Sunday, March 22, 2009

Pertelagahan Dalaman Umno Punca Mohd Ali Rustam Dikambing Hitamkan

Timbalan Persuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) dilaporkan berkata, apa yang berlaku dalam kem Umno sekarang berkaitan larangan terhadap Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam bertanding dalam permilihan akhir bulan ini adalah ulangan kepada situasi yang terjadi suatu ketika dahulu.

Katanya, Pas Terengganu tidak menolak kemungkinan bahawa dua puak bertelagah dalam Umno menyebabkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam dikenakan tindakan perlucutan hak bertanding dalam pemilihan parti tersebut. Senerio itu menutup peluang beliau untuk bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suatu ketika dahulu Umno telah berpecah di mana terdapat dua ‘team’ akibat daripada pemilihan yang diadakan, dan kini perkara yang sama dilihat berulang kembali.

“Saya lihat tindakan terhadap Mohd Ali adalah tindakan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan pencalonan itu dan beliau telah dijadikan mangsa.

“Gejala politik wang dalam Umno sudah menjadi barah akibat sikap ahlinya yang tidak mementingkan akhlak dalam perjuangan masing-masing,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dalam politik amalan amanah dan sikap jujur merupakan elemen utama mesti didahulukan sebelum sebarang tindakan diambil sebagaimana konsep yang ditekankan dalam Islam itu sendiri.

“Jelas dalam soal ini, pemimpin Umno meminggirkan soal tersebut. Jadi tidak hairanlah masalah politik wang akan terus bermaharajalela sehingga mereka akan kembali kepada tujuan asal,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Ariffin Deraman pula berkata, pemimpin parti politik tidak seharusnya terlibat dengan politik wang, serta segala bentuk amalan rasuah. Ianya akan memberi kesan yang besar dalam usaha meraih kepercayaan daripada rakyat.

Menurutnya, isu itu terlalu berleluasa dan sudah sinonim dalam parti Umno yang menguasai kerajaan pusat. Baginya, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan rasuah tidak wajar dilantik dalam kepimpinan kerajaan kerana ia akan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

“Mereka yang terlibat dengan rasuah tidak wajar dilantik. Barisan Nasional (BN) perlu membersihkan imej mereka dengan segala masalah tersebut untuk menjadi contoh kepada generasi muda,” katanya lagi.

“Perdana Menteri (PM) merupakan milik seluruh rakyat dan wajarlah beliau membersihkan segala amalan rasuah yang melibatkan parti memerintah. Sebagai PM, beliau adalah pemimpin kepada semua penduduk yang menyokong pelbagai parti di Negara ini,” katanya lagi ketika mengulas berhubung larangan bertanding terhadap Mohd Ali Rustam pada pemilihan parti Umno hujung Mac ini.

No comments: