Wednesday, January 7, 2009

Rentak PAS Menyakinkan; Sokongan Cina Bertambah

Keserasian calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Wakaf Mempelam sejak lima penggal lalu dengan kaum Cina di kawasan Kuala Terengganu mampu menghadirkan gerun kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti.

Keserdahanaan beliau di kalangan masyarakat setempat turut memberi kelebihan dalam meraih undi kaum tersebut. Malah, sikap terbuka dan suka bergaul dengan komuniti tersebut sejak sekian lama memberikan keyakinan kepadanya menghadapi calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam persaingan tiga penjuru kelak.

Menelurusi sejarah, Mohd Abdul Wahid juga mempunyai memori indah bersama kaum Tiong Hua di sekitar Kuala Terengganu, apabila beliau bertanding bagi calon DUN Bandar dalam pilihan raya umum pada tahun 1986. Baginya, sepanjang beramah mesra bersama kaum tersebut, beliau dapat merasakan sokongan padu mereka terhadapnya dalam menghadapi saingan sengit BN nanti.

Menurutnya, pengalaman semasa berniaga bersama kaum Tiong Hua sejak dulu menjadikan hubungan mereka bertambah baik sehingga kini. Malah, dalam situasi begini sokongan kaum tersebut semakin memuncak.

Ini bakal menjadikan pertentangan antara Mohd Abdul Wahid dan Wan Ahmad Farid serta calon bebas Azharuddin Mamat @ Adam semakin menarik, terutama melibatkan dua musuh tradisi antara Pas dan BN.

Memang tidak keterlaluan apabila Pas mengatakan mereka mendapat sokongan terbuka kaum Tiong Hua. Penubuhan Kelab Penyokong Pas dari kaum itu sejak pilihan raya umum yang lepas membuktikan golongan itu mempunyai rasa tidak puas hati kepada kerajaan BN di Terengganu. Secara logiknya, tidak mungkin sesuatu kewujudan kelab atau persatuan daripada kalangan bangsa asing di negara ini diwujudkan secara suka-suka. Kewajaran tetap ada, namun perjalanan dan tahap sokongannya sahaja yang perlu diambil perhatian. Jika ada kelab, fungsi serta sokongan tidak ke mana, bermakna ia tidak memberi impak ketara.

Namun, jika ianya ditubuhkan dalam erti kata sebenar dengan bilangan ahli semakin meyakinkan, bermakna ia merupakan satu ancaman kepada Wan Ahmad Farid dan BN. Dengan tiga kawasan DUN adalah milik Pas kecuali DUN Bandar, ia menunjukkan majoriti kaum Melayu memihak kepada Pas, dan kaum Cina boleh menjadi penentu kepada kemenangan.

Dalam konteks ini, kebijaksanaan BN, mahupun Pas memainkan isu dan berjaya memecah undi Cina di kawasan Bandar, bermakna kemenangan bakal berpihak kepada mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jika BN begitu bersungguh-sungguh mengumumkan pakej ‘rangsangan’ membantu kaum Cina di Kuala Terengganu dengan bantuan mencecah sehingga RM6.1 juta. Segala keperluan kaum itu bagaikan ‘dihalalkan’ apabila tiba musim pilihan raya ini, sedangkan selama ini mereka terkial-kial dalam kelemasan.

Apa pula ‘gula-gula’ daripada pihak Pas?

Jangan lupa bahawa Pas pernah membentuk kerajaan suatu ketika dahulu. Dan segala jasa baik kerajaan Pas masa itu wajar dikenang oleh komuniti Cina itu. Lihat sahaja bagaimana sebuah kerajaan Tuan Guru mampu melunaskan janji-janji berkaitan hal tanah yang menjadi igauan buruk mereka sejak berdekad. Kerajaan Pas tidak lokek meluluskan geran milik kekal tanah untuk orang-orang Cina, malah turut memberi kelulusan tanah perkuburan untuk mereka. Bagaimana pula jasa baik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang membuka pintu kepada wakil kaum Cina di pejabatnya sebagai perantara. Malah, banyak lagi jasa baik kerajaan Pas kepada mereka selama ini pasti tidak akan mudah dilupakan.

Kini, sokongan kaum Cina terhadap Pas dan Pakatan Rakyat (PR) semakin membara apabila DAP melebarkan sayapnya menubuhkan cawangannya di Terengganu. Ng Chai Heng yang juga merupakan bekas pengerusi Kelab Penyokong Pas kini menjadi Ketua Cawangan DAP Kuala Terengganu, dan peranan yang dimainkannya nanti akan membantu Pas mendominasi undi kaum Cina.

Manakala, keawajaran BN yang menggunakan taktik lama dalam meraih undi di mana sahaja turun berkempen dilihat sebagai cara lapuk dan mudah dihidu. Retorik membantu golongan miskin dan meluluskan pelbagai projek ‘segera’ bagaikan satu rutin bagi BN. Rakyat bijak ‘menilai’ namun, sokongan sepenuhnya kepada BN belum tentu.

Ditambah sikap penyokong BN bagi beberapa calon yang tidak dicalonkan sebagai calon utama dalam pilihan raya kecil ini sudah pasti mencari ruang membalas dendam bagi pihak ‘ketua’ mereka itu. Sikap berpuak-puak dalam Umno sendiri berupaya membantu calon Pas meraih undi penting nanti. Umno juga tidak mampu menolak keikhlasan Pas yang sentiasa turun padang membantu rakyat tersepit walaupun bukan di musim pilihan raya.

Jika tidak ada unsur ‘sabotaj’ oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkaitan daftar pemilih, sudah tentu Pas mampu tersenyum di Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut berkaitan dasar Pas kepada kaum Cina, Mohd Abdul Wahid berkata ianya akan diterangkan dengan lebih mendalam oleh parti Komponen PR, DAP bagi mengelak salah anggap kaum itu terhadap Pas.

“Isu Hudud yang dibangkitkan pelbagai pihak terutama Umno dilihat sebagai cubaan menakutkan orang bukan Islam. Namun, ia bukanlah menjadi masalah buat masa ini,” katanya lagi.

Menurutnya, soal perlaksanaan merupakan perkara lain sambil menyatakan bahawa Tok Guru lebih faham dengan masalah tersebut serta meminta ianya diterangkan juga kepada kaum Tiong Hua dengan lebih mendalam demi untuk kefahaman mereka.

Harapan BN yang ingin melihat kecelaruan PR di Kuala Terengganu nampaknya kabur apabila semua parti Komponen PR itu menunjukkan sokongan padu bagi menjamin kemenangan calon Pas itu. Dengan nada bersemangat, Mustafa Kamil Ayub selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan sokongan terbuka kepada Pas dalam usaha membantu calonnya itu meraih kejayaan gemilang. Tidak terkecuali Timbalan Presiden DAP, Dr. Tan Seng Giaw pula dengan nada bersahaja turut meyakinkan Pas bahawa DAP tetap di belakang mereka.

Realitinya, Pas dan BN perlu bekerja keras dalam semua aspek sepanjang tempoh berkempen. Segala janji yang ditawarkan memainkan peranan penting untuk menarik undi rakyat Kuala Terengganu. Malah, sebarang kecacatan dan kelemahan yang mampu dikesan juga menjadi faktor kepada pengundi melakukan penolakan atau protes mereka nanti. Namun, BN juga tidak boleh memandang ringan dengan kehadiran 25 ribu orang masyarakat Kuala Terengganu dalam ceramah Anwar Ibrahim pada hari kedua berkempen.