Monday, November 10, 2008

AJAR SEJARAH DI SK WAJAR...TAPI SEJARAH PERLU DITUKAR

Sejak akhir-akhir ini banyak kecelaruan yang ditimbulkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam menentukan dasar di peringkat sekolah. Pelbagai kerenah dan maenah yang ditimbulkan oleh pengubal dasar di KPM ini dan telah menjadikan sekolah sebagai tempat eksperimen.

Antara yang paling hangat adalah perlaksanaan PPSMI yang jelas ditentang oleh para ilmuan serta ahli akademik. Namun bak kesombongan pemimpin BN yang tidak mahu menurunkan level keegoannya ke paras minima, maka kecelaruan tidak dapat dielakkan.

Kini panas pula dengan isu mata pelajaran sejarah di sekolah rendah. Samada akan diajar atau tidak menjelang 2010 nanti bermula dengan pelajar tahun tiga.



Kita bukan mahu menentang mata pelajaran itu diadakan atau tidak walaupun para cendikiawan kini bertelagah sesama sendiri mengutarakan pendapat pro dan kontranya.

Apa yang penting adalah SEJARAH itu sendiri yang perlu diperbetulkan sebelum ianya diajar di peringkat sekolah Kebangsaan (SK). Sudah 62 tahun lebih rakyat negara ini diperbodohkan dengan pelbagai fakta sejarah negara yang salah dan songsang. Dengan kata lain, sejarah yang dipelajari di Sekolah Menengah dan peringkat pengajian tinggi sekarang banyak pemesongannya.

Tidak perlu mengambil banyak contoh, namun cuba lihat sejarah kemerdekaan Tanah Melayu sudah cukup jelas. Apa yang dibukukan untuk dijadikan input kepada warganegara Malaysia adalah semata-mata kejayaan Perikatan (Umno+MCA+MIC) sahaja yang membentuk negara ini.

Sedangkan pihak lain yang bertungkus lumus memperjuangkan kemerdekaan tidak dicatatkan langsung, malah telah dianggap sebagai golongan berhaluan kiri pula. Jika pembohongan sejarah negara boleh dijadikan bahan penipuan, maka tidak hairan pihak kerajaan BN beriya-iya benar mahu memperkenalkan mata pelajaran sejarah itu di peringkat SK pula.

Dengan cara itu, mereka akan mudah membentuk konsep pembentukan negara ini adalah hasil daripada kerja keras pihak BN sahaja dan bukannya membentangkannya secara ilmiah.

Oleh itu, jika mahu meneruskan hasrat'murni' itu...sejarah negara itu sendiri perlu diBEDAH dan diLAPAH untuk membuang segala 'TUMOR' yang ada bagi membebaskannya dari segala penyakit.

No comments: