Friday, August 1, 2008

VATERAN KUASAI MESYUARAT UMNO CAWANGAN KUALA BERANG

hasrat golongan muda cabar ketua cawangan gagal

Hasrat Suhaimi Mohd, (Pengerusi JKKK Sungai Petai) mencabar Pengerusi JKKK Kuala Berang, (Penyandang Ketua Cawangan Umno Kuala Berang) akhirnya berkubur apabila pencalonan beliau ditolak Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kuala Berang.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan serbaguna Taman Jalan Pusara Kuala Berang itu hampir kecoh apabila pencalonan tersebut ditolak oleh pengerusi tetap, Cikgu Abdul Razak. Alasannya, pencadang kepada Suhaimi, iaitu Mahadi Mustafa lewat mengemukakan cadangan, sedangkan pencalonan sudah ditutup.


Pada masa yang sama, Pengerusi Tetap pula seolah-olah menyokong seorang pencadang agar pencalonan ditutup. Ini menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan pihak pemuda yang sememangnya telah merancang untuk meletakkan calon mereka menentang penyandang, Kamaruddin (Mad Din) sebagai Ketua Cawangan yang baru.

Salah seorang perwakilan yang ditemui berkata, adalah tidak wajar Pengerusi Tetap menolak cadangan awal Mahadi yang mencalonkan Suhaimi sebagai lawan kepada Mad Din. Alasan yang diberikan pengerusi amat remeh, dengan mengatakan Mahadi tidak layak membuat cadangan kerana berada di tepi dewan, dan bukannya di atas kerusi dalam dewan. Malah, dengan keadaannya pada masa itu, beliau hanya dianggap sebagai pemerhati sahaja.

“Sepatutnya pengerusi boleh menerima pencalonan daripada Mahadi, namun disebabkan rasa bimbang calon favouritenya tewas, maka beliau dengan cepat menutup pencalonan tanpa mengambil sedikit masa untuk menanti pencalonan lain.

“Ini juga menunjukkan golongan vateran Umno Cawangan Kuala Berang tidak mahu menerima perubahan daripada golongan muda, selain menjadikan jawatan tertinggi seolah-olah sebagai tradisi untuk satu pihak sahaja.

Katanya, kumpulan Mad Din juga mungkin telah merancang agar pengerusi memainkan peranan agar majlis tersebut dikuasai oleh beliau dan tidak dicabar oleh sesiapa pun.

Menurut sumber dari Cawangan Umno Kuala Berang, Suhaimi memang berhasrat bertanding jawatan Ketua Cawangan menentang Mad Din. Ia berdasarkan hasrat ingin melakukan perubahan dan tidak ada sikap pilih kasih dalam cawangan sebagaimana yang diamalkan oleh Mad Din selama ini.

Beliau juga dikatakan berang dengan sikap Mad Din yang dikatakan tidak membayar yuran bagi 168 orang ahli pemuda cawangan sebagai jalan ‘mencantas’ undian kepasa Suhaimi jika beliau boleh bertanding kelak.

“Golongan veteran tidak nampak bagaimana taktik kotor yang dilakukan oleh Ketua Cawangan ini. Mereka hanya digula-gulakan janji manis sahaja, sedangkan selama dua tahun lepas, banyak perkara yang tidak dibereskan oleh beliau.

“Walaupun meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ketua cawangan, kumpulan Mad Din bijak memainkan perasaan golongan veteran agar tidak mempercayai kepimpinan baru. Malah, ada unsure ugutan yang dibuat team Mad Din terhadap golongan yang menentang,” ujar seorang AJK Pemuda Cawangan itu.

Majlis yang selesai sekitar jam 12 tengahari itu menyaksikan perubahan berlaku terhadap Ketua Pemuda sahaja. Penyandang, Wan Rozlan telah menarik diri dan pencalonan Yusrizan Mustaffa disokong sebulat suara.

Mad Din pula yang dipilih semula sebagai ketua cawangan, tampil membuat cadangan 15 AJK lama dikekalkan, dan mendapat sokongan sebulat suara.

Bagaimanapun, Cawangan ini membuat kejutan apabila mencalonkan regu Ku Tera dan Rozi Mamat sebagai calon Ketua dan Naib Ketua Bahagian menentang Mad Nong dan Rosol Wahid.

Ini mungkin disebabkan calon ketua cawangan, Suhaimi yang difahamkan team Mad Nong dan Rosol tewas dan telah memberi laluan kepada Ku Tera dan Rozi Mamat dicalonkan.

No comments: