Wednesday, June 11, 2008

SUKMA TRG: SATU KEMENANGAN MORAL AHMAD SAID?


Tapi Waspada dengan Taktik MB Terengganu itu!

SUKMA XII Terengganu pastinya meninggalkan kenangan manis buat tuan rumah apabila meraih emas terbanyak dalam sejarah penyertaannya, iaitu melebihi sasaran 40 pingat emas. Selain megah dengan Kompleks Stadium yang moden dan cantik di Gong Badak, Terenggganu tidak kalah dalam menyediakan peserta berpotensi walaupun terpaksa ‘mengimport’ beberapa orang atlet untuk mengisi kouta bagi beberapa acara sukan yang disertai.

Namun, apa yang mahu diketengahkan di sini adalah dari sudut politik pula. Dalam situasi kejatuhan empayar Idris Jusoh, kejayaan Kontinjen Terengganu di Sukma XII ini merupakan satu kemenangan moral buat Ahmad Said. Dengan kata lain, penganjuran Sukma adalah masa yang paling tepat untuk menaikkan imej beliau sebagai seorang Menteri Besar yang dilantik dengan penuh kontrovesi. Ianya bagaikan sudah diatur sejak awal lagi supaya atlet Terengganu meraih sebanyak mungkin emas sebagai hadiah paling bermakna buat Menteri Besarnya.


Kata orang, MB Terengganu turun dengan langkah kanan. Serba menjadi, bagaikan ceritera dongeng sang purbakala, seorang hero yang dianugerahkan kuasa sakti. Apa jua yang disentuhnya pasti menjadi emas. Wow! Hebatnya. Dan kehebatan itu adalah milik Ahmad Said buat masa ini.

Dalam kepayahan menanggung beban dan rasa aib akibat kecelaruan dalam menyiapkan prasarana dengan sempurna secara keseluruhannya, Ahmad dirasakan dapat menutup sedikit sebanyak kepincangan itu dengan pencapaian cemerlang atlet-atlet Terengganu di gelanggang. Ditambah masalah dalaman Umno Terengganu yang semakin bercelaru, ada kebenaran jua di sini bahawa Sukma mampu meredakan seketika kekusutan yang ada.

Jika mahu menyingkap permasalahan di Sukma, pelbagai kepincangan telah dan akan berlaku. Paling memalukan adalah kegagalan pihak Sekreteriat Sukma melakukan ‘dry run’ bagi acara-acara penting di beberapa gelanggang di kompleks sukan Gong Badak sebelum semua acara dilangsungkan secara rasmi. Akibatnya, banyak kepincangan berlaku dan sukar dielakkan lagi apabila beberapa acara sukan berlangsung. Suasana di Pusat media kelam kabut akibat tidak dapat sempurnakan pada hari dijanjikan, padang hoki terbabit dengan masalah air pancut, lif di stadium utama meragam sehinggakan ada orang terperangkap. Garisan trek olahraga pula hanya mampu disiapkan sehari sebelum acara tersebut diadakan.

Fenomena paling menarik adalah kerja keras pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bersilih ganti mengangkut air untuk dipenuhkan dalam tangki di Padang Hoki. Ini akibat saiz saluran paip air masuk ke tangki utama hanya berukuran 3 inci sahaja dan tidak mampu memenuhi tangki dalam masa yang singkat. Manakala pekerja kontrak pula yang menyiapkan bumbung stadium utama pula tidak kelihatan hanya menjelang malam majlis perasmian.

Mungkin semua kecacatan di atas hanya melibatkan 45 peratus sahaja daripada kecacatan keseluruhan yang dikesan sepanjang penganjuran. Ianya belum melibatkan masalah pengurusan atlet, penginapan, pemakanan, pengangkutan dan pembayaran elaun petugas. Malah, mungkin juga selepas penganjuran akan timbul pula rungutan daripada pihak pembekal atau kontraktor yang gagal mendapat balik bayaran daripada pihak pengurusan Sukma sebagaimana yang pernah berlaku pada Sukma dan Sukan Komenwel sebelum ini.

Sebagaimana telah dijelaskan, segala kepincangan itu tampak tertimbus sementara ekoran prestasi mendadak para atlet Terengganu yang bersemangat mencipta kecemerlangan. Ahmad sebagai ‘ayah’ kepada rakyat Terengganu boleh menarik nafas lega dengan perkembangan itu. Mungkin juga saranan dan janjinya memberikan habuan sebanyak RM3000 bagi sebutir emas telah menyuntik semangat luar biasa itu. Sepintas lalu, ia bukan sahaja berjaya membawa semua orang lupa pada kemelut politik semasa, dan kepincangan tuan rumah sebagai penganjur, sebaliknya hampir semua peringkat masyarakat memuji keupayaan Terengganu kali ini.

Betapa besarnya jiwa seorang Menteri Besar apabila melihat kejayaan anak-anak buahnya menuai emas saban hari. Nun jauh di lubuk Tasik Bukit Besi, para pendayung muda Terengganu memahat sejarah dengan sumbangan 14 emas melalui acara kanu. Tiada siapa yang menelah? Apa yang lebih penting bagi seorang Menteri Besar, semakin banyak emas yang digali oleh atlet Terengganu, semakin banyak pula keaiban Umno Terengganu dapat ditutup. Walaupun bukan untuk selamanya, namun ia tetap menjadi ‘turning point’ bagi kerajaan bermasalah ini merangka strategi memperkemaskan pentadbiran dari segala kepincangan.

Bagaimana pun, jika diukur dengan pembaziran dan penyelewengan era Idris Jusoh dahulu, segunung emas sekalipun diraih Ahmad Said di Sukma ini, rasanya masih sukar untuk menepis banyak tohmahan. Beliau adalah pewaris kebejatan. Pewaris keegoan, malah paling malang, beliau juga pewaris kepada lembaga Jin di Masjid Kristal Pulau Wan Man.

Justeru, Sukma ini amat sesuai menjadi medan atau batu loncatan bagi Ahmad untuk mengubah tanggapan dan persepsi terhadap segala kekalutan dalaman itu. Usah ditanya berjaya atau tidak tetapi anggaplah ia sebagai modal untuk ‘bertenang’ seketika.

Sejauh mana pula ukuran kemenangan moral Ahmad Said?
Sebenarnya lonjakkan populariti beliau bukan semata-mata bergantung kepada penganjuran Sukma sahaja. Sejak dari awal lagi kita dapat melihat kekuatan yang wujud dalam jiwa MB Terengganu ini. Kecekalannya menghadapi satu persatu kerenah pimpinan Umno Pusat dan ditambah kedegilan Idris Jusoh, adalah jawapan kepada semua itu.

Bukan senang mengurus tadbir sesebuah negeri apabila menerima tekanan daripada segenap penjuru. Biarpun bergerak dalam kapisiti BN, Ahmad hanyalah boneka yang terhimpit di antara kesombongan dan kecelaruan Umno sendiri. Bermula dengan boneka yang tidak bernyawa, akhirnya Ahmad berupaya melepasi fasa nyawa-nyawa ikannya itu sedikit demi sedikit. Kebijaksanaannya mengalunkan rentak ‘ala’ pembangkang dengan memainkan isu royalti minyak, dan cuba menghapuskan penyelewengan Idris dalam aspek pembaziran pembangunan material nyata mendapat tempat di hati rakyat Terengganu.

Memang manusia biasanya akan menjadi kreatif apabila berhadapan dengan pelbagai masalah. Begitulah juga dengan MB Terengganu itu. Beliau dapat merangka beberapa agenda penyelamat tadi sebagai satu perisai untuk menepis segala kemungkinan, sekaligus memaksa musuh-musuhnya menelan kembali semua keperitan yang terpaksa ditanggungnya selama ini.

Percaturan mengenegahkan isu sensitif berkaitan royalti minyak melonjakkan kembali reputasinya sebagai seorang MB. Gaya santai beliau berseluar jeans yang sentiasa turun padang dengan mengenepikan aspek protokol seorang eksekutif, turut menjulang populariti beliau. Apabila beliau berjaya mengatasi segala kepayahan yang sengaja dicipta oleh kepimpinan yang tidak sebulu dengannya, bermakna beliau mempunyai jiwa besar untuk terus berdiri. Bukan mudah bagi sesetengah orang untuk menyerap tekanan, tentu ada yang akan tergolek dan kaku di bangku beku.

Dalam usaha mengekalkan rentak, ramai pemerhati politik menanti sejauh mana Ahmad dapat bertahan. Apakah momentumnya selepas Sukma ini akan kembali layu atau semakin bersemangat. Beliau sudah tentu ingin mengaut segala kecemerlangan Sukma sebagai landasan kegemilangan pentadbirannya. Dan tidak mahu pula saki baki kepincangan Sukma nanti menjadi barah untuk merencatkan perjalanan politiknya.

Dengan kalungan ucapan tahniah yang tidak putus-putus diterima atlet Terengganu sepanjang berlangsungnya Sukma, bermakna ia satu rentetan kejayaan peribadi Ahmad Said. Ketika impian mantan MB Terengganu, Idris Jusoh mengimpikan menjulang kegemilangan bersama atlet tersebut sekiranya masih berada di tampuk MB, akhirnya impian itu hanyut bersama igauan buruk yang pasti akan dikenang sepanjang hayat oleh beliau. Sebaliknya, inilah masa bagi Ahmad melonjakkan namanya.

Lupakan juga seketika siapa Ahmad yang sebenarnya. Rakyat Terengganu sedar, beliau tidak akan menyeberang sehingga ke kem pembangkang untuk meraih simpati walaupun ada kemungkinan itu. Cuma apa yang perlu diingatkan, kita sebagai rakyat perlu bersedia dalam apa jua keadaan untuk menghadapi kerenah BN/Umno ini. Mereka akan berlagak seperti pengemis apabila tersepit, dan jangan hairan apabila mereka agak menjadi hero pula apabila mendapat kuasa sepenuhnya nanti.

Mainan politik yang mudah dibaca. Walaupun menjadi kebiasaan (rutin) sejak berzaman, namun ianya tidak memberi kesedaran kepada rakyat untuk berubah. Kebanyakan daripada mereka akan ‘cair’ dengan lakonan pemimpin BN yang sememangnya begitu handal dalam aspek memperbodohkan rakyat. Syukurlah rakyat negara ini merupakan rakyat paling ‘baik’ di dunia. Ambil contoh peristiwa pengumuman kenaikan harga minyak baru-baru ini. Walaupun hilang sabar dengan kerenah pemimpin yang tidak prihatin dengan masalah rakyat, mereka tetap akan mendokong kerajaan BN apabila tiba masa di musim pilihnaraya.

Jika di negara lain, pengumuman sebegitu membawa kepada demontrasi jalanan secara besar-besaran yang boleh mengugat sesebuah kerajaan, namun di negara ini rakyatnya pula berlumba-lumba ‘menawan’ stesen minyak, sekaligus secara simboliknya turut menyokong dasar kerajaan dalam isu tersebut. Pelik, kan!

Andai ingin melihat bagaimana rupa sebenar pemimpin BN, lihatlah senario di Amerika Syarikat. Sehebat dan sebaik mana calon Presiden mereka dengan hamburan janji-janji manis semasa berkempen, ianya tetap Presiden Amerika Syarikat. Apabila menduduki kerusi Presiden, ia tetap melaksanakan agenda jahat, malah lebih jahat daripada sebelumnya. Bagaiamana pula dengan BN? Wujudkah persamaan itu?

Mungkin itu hakikatnya. Begitu juga dengan kes Ahmad Said. Rakyat diingatkan jangan mudah terpedaya dengan segala lakonan simpatinya. Namun, ikutlah apa jua dasar kebajikan yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat selagi ianya bermanfaat.

Kini Sukma sudah berlalu. Kegemilangan sudah tercipta. Ahmad Said turut menerima laba. Apa pula selepas ini bang Mad? Hanya insan bernama Ahmad Said sahaja yang tahu.

No comments: