Monday, November 24, 2008

APA KHABAR PAS TERENGGANU???


Sudah agak lama penulis tidak menyentuh perihal Parti Islam SeMalaysia (Pas) Terengganu. Geladangan gendangnya juga agak sepi, bagaikan tiada apa yang berlaku pada mereka. Timbul juga tohmahan bahawa Pas Terengganu kini menuju kehancuran dek kemelut kepimpinan mereka sendiri. Apakah itu benar?

Sewajarnya, untuk mengelak segala tohmahan negetif terhadap Pas Terengganu, mereka perlu bangkit pada Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 nanti, supaya rakyat di Terengganu khususnya dan di negeri-negeri lain amnya terasa kewujudannya dan masih relevan dalam arus politik negara.

Namun dalam kesunyian Pas Terengganu, di Negeri Sembilan sudah mula tampak cahaya bulannya. Di Johor pula mula menampakan kerdipannya. Untuk Pas berjangkit ke negeri-negeri lain, wajarlah Pas Terengganu bangkit semula. Mengimbau kemenangan Pas era tahun 60an dan 1999, ianya sudah menjadi satu sejarah. Segala kesilapan yang lalu bakal menjadi wadah untuk berhati-hati serta dijadikan iktibar. Apa yang penting segala kesilapan yang lalu tidak berulang lagi.

Untuk memperkasakan Pas Terengganu, ‘roots of the problems’ mesti dikenalpasti. Kemudian barulah diambil ‘corrective action’. Apabila tindakan pembetulan telah diambil ianya harus disusuli dengan ‘preventive action’ iaitu tindakan pencegahan. Sememangnya bercakap dan menulis agak mudah berbanding yang memikulnya seperti Cikgu Pa, Ustaz Bakar Chik, Wahid Endut, Wan Mutallib, Syed Azman serta yang lain termasuk Tuan Guru Hadi sendiri.

Tidak salah rasanya jika Pas Terengganu kembali ke asas denan muhasabah diri, tarbiyah keluarga dan ahli. Harmonikan kembali usrah ahli, penulis yakin dikebanyakkan kampung usrah dah sejuk, malah ada yang basi. Kekalkan usrah pimpinan di semua peringkat dan rapatkan silaturrahim antara ahli. Pihak kepimpinan mestilah selalu menjenguk ahli dan keluarga mereka. Dan tidak salah jika dapat mengadakan hari keluarga untuk merapatkan saf ahli.

Terus menhidupkan solat berjamaah lima waktu sehari di masjid dan surau-surau walaupun ianya dikuasai oleh Umno. Bawakan semua anak-anak lelaki kita ikut bersama berjamaah di surau. Penuhkan majlis-majlis ilmu bersama anak-anak. Apa yang penting orang Pas mestilah ke depan dalam apa jua situasi. Tidak kira ada kematian atau kenduri-kendara, gotong-royong, mesyuarat PIBG, ziarah orang sakit , orang bersalin, majlis tahlil, meraikan orang berangkat ke Mekah, ibadah korban dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

Ahli Pas Terengganu wajar menjadikan senyum itu satu sedekah. Mulai daripada sekarang bermulah hari-hari anda dengan senyuman. Cubalah kikis imej orang Pas Terengganu ini garang (di setengah-tengah tempat). Cuba wujudkan pusat khidmat masyarakat di seluruh bandar. Bagi mereka yang berkemampuan dari segi keewangan, ilmu serta kepakaran, wujudkan kelas bimbingan UPSR, PMR dan SPM sebolehnya percuma atau caj sedikit sebagai ganjaran untuk ‘cover’ duit air dan api serta imbuhan tenaga pengajarnya.

Adakan ‘summer camp’ atau bina insan untuk remaja. Sekiranya boleh, tidak perlu meletak lambang bulan kerana sesetengah tempat seperti di Hulu Terengganu, ianya amat sensitif, memadailah dianjurkan oleh orang-orang yang masyarakat setempat mengenali mereka sebagai orang Pas. Malah, kalau perlu anjurkan rehlah atau konsert secara Islam yakni hiburan yang tidak melampau untuk menarik remaja kepada kesenian dan keindahan Islam. Jemputlah artis-artis seperti Mawi, Amy Search dan Hattan yang dah ‘berubah’ dan ingin mendekati Islam.

Buat petugas Pas, perlu diadakan kursus piliharaya secara agresif. Ianya perlu untuk memberi kemahiran kepada petugas-petugas dengan penggunaan Borang-Borang 13,14,15 serta borang-borang lain. Ilmu pilihanraya amat penting untuk berhadapan dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Saranan kepada kepimpinan, cuba kenal pasti calon-calon daripada sekarang. Sesetengahnya walaupun berusia tetapi masih relevan. Kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kami masih menagih kepimpinan mu. Keperluan tenaga profesional juga perlu untuk melawan Umno, jangan curiga atau sangsi dengan golongan ini. Pernah orang Umno mencebik calon Pas, walaupun warak tapi tiada kelulusan, itu menyakitkan.

Kenal pasti juga calon-calon Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR). Ketepikan golongan yang garang seperti yang pernah berlaku di sebelah Hulu Terengganu, Air Puteh dan Hulu Setiu atau mungkin di tempat-tempat lain, maklumlah sudah lama tidak memegang tampuk pemerintahan, mungkin ada perasaan hendak membalas dendam atau kurang tarbiyah kerana usrah dah lama sejuk, sesejuk angin monsoon timur laut.

Penulis meletakkan sasaran atau objektif dalam PRU13 akan datang. Dirasakan tidaklah perlu merasa malu atau rendah diri kalau kita meletakkan satu sasaran yang minima tetapi realistik. Mungkin bunyinya berundur dua tiga tapak kebelakang, tapi hasilnya nanti kita akan melonjak banyak tapak kehadapan.Kalau kita letakkan ‘target’ untuk menafikan dua pertiga sahaja, maka kita berkerja ‘along that line’ namu, kalau meletakkan target untuk merampas kembali Terengganu maka sudah tentulah kita bergerak berlipat-ganda.

Mungkin ada yang rasa rimas dengan target sedemikian namun, penulis merasakan kita letakkan satu target yang mungkin ramai orang akan marah atau kecewa. Kita meletakkan sasaran untuk menafikan dua pertiga untuk kali ini. Mungkin musuh akan ketawa. Biarkan! Penulis mungkin tiada fakta atau data untuk menguatkan hujah. Musuh akan berkata Pas Terengganu sudah lemah. Pernah memerintah Terengganu dua kali, tiba-tiba meletakkan harapan hanya mahu menafikan majoriti dua pertiga. Biarkan Umno terkejut, tetapi jika nampak peluang untuk menjaringkan gol maka tidak perlu membuang masa,
Dirasakan sudah tiba saatnya, Pas mengorak langkah dan memberi nafas baru dalam menjuarai pelbagai isu di Terengganu khususnya dan negara amnya. Sepatutnya pimpinan tertinggi Pas mesti ‘address’ atau memberi penekanan akan perkara ini baik dalam ucapan, mesyuarat mahupun muktamar, supaya tiada lagi keraguan orang-orang bukan Islam, Cina, India dan apapun bangsa terhadap perjuangan Pas. Pimpinan Pas perlu membuat kenyataan-kenyataan yang ‘beyond expectations’ ataupun ‘thinking out of box’.

Jangan lagi cuba membuat kenyataan yang stereotype. Gunakan perkataan ataupun ayat-ayat baru supaya ianya menarik perhatian. Bukankah Pas Terengganu juga sudah banyak menerima undi bukan Melayu dalam PRU12 baru-baru ini? Dan bukankah orang bukan Melayu lebih terbuka sifatnya dari orang Melayu itu sendiri? Justeru itu, bukalah lembaran baru dalam perjuangan demi sebuah kejayaan.

No comments: