Friday, January 16, 2009

ROYALTI MINYAK: HAK MAHKAMAH DIKETEPIKAN

Semakin hari semakin banyak pengumuman royalti minyak dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Terengganu. Malah, ia semakin galak dan seolah-olah dijadikan modal politik murahan oleh pihak Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari baru-baru ini.


Bermula dengan janji mengembalikan wang royalti, TPM dilihat begitu bermurah hati bagi pihak kerajaan Malaysia dan Petronas dalam melunaskan segala kesilapan dan ‘dosa’ mereka terhadap rakyat Terengganu.

Pihak pembangkang, terutama Pas telah menganggap penyerahan royalti minyak sebanyak RM408 juta yang diserahkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Terengganu bukanlah alasan bagi kerajaan negeri menghentikan tuntutan wang tesebut yang telah lama hilang.

Corak yang digunakan BN dalam hal berkaitan royalti ini tampak bagai satu ‘permainan’ yang tiada kesudahannya. Jika masih diingat, sewaktu kerajaan pusat menarik balik royalti minyak dari kerajaan negeri, mereka tidak menghormati langsung perjanjian yang telah dimeterai mengikut perundangan. Begitu juga apabila mereka sewenang-wenangnya mengembalikan royalti berkenaan dalam suasana ‘panas’ ketika kempen pilihan raya, juga tidak mengikut saluran.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil Pas Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong berkata, tindakan itu bukan menjadi jalan ‘penyelesaian’ dan wang yang ‘hilang’ itu perlu dikembalikan secara perundangan.

“Berdasarkan perjanjian di bawah akta Memajukan Petroleum pada tahun 1974, Terengganu bersama negeri-negeri lain menerima bayaran royalti minyak sebanyak lima peratus, dan kerajaan Persekutuan juga mendapat peratusan yang sama,” katanya ketika mengulas hal berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika Najib menganggap kes itu ‘selesai’ pihak Pas mengalu-alukannya, namun ianya perlu kepada keputusan penghakiman dengan terma-terma yang menepati segala tuntutan.

Kerajaan Pusat melakukan penarikan dan penyerahan semula dengan sewenang-wenangnya, seolah-olah ia adalah milik sebuah parti. Rakyat Terengganu bukanlah sejenis bahan mainan yang boleh diperkotak-katikan. Mereka mempunyai maruah dan harga diri dalam apa jua situasi. Jika pihak tertentu hanya tahu menghormati warga negeri ini ketika ‘tersepit’ sahaja, ianya tidak membawa sebarang makna. Ketika rakyat melaungkan hak mereka, ia tidak dilayan kerajaan Pusat. Namun, ketika kerajaan mempunyai agenda tertentu, mereka mampu mengembalikannya pula.

Ulas Wan Abdul Mutalib lagi, isu wang royalti itu bukan hak dan bukan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya Petronas yang perlu membuat bayaran secara terus kepada kerajaan negeri. Oleh itu, apakah motif sebenar pihak BN melakukan tindakan sedemikian rupa?

“Penyelesaian yang dikatakan oleh Najib sebelum ini tidak benar sama sekali, kerana kerajaan Persekutuan tidak boleh mengambil inisiatif membayar kepada kerajaan negeri.

“Ianya perlu dilakukan oleh pihak Petronas sebanyak dua kali setahun iaitu sebelum 31 Mac, dan bayaran kedua sebelum 31 September setiap tahun, ulasnya lagi.

Pas juga mempertikaikan kenapa pihak kerajaan BN dan Umno tidak melakukan sesuatu yang lebih baik dan mencari jalan menjadikannya lebih ‘mampan’ sejak tahun 1974 hingga 1999. Sewajarnya pihak BN mencari alternatif untuk mengembalikan wang rakyat tersebut dan bukannya berserah begitu sahaja.

Bagaimana pun, Wan Abdul Mutalib berkata, beliau turut bersetuju wang royalti diserahkan kepada kerajaan negeri pada Mac depan kerana ianya adalah milik rakyat Terengganu yang perlu dihormati oleh Kerajaan Pusat dan pihak Petronas.

No comments: