentuk kerajaan yang komited terhadap aspirasi rakyat, Anwar hanya selangkah lagi ke Putrajaya.

Pandangan sinis mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir terhadap Abdullah Badawi wajar dijadikan iktibar. Beliau menjelaskan bagaimana sokongan rakyat semakin menyusut ekoran kekalahan di Permatang Pauh. Namun, tambahnya jika BN menang, sudah tentu Pak Lah kata itu adalah kemenangannya.

“Pengundi Permatang Pauh bukan mengundi Anwar atau Pakatan Rakyat, tetapi mereka mengundi untuk mengalahkan Umno dan BN,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Abdullah Badawi masih mendabik dada dengan mengeluarkan kenyataan, agar rakyat tidak menyalah tafsirkan kekalahan BN di situ sebagai satu trend yang akan berlaku di kawasan lain.

“Apa yang berlaku di Permatang Pauh bukanlah sesuatu yang terlalu besar untuk mengubah situasi yang telah pun berlaku pada pilihan raya umum yang lalu.

“Pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya satu pilihan raya kecil yang tidak boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang boleh berlaku di kawasan-kawasan lain. Saya percaya kami masih boleh terus mentadbir kerajaan,” katanya yang juga pengerusi BN kepada pemberita selepas mengucapkan selamat jalan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Senai, Johor Bharu sehari selepas pengundian di Permatang Pauh baru-baru ini.

Dalam situasi ini, mungkin Pak Lah dan Pak Najib lupa dan masih memasang impian tinggi hinggakan beliau gagal merenung sejenak, apakah itu ‘Suara Keramat Rakyat’.