Sunday, December 21, 2008

KAMI MAHU TANGKAP 'HANTU'

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani memberi amaran keras kepada semua pengundi ‘hantu’ yang bercita-cita hadir di Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu nanti.

Sambil menggingatkan kehadiran mereka tidak diperlukan, beliau akan memastikan semua jentera terutama barisan Pemuda Pas bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kehadiran pengundi hantu tersebut.

“Awas pemgundi hantu! Pihak kami akan berjaga-jaga dengan kehadiran kamu dan akan ‘menangkap’ mana-mana mereka yang terlibat semasa hari pembuangan undi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pihaknya memang menjangkakan kehadiran pengundi hantu dan telah mengambil langkah berjaga-jaga serta tidak teragak-agak menangkap sekiranya personaliti yang tidak dikenali ditemui ketika proses pembuangan undi dijalankan.

Gerak kerja yang sama turut dilakukan ketika pilihan raya umum lepas, di mana terdapat ramai pengundi luar yang hadir di kawasan DUN Rhu Rendang dalam Parlimen Marang sebagai senjata untuk mengalahkan Tuan Guru Presiden Pas, Hadi Awang. Namun, dengan kecekapan barisan Pemuda Pas, kebanyakan pengundi hantu itu tidak sempat membuang undi, dan keputusan pilihan raya di kawasan tersebut menunjukkan peningkatan ketara dari segi majoriti kemenangan kepada calon Pas.

Sementara itu, Azman Shapawi juga menggangap pemberian wang tambahan royalti bernilai RM400 juta serta penurunan harga minyak berupaya menjejaskan undi kepada calon Pas. Ini akan berupaya menarik minat para pengundi terhadap Barisan Nasional (BN).

Bagaimana pun, masih banyak isu yang boleh dicanang oleh Pas untuk memikat hati masyarakat Kuala Terengganu, terutama hal kebajikan yang telah diberikan kepada mereka semasa memerintah dahulu.

“Kita tahu bahawa pengundi sudah sedia faham dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi ketika hampir dengan pilihan raya. Isu itu tidak akan menjejaskan sokongan pengundi,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan bahawa pemberian wang royalti itu tidak akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak, sekiranya tidak ada pilihan raya kecil Parlimen tersebut. Menurutnya, ia semata-mata untuk memancing undi rakyat. Malah katanya, kerajaan negeri ketika ini tidak mengambil berat masalah rakyat, terutama berkaitan masalah pengambilan tanah.

No comments: